Sumber : Web JHEAINS

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kita berkesempatan untuk kesekian kalinya bersua dengan bulan Zulhijah. Inilah bulan yang besar fadilat dan maknanya bagi seluruh umat Islam terutama sekali mereka yang peka dengan waktu-waktu yang dimuliakan oleh Allah SWT dan bijak mengambil peluang bagi meraih curahan rahmat, keampunan dan keredaan-Nya.

Ini kerana, pada bulan ini Allah SWT menganugerahkan masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijah, Hari Arafah, Aidil Adha dan Hari Tasyriq.

Menyentuh keistimewaan sepuluh hari terawal bulan Zulhijah, Ibnu Abbas ada menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah.

Sahabat bertanya, “Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?”.

Jawab Baginda, “Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. (HR Bukhari).

Dalam Hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. (HR Ahmad).

Sabda Rasulullah SAW ini menunjukkan betapa umat Islam digalakkan supaya berlumba-lumba melakukan amal-amal soleh pada 10 hari terawal bulan Zulhijah. Meskipun barangkali tidak mampu untuk berjihad, namun ia bukanlah halangan untuk melakukan ibadah yang lain seperti puasa, solat sunat, zikir, tahlil, takbir dan tahmid.

Sebab, amal yang sedikit dan mudah itu juga besar nilainya di sisi Allah SWT dan diterima-Nya jika dilaksanakan dengan niat yang ikhlas, baik dan sempurna. Sesungguhnya ada satu hari yang dinilai sebagai hari istimewa di sisi Allah SWT dalam 10 hari pertama bulan Zulhijah ini. Hari yang dimaksudkan itu ialah hari ke-9 Zulhijah yang dikenali sebagai Hari Arafah.

Hari Arafah adalah saat dan ketika mana para jemaah haji sedang berhimpun berwukuf di Padang Arafah bagi menyempurnakan satu daripada rukun fardu haji. Dan keistimewaan serta fadilat Hari Arafah tidak hanya dinikmati dan dirasakan oleh para jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malahan fadilatnya turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji.

Ia boleh diraih dengan berpuasa sunat pada Hari Arafah yang ganjarannya adalah keampunan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Ganjaran ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud :

“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (HR Muslim).

Oleh hal yang demikian saudara jemaah sekalian, jangan lepaskan peluang serta kesempatan bersua dengan 9 Zulhijah dengan meraikannya dengan puasa sunat. Maka puasa yang dikerjakan itu dengan bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menginsafi dosa yang telah dilakukan, seterusnya memohon keampunan dari Allah SWT. Pasti akan meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Advertisements