Archive for 23 Ogos 2014


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/30323-kisah-gagak-kakak-tua-angsa-dan-merak

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 21 Ogos 2014.

Seekor gagak yang tinggal di hutan sangat berpuas hati dengan kehidupannya sehingga ia terjumpa seekor angsa.

“Putihnya angsa. Saya hitam sangat. Angsa mesti burung yang paling gembira di dunia,” katanya. Angsa yang tinggal di kolam berkata kepada burung gagak bahawa ia pun fikir begitu satu ketika dulu sehingga ia terjumpa burung kakak tua.

“Saya satu warna sahaja. Burung kakak tua ada dua warna. Burung kakak tua barulah burung yang paling gembira di dunia,” kata angsa itu kepada burung gagak. Burung gagak itu mencari burung kakak tua dan memberitahu apa yang dikatakan angsa itu.

Burung kakak tua pun menjawab, “Wahai gagak sahabatku! Aku pun fikir begitu dulu aku paling hebat… tapi sehinggalah aku terjumpa burung merak. Dia ada pelbagai warna.”

Burung gagak pun pergi ke zoo dan melihat kehebatan burung merak.

“Wahai burung merak! Cantiknya kamu. Setiap hari beribu manusia datang menjengukmu. Bila mereka melihat saya, mereka halau saya. Kamulah burung yang paling bahagia di dunia,” kata burung gagak.

Burung merak pun menjawab, “Aku selalu rasa akulah paling cantik dan gembira di dunia ini. Tapi kerana kecantikan aku, aku dikurung di dalam zoo ini. Aku telah melihat sekitar zoo ini, hanya burung gagaklah yang tak terkurung di zoo ini. Kalau aku ialah burung gagak, aku rasa aku paling gembira kerana dapat bergerak sana sini.”

Wahai anakku,

Di kalangan manusia, kamu juga akan saling membanding. Sebenarnya ia tidak perlu kerana ia menimbulkan tekanan dan kesedihan. Membanding bermakna kamu tidak menghormati apa yang diberi Allah. Kamu berasa Allah tidak adil. Kamu berasa diri malang.

Wahai anak kesayanganku,

Fokuslah pada apa yang ada di tangan. Setiap manusia ada benda lebih dan benda kurang. Tapi Allah Maha Adil – sesiapa yang tahu bersyukur dengan apa yang ada, dialah manusia yang paling gembira. Adakah kamu salah seorang itu?

Senyum

Sumber : Web JHEAINS

Ingatlah! akan datang satu masa, kita akan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan, diusung ke tanah perkuburan dan kemudian ditinggalkan di dalam tanah, bersendirian bertemankan iman dan amal-amal soleh yang dilakukan sepanjang hidup di dunia.

Lantaran itu, sebelum tiba waktu dan saat yang pasti berlaku itu, isilah ruang dan kesempatan hidup yang masih berbaki untuk menunaikan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala yang ditegah-Nya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Tanpa iman dan takwa, Allah tidak akan reda dan tidak akan menerima amalan hamba-Nya. Sesungguhnya orang yang bertakwa mempunyai martabat keinsanan (karamah insaniah) yang tinggi seperti dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :

“…Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (S. Al-Hujurat: 13).

Agama mengajar kita memperbanyakkan amal-amal soleh dan membudayakan sifat-sifat mahmudah di samping menjauhi sifat-sifat tercela. Dengan ini, iman kita akan bertambah kukuh serta terhindar daripada perkara yang buruk dan keji. Matlamatnya adalah untuk membina akhlak yang terpuji bagi mewujudkan kedamaian dan keselesaan dalam pergaulan hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Iman, akhlak dan amal soleh merupakan tiga elemen atau unsur yang tidak dapat dipisahkan daripada struktur tarbiyyah Islamiah. Elemen-elemen ini jika digarap sebagai teras serta tunjang kehidupan, ia akan melahirkan insan cemerlang yang boleh dijadikan contoh serta ikutan umat Islam.

Cuba bayangkan, betapa indah kehidupan ini jika seluruh manusia di muka bumi ini memiliki akhlak mulia dan sibuk melakukan amal-amal soleh. Pasti tidak ada persengketaan, rusuhan, jenayah, peperangan dan sebagainya. Yang wujud adalah semangat berkasih sayang, bekerjasama, bantu membantu, saling hormat menghormati, bertolak ansur dan berlumba-lumba melakukan kebajikan yang mendamaikan.

Salah satu misi Nabi Muhammad SAW diutuskan ke dunia ini adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak (budi pekerti) yang mulia.” (HR Ahmad).

Penegasan Rasulullah SAW ini menunjukkan akhlak merupakan tunjang sikap keperibadian manusia terhadap Allah, manusia, diri sendiri dan makhluk lain sesuai dengan petunjuk al-Quran dan hadis. Ia menjadi penentu baik buruknya perilaku seseorang manusia.

Maka, kita sebagai umat Islam dituntut supaya memiliki akhlak baik dan terpuji agar terzahir nilai-nilai manusiawi yang fitrah tunduk mengabdi diri kepada Ilahi. Asas pembentukan dan kekuatan akhlak yang mencetuskan amal serta perbuatan yang baik ialah Zikrullah atau sentiasa mengingati Allah SWT serta takutkan azab-Nya pada setiap waktu dan tempat.

Zikrullah merangkumi mengingati dan menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya melalui hati, lidah dan seluruh anggota badan. Pendek kata, apa sahaja perbuatan atau perkataan yang boleh menghadirkan ke dalam hati kita ingatan kepada Allah SWT yang meliputi kebesaran-Nya, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, keluasan rahmat-Nya dan sebagainya, termasuk dalam erti kata Zikrullah.