Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/30071-pas-akan-kekal-selagi-islam-asas-perjuangan

Selagi dasar dan perlembagaan PAS adalah Islam, PAS tidak akan berkubur dan mati. Walaupun banyak parti lain seperti Semangat 46, Nasma, Parti Negara, AKIM, Berjasa, Hamim dan lain-lain ‘meninggal’ tanpa nisan, PAS masih segar bugar dan ‘evergreen’ dari dulu, kini dan Insya Allah selamanya. Itulah hebatnya parti yang berteraskan Islam.

PAS melalui pelbagai ranjau dan duri, ditendang dari BN, rakan dalam APU, BA dan sebagainya meninggalkan gabungan yang dibentuk bersama, namun PAS tetap utuh dan kukuh malah terus berkembang.

Bukan itu sahaja pimpinan dan pejuang PAS pernah dibunuh seperti Allahyarham Abdul Samad Gol, As-Syahid Ibrahim Libya dan sahabat-sahabatnya. Pimpinan dan ahli ditahan di bawah akta drakonian ISA, dibuang daerah, dinafikan hak sebagai rakyat dan pelbagai lagi dugaan dan cubaan.

Namun itu semua tidak melemahkan PAS, pimpinan dan ahli-ahlinya. Bahkan PAS terus diterima dan disokong oleh rakyat bukan sahaja yang beragama Islam tetapi juga yang bukan dan belum Islam.

PAS juga tidak pernah serik untuk bersahabat dan bertahaluf siyasi dengan rakan-rakan politiknya walaupun sering kali rakan-rakannya berbuat onar tetapi PAS tetap kekal dalam tahaluf siyasi tersebut seperti APU dan BA. Bukan PAS yang keluar dan menggagalkan tahaluf tersebut.

Itulah PAS, parti yang paling tua dan berpengalaman dalam sepak terajang perjuangan Islam dan politik Malaysia (Umno sekarang Umno baru yang lahir pada 1988). PAS tidak akan berkubur selagi Islam diletakkan sebagai asas perjuangan dan Al Quran serta As-Sunnah menjadi rujukan tertinggi.

Badai dan tribulasi dilalui dengan tenang dan sabar. Siapa yang ingin selamat dunia dan akhirat ayuh mari berjuang bersama-sama dengan PAS.  Siapa yang tidak sabar dan gopoh akhirnya akan menjadi golongan yang tercicir di sepanjang jalan perjuangan dan dakwah seperti yang terjadi kepada beberapa pimpinan tertinggi dan ahli-ahli yang keluar dari jemaah yang disayangi ini.

Perjuangan PAS bukan setakat di dunia, bukan bermatlamatkan wang ringgit dan kebendaan serta pangkat. Tetapi perjuangan PAS bermatlamatkan akhirat dan keredhaan Allah.

MOHD SOFI ABDUL WAHAB