Sumber :

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 20 Ogos 2014.

GAZA tidak pernah sunyi daripada hentaman roket dan bom yang menyebabkan rakyatnya terbunuh dan segala bangunan serta infrastruktur di dalamnya runtuh dan ranap. Serangan dalam ‘Operation Protective Edge’ oleh Israel terhadap Gaza yang bermula 8 Julai lalu, sehingga kini telah mengorbankan lebih 2000 orang rakyat awam Palestin.

Angka kehilangan nyawa yang besar dan kemusnahan ribuan penempatan serta pemaksaan ke atas 1.8 juta rakyat Palestin untuk berhimpit bagi mendiami sebuah bandar kecil itu telah mengundang kecaman antarabangsa.

Lebih mendukacitakan, menurut laporan PBB, sekurang-kurangnya 425,000 orang pelarian di Semenanjung Gaza kini ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan dan juga bersama keluarga angkat. Hampir 12,000 buah rumah pula telah musnah dan rosak teruk akibat serangan udara yang dilakukan Israel.

Beberapa sesi rundingan damai yang telah diusahakan oleh Mesir telah berjaya menatijahkan dua siri genjatan senjata yang bersambungan setelah peperangan berlaku selama sebulan. Genjatan senjata siri pertama selama 72 jam diikuti dengan siri kedua selama 5 hari setidak-tidaknya memberi ruang kepada rakyat Palestin untuk mendapatkan bekalan makanan dan perubatan serta mencari tempat tinggal baru untuk mereka berteduh.

Siri kedua genjatan sejata selama 5 hari juga telah berakhir. Rundingan damai bagi mengusahakan tempoh aman antara kedua-dua pihak yang lebih lama dilihat tidak berkesampaian apabila Israel enggan menunaikan tuntutan kata sepakat wakil Palestin. Antara tuntutan penting oleh wakil Palestin dalam rundingan damai itu ialah supaya Israel segera menghentikan pencerobohan ke atas Palestin, menamatkan perang ke atas Gaza dan membuka sepenuhnya kepungan ke atas Gaza yang telah dibuat selama 8 tahun.

Mewakili Palestin, HAMAS memahami benar kejahatan dan kelicikan Israel untuk memanfaatkan masa bertenang dalam tempoh genjatan senjata itu untuk memperluaskan pencerobohan dan jajahan ke atas Palestin secara halus dan senyap. Jika ia dibiarkan, semakin besarlah tanah Palestin akan terjajah. Oleh itu, tiga perkara yang dikemukakan oleh delegasi Palestin itu amat penting untuk dijadikan syarat perdamaian antara kedua-dua pihak.

Keterkinian maklumat-maklumat seperti yang dinyatakan ini tidak mudah untuk merumuskan penyelesai konflik Israel-Palestin yang telah tercetus selama hampir 70 tahun. Rakyat Palestin khususnya Gaza telah sangat menderita menanggung akibat pencerobohan tentera Israel yang sangat menyeksakan mereka.

Idea menamatkan konflik ini secara “two state solution” atau mendakwa Israel ke Tribunal Perang Antarabangsa atau membicarakannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau juga penyelesaian-penyelesaian yang lain, tidak mudah untuk direalisasikan.

Campur tangan kuasa besar seperti Amerika yang bersandiwara mengecam tindakan Israel pada masa sama membekalkan bantuan kewangan dan persenjataan kepada Israel bagi terus membantai Palestin akan menyebabkan keadaan sedia ada bertambah rumit dan parah.

Namun demikian, atas rasa kemanusiaan sejagat dan demi kebenaran serta keadilan, bagi membela mangsa buas Israel, seluruh manusia perlu terus menyokong rakyat Gaza dan berusaha membantu mereka. Tindakan memboikot Israel, memberi sumbangan kewangan dan memanjatkan doa untuk rakyat Gaza amat wajar sekali untuk diteruskan.

Sebagai seorang muslim, kita wajib beriman bahawa Palestin akan diberikan “kemerdekaan” oleh Allah SWT pada suatu hari nanti dan hari berkumpulnya Yahudi di Palestin itu adalah hari binasa buat mereka. Itulah penyelesaian konflik Israel-Palestin yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

HARAKAHDAILY 20/8/2014