Archive for 16 Ogos 2014


 

Kuliah Khas : Wala’ Dalam Berjamaah

Tarikh : 15 Ogos 2014

Lokasi : Masjid Rusila, Marang Terengganu

Penyampai : YB Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri

 

Sumber : Web JHEAINS

Masjid adalah institusi paling awal dibina dalam masyarakat Islam, iaitu ketika Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah. Masjid Quba’ yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabatnya dan umat Islam di Madinah adalah institusi penting sebagai asas membina masyarakat dan umat Islam yang hebat, berkualiti dan cemerlang duniawi serta ukhrawi.

Firman Allah SWT bermaksud :

“Dan (di antara orang munafik juga ialah) orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri), serta memecah-belahkan perpaduan orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Pada hal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Janganlah engkau solat di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Masjid Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya, dan Allah Maha Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”. (Surah At-Taubah, ayat 107-108)

Berdasarkan mafhum ayat ini, terdapat dua jenis masjid, iaitu satu, Masjid Quba’ yang dibina di atas dasar taqwa, di masjid inilah Rasulullah SAW diperintah untuk mendirikan solat.

Manakala masjid yang satu lagi ialah Masjid Dhirar yang dibina oleh golongan munafik tidak jauh daripada Kota Madinah, mereka bina dengan tujuan untuk membahayakan umat Islam, memecah-belahkan orang beriman dan juga dijadikan tempat mereka mengintip untuk memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya. Dan Rasulullah SAW dilarang sama sekali untuk mendirikan solat di dalamnya.

Pengajaran penting daripada ayat ini, antaranya:

1. Asas dan konsep pembinaan masjid hendaklah atas dasar taqwa kepada Allah SWT.

2. Masjid atau apa jua binaan yang dibina atas dasar taqwa membawa kesatuan dan perpaduan ummah serta memperolehi keberkatan di sisi Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah tidak meniru cara dan asas binaan Masjid Dhirar yang dibina oleh golongan munafik.

4. Masjid yang dibina golongan munafik dilarang umat Islam yang beriman mendirikan solat di dalamnya, sebagaimana Rasulullah SAW dilarang dahulu.

5. Institusi masjid dan surau adalah pusat kesatuan dan perpaduan ummah.

Masjid dan surau dalam masyarakat Islam amat berpengaruh dalam membina generasi dan modal insan yang beriman, taqwa, soleh dan terbaik. Kerana Rasulullah SAW sendiri telah membina masyarakat Islam di awal perkembangan Islam adalah melalui institusi masjid yang telah melahirkan ramai para sahabat yang hebat dan tersohor seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Abdurrahman bin Auf, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Usamah bin Zaid, Abdullah bin Abu Bakar As-Siddiq, Khalid bin Al Walid, Saad bin Abi Waqqas radhiyallahu anhum dan ramai lagi.

%d bloggers like this: