Archive for 22 September 2014


PERBAHASAN MUKTAMAR PAS KALI 60

Ucapan Dasar Presiden PAS

Muktamar PAS Kali Ke 60 / 2014

Batu Pahat Johor

 

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام ,وفضلنا على كثير من الأمم .والصلاة والسلام على سيدنا محمد نبي
الرحمات ,وعلى آله وأصحابه أفضل الصلوات وأزكى التسليمات .

Mukaddimah

Yang dihormati Dato’ Pengerusi Tetap, YB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Mursyidul
‘Am, Sahibul Fadhilah Dato’ Timbalan Mursyidul ‘Am, Ashab al Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato’ Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan Ulama – Pemuda – Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, seluruh Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, PesuruhjayaPesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah Muktamar dan Ahli Jawatan kuasanya, sahabat-sahabat pimpinan dari Pakatan Rakyat, pimpinan NGO, Wakil-wakil Kedutaan Asing, semua para jemputan, para perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

Selamat datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan-rakan seperjuangan dan para tetamu jauh dan dekat, serta para pemerhati yang sudi bersama kami dalam muktamar kali ini di Ayer Itam, Batu Pahat, Johor.

Muktamar pada kali ini juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan takziah dan kebersamaan perasaan duka kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi pesawat hilang MH370 dan MH17 yang dibedil oleh pihak yang sangat tidak bertanggungjawab.

Seluruh ahli dan kepimpinan PAS melahirkan kesedihan dan mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa bersabar dan tabah dengan ujian ini. Kita juga mendesak pihak berkuasa kerajaan Malaysia supaya menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk mencari kebenaran dalam tragedi negara yang sangat mengejutkan itu.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,

1. Muktamar yang ke – 60 pada kali ini bertandang ke negeri Johor. Di sinilah pada awal 1920 bermulanya pengaruh Sarekat Islam apabila Haji Ibrahim Sidin dari Singapura menggerakkan penubuhan cawangan Sarekat Islam di Johor dalam keadaan masyarakat Islam menunggu lahirnya sebuah gerakan Islam dalam negara kita ini.

2. Bagi mengingatkan semua di kalangan pendukung parti ini, maka kita bermuktamar pada hari ini dengan tema Terus Beristiqamah. Kita ingin menyahut seruan Allah SWT :

Dan sesungguhnya inilah jalan ku yang betul (istiqamah), maka jangan sekali-kali kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan pecah terpelanting keluar daripada jalannya (yang sebenar), begitulah Allah memberi peringatannya kepada kamu, supaya kamu bertaqwa (kepadanya).

3. Istiqamah dalam perjuangan kita ini, menuntut kita memahami erti sebenar manusia diciptakan, menerima amanah dari Allah SWT, dan seterusnya bersama kumpulan Islam menerusi PAS bagi memikul amanah khilafah ini. Ianya menuntut kita beristiqamah kepada panduan Allah dan Rasul dalam setiap gerak tindakan kita.

TERUS BERISTIQAMAH 

4. Berasaskan kepada keyakinan terhadap teras perjuangan PAS inilah maka kita melafazkan rasa penuh syukur kepada Allah S.W.T. yang meletakkan kita dalam wadah Parti Islam SeMelaysia (PAS), di mana sejarah penubuhannya menjadi mata rantai perjuangan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

5. Kita sama-sama memahami dan meyakini bahawa Islam adalah cahaya petunjuk Allah yang tidak boleh dipadamkan, maka selagi kita beristiqamah (konsisten) di atas landasan Islam dan matlamatnya yang ditetapkan oleh Allah dan ditunjukkan perjalanannya oleh Rasulullah S.A.W, maka kita tetap berada di pihak yang benar dan berpijak di atas landasan hidup yang teguh. Maka kita akan selamat di dunia dan akhirat, walau pun menghadapi keadaan rebah dan bangun, kalah dan menang, serta belum dilihat hasilnya di alam dunia ini.

6. Kita juga difitnahkan oleh berbagai golongan tertentu untuk mencalarkan Islam yang sebenarnya, walaupun Islam itu adalah paling sempurna dan murni. Fitnah itu sama ada daripada musuh luar yang mewarwarkan sementara waktu agenda Islamofobia atau menggunakan lisan atau tulisan kelompok jahil yang bersemangat tinggi melalui dalaman umat Islam sendiri. Semuanya akan gagal kerana mukjizat ilmu dari al-Quran dan Sunnah adalah tetap terpelihara dengan rapi dan amanah.

7. Islam yang kita imani dan hayati ini adalah dari petunjuk al-Quran (Kalam Allah) dan arahannya, supaya mengikut penafsiran Rasulullah S.A.W. yang dipilih oleh Allah. Manakala ilmu serta kebijaksanaan yang diwarisi pula adalah secara benar dan amanah oleh para ulama muktabar.

8. Bagi mengukuhkan kedudukan dan keaslian dasar perjuangan PAS, maka kita wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMA’ ULAMA dan QIYAS. Istiqamah dalam perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, samada dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang tertinggi ini, manakala batasan pegangan PAS ini hendaklah berpandukan konsep Tafaqquh Fi al-Din.

9. Para pemimpin yang terdahulu daripada kita telah meletakkan asas yang kukuh dalam Perlembagaan PAS menerusi nukilan Fasal 3 dan 7 yang memperincikan tentang Hukum, Kekuasaan dan Majlis Syura Ulama. Ianya diikuti oleh Fasal 8 yang mewajibkan penubuhan Majlis Syura Ulama dengan tugas dan fungsinya yang jelas. Semuanya wajib difahami dan diamal oleh seluruh ahli dan khususnya kepimpinan di semua peringkat.

Bersambung…

http://muktamar.pas.org.my/index.php/ucapan-dasar-ucaptama/muktamar-pas-60/34-ucapan-dasar-presiden-pas-2014

%d bloggers like this: