Archive for 6 Oktober 2014


Sumber : Web JAKIM

“Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu. Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu.”

Apa yang nyata talbiah ini adalah ikrar yang dilafazkan jemaah haji di seluruh tanah haram Mekkah semata-mata untuk bertaqwa kepada Allah SWT, tanda kerinduan kepada Allah yang Maha Esa dan bersiap sedia untuk berkorban dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kekuatan ibadah haji terletak kepada penghayatan lafaz talbiah ini yang dizahirkan melalui amalan tawaf, Sai’, wuquf, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bercukur dan ibadah yang lain.

Ibadat haji yang dimulakan pada zaman Nabi Ibrahim AS ini diteruskan dan kemudiannya disyariatkan di zaman Nabi Muhammad SAW, sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 4:

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya contoh ikutan yang baik”.

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima selepas mengucap kalimah syahadah, solat, berpuasa, dan menunaikan zakat. Mereka yang melaksanakan ibadah haji ini hakikatnya menjadi simbul telah sempurna keimanan dan penghayatan melaksanakan perintah Allah.

Mereka melafazkan lafaz talbiah sebagai mengisytiharkan dan berikrar sebagai satu pengorbanan yang sejati. Sebab itulah mereka yang menunaikan ibadah haji dan mempertahankan sifat-sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang membawa kebaikan kepada keluarga, jiran, masyarakat dan negara dianggap sebagai telah mendapat haji mabrur.

Sambutan Hari Raya Korban atau Iduladha adalah merujuk kepada pengorbanan yang sejati dengan menyerahkan segalanya samada dalam bentuk fizikal dan spritual kepada Allah SWT. Hakikat pengorbanan sejati ini dengan mengenepikan segala perkara yang dapat melalaikan dari mengingati yang Maha Esa.

Cinta kepada dunia datang dengan pelbagai bentuk seperti cintakan kemewahan, kesenangan, keamanan, kesihatan, kedudukan dan pangkat. Lantas dengan perkara ini kita menjadi lalai dan tidak mampu mengorbankan apa jua yang ada pada kita di jalan Allah SWT. Kita beranggapan segala yang kita perolehi adalah hasil dari usaha kita sendiri tanpa menghubung kait dengan pemberian dari Allah SWT.

Kita lebih mengutamakan kerja daripada melaksanakan perintah Allah, lalai untuk mengorbankan sedikit waktu untuk sujud dan patuh kepada perintah-Nya dan ada juga yang belum mampu untuk mengorbankan sedikit hasil pendapatan dan harta kerana dikhuatiri kekayaan dan harta itu akan berkurangan, justeru kita lebih suka memikirkan kepentingan diri daripada kepentingan umum.

Tarikh : 4 September 2014

Lokasi : Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan

Alhamdulillah, pihak surau menjelang hari raya aidil adha kali ini menganjurkan iftar jama’ie (sungkai beramai-ramai) sempena 9 Zulhijjah yang mempunyai kelebihan dari sudut agama Islam. Suasana berbuka seperti musim bulan Ramadhan, kehadiran jamaah yang agak ramai. Semoga dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Iftar 9Zulhijjah (1) Iftar 9Zulhijjah (2)

%d bloggers like this: