Tarikh : 2 & 3 Ogos 2014

Lokasi : Menumbok-Kuala Penyu-Membakut-Beaufort-Sipitang-Papar-Kota Kinabalu

Sejurus tiba di tanah besar dari WP Labuan, kami singgah di rumah teman lama sekolah Ustaz Kamarulzaman Hassan dan adiknya Ustazah Norzaihan Hassan di Menumbok. Dari situ, Kamarul menunjukkan kepada kami rumah guru kelas saya di SK Pekan 2 (1989) Cikgu Rosnah Ismail yang sudah pencen dalam perkhidmatan. Alhamdulillah dapat bertemu selepas 25 tahun.

Kemudian meneruskan perjalanan ke rumah sahabat sekelas Ustazah Noramisah Ongki di Kampung Kerukan Kuala Penyu. Abangnya Tuan Haji Samin adalah guru kami juga yang kini menjawat Pengarah YADIM Sabah. Seterusnya kami ke Kg Palu-Palu Kuala Penyu, berziarah ke rumah Cik Rahmah dan famili yang selalu berziarah ke Darussyifa’ Lok Kawi. Di kalangan kami, Cik Rahmah dikenali sebagai pembuat dan penjual kek.

Seterusnya kami ke Kg Pimping Membakut menziarah rumah pelajar kami Mohd Sahleyzan Ismail yang baru saja khatam hafaz menjelang akhir Ramadhan lalu. Seterusnya kami Kg. Kitana Membakut menjelang maghrib, menuju ke rumah seorang lagi pelajar kami Fida Farhana dan keluarganya. Lokasi yang agak jauh dan kemudahan jalanraya yang tidak sempurna. Alhamdulillah dapat berkunjung ke sini buat pertama kali setelah gagal datang pada raya tahun lepas.

Kemudian kami ke Beaufort. Pertama ke Kg Limbawang di rumah kakak ipar Foziah Adnan yang berhari raya di sini. Abang saya yang bekerja di Arab Saudi tidak balik raya kali ini. Seterusnya ke Kg Rancangan Klias bertemu rakan sekelas di Toh Puan, Maahad Tahfiz dan Shoubra, Tuan Haji Yakob Jilun dan isteri Ustazah Suzanah Jamadi.

Sebahagian anak-anak sudah keletihan dan tertidur di rumah Hj Yakob. Keluarganya membekalkan kami makanan yang banyak kerana anak-anak tidak dapat makan malam tersebut. Kami memutuskan untuk bermalam di sebuah hotel di Beaufort sebelum meneruskan musafir esoknya.

Pagi ahad, saya menghantar isteri dan anak-anak balik ke Putatan sementara saya sendirian meneruskan musafir raya bersama 2 pelajar kelas saya di maahad, Adam dan Firdaus.

Terdahulu, saya menjemput dan beraya di rumah Adam di Kg Ulu Putatan. Pertama kali berziarah ke sini dan berbual panjang dengan ayahnya. Baru saya tau serba sedikit perniagaan kraftangan yang diusahakan keluarga ini. Seterusnya kami ke Kg Kuala Papar menjemput Firdaus Japisin, anak muda lepasan UMS yang kuat hati menghafaz al-Quran di maahad pula.

Seterusnya ke rumah bekas bos saya Ustaz Musally Moksin, KPP Penyelidikan dan Informasi JHEAINS. Salah seorang anaknya Maryamallyna juga adalah pelajar kami di maahad. Seterusnya kami ke Sipitang menziarahi majlis perkahwinan keluarga di Kg Buang Sayang. Hajat berziarah ke rumah seorang lagi pelajar Faizal Efendi di Kg Guruh-Guruh tidak kesampaian kerana beliau gagal dihubungi, sementalahan rumahnya tidak kami ketahui.

Kami patah balik ke Beaufort. Di sini hanya dapat berziarah ke rumah Tuan Haji Maarif Ansat yang bersendirian di rumah. Pelajar kami di sini, Kalsum Umayirah serta ahli keluarga lain sedang beraya di lokasi lain. Sebenarnya ramai pelajar maahad di daerah ini tetapi semua tiada di rumah. Kami meneruskan musafir ke Papar untuk menghantar Firdaus pulang.

Seterusnya menziarahi rumah Farain di Kg Melinsung Papar. Rumahnya hanya terletak di tepi jalan, bersebelahan dengan perumahan sebelum naik bukit Melinsung. Rumah keluarga di sini sudah beberapa kali saya singgahi sejak tahun lepas lagi. Seterusnya kami ke Taman Sempelang menziarahi rumah keluarga Hazwani Nurul Jannah Hj Haris, pelajar kami yang saya kenal beberapa tahun sekeluarganya.

Rumah terakhir ialah di Kg Tebobon Menggatal, menziarah seorang lagi pelajar kami Mohd Fauzan Dahlan. Hanya bersembang dengan Fauzan dan abangnya kerana kami sudah tiba agak lewat. Permusafiran yang meletihkan tetapi tetap indah dan seronok kerana berziarah ke rumah pelajar yang kami kasihi.

Raya 2014 (1) Raya 2014 (2) Raya 2014 (3) Raya 2014 (4) Raya 2014 (5) Raya 2014 (6) Raya 2014 (7) Raya 2014 (8) Raya 2014 (9)