Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31181-tidurlah-di-mana-mana-ustaz-suka

Alkisah sebuah lawatan Seorang ustaz terkenal pada zaman dahulu kala telah berkunjung ke istana seorang raja atas jemputan permaisuri. Permaisuri menghadapi masalah dengan raja yang terlalu pentingkan status dan egonya. Permaisuri menjemput ustaz terkenal tersebut tanpa pengetahuan raja. Beliau mengharapkan agar ustaz itu dapat merendahkan ego raja tersebut dengan nasihat agamanya.

Setibanya di depan pintu istana, ustaz terkenal itu dibawa menghadap raja di balai besar di mana raja sedang duduk di atas takhtanya.

“Apa yang ustaz mahu datang ke sini? Beta boleh tunaikan apa-apa hasrat ustaz,” kata raja tersebut.

“Patik mahu tidur di rumah penginapan ini,” jawab ustaz. Mendengar kata-kata ustaz itu, raja tersebut naik angin lalu menjawab,

“Ini bukan rumah penginapan. INI ISTANA BETA!”

“Oh kalau begitu, boleh patik tanya, siapa milik tempat ini sebelum tuanku?” tanya ustaz.

“Ayahanda beta. Dia dah mangkat,” jawab raja.

“Dan siapa yang memilik tempat ini sebelum ayahanda tuanku,” tanya ustaz lagi.

“Datuk beta. Dia pun dah mangkat juga,” jawab raja.

“Jadi di sini ialah tempat seseorang tinggal sementara dan kemudian itu pergi menghadap pencipta-Nya… tadi patik dengar tuanku kata sini bukan tempat penginapan?” jawab ustaz.

Raja tersentak dengan jawapan ustaz. Tidak pernah raja itu terfikir bahawa istana yang paling disayanginya itu tidak dapat dibawa bersamanya meskipun beliau mati sebagai seorang raja. Raja terus memeluk ustaz.

“Terima kasih ustaz datang. Tidurlah di mana-mana ustaz suka. Semua ini sementara saja.”

Wahai anakku, Janganlah kamu bersikap sombong di atas muka bumi Allah ini, kerana kamu tidak memiliki sesuatu pun melainkan hanya pinjaman dari Tuhanmu. Dia boleh mengambilnya pada bila-bila masa yang diingininya, termasuk nyawa kamu.

Ingatlah wahai anakku, Sesuatu barangan pinjaman akan pasti diambil semula oleh tuannya, bilamana tuannya mengkehendakinya. Maka perlakukanlah apa yang ada padamu sebagai harta pinjaman. Jangan kamu gunakan sehingga merosakkan kerana kamu tidak mampu menggantinya kembali.

Wahai anakku, Janganlah kamu sombong kerana kamu merasai banyaknya hartamu, kerana sebelum kamu, ada yang lebih kaya darimu, namanya Qarun, ia hancur dimusnah oleh Allah kerana kesombongannya. Seandainya kamu merasa kamu lebih pangkat kebesaranmu, ingatlah sebelum kamu ada orang yang lebih hebat pangkatnya dari kamu, namanya Fir’aun.

Dia juga dihancurkan Allah bersama segala pangkat kebesaran dan kerajaannya. Atau kamu merasa hebat kerana lebihnya ilmu yang ada padamu. Ingatlah sebelum kamu ada Samiri, yang sangat arif tentang ilmu dan hikmah, lalu ia juga dimusnah oleh Allah. Senyum

Advertisements