Masjid Kg Lubok Temiang (2)

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Muzakkirullah Kg Lubok Temiang WP Labuan

 

Antara nasihat dan pesanan Rasulullah SAW saat ketika baginda SAW tiba di Kota Madinah selepas hijrahnya ialah dengan mengungkapkan kata-kata berikut (bermaksud) :

“Sebarkan salam, memberi orang makanan, hubungkan silaturrahim, mendirikan solat malam ketika orang lain sedang tidur. Kamu akan masuk ke dalam syurga dengan aman sejahtera”.

Marilah kita mengambil manfaat akan hadith ini apatah lagi dalam suasana kita menyambut hari raya aidil fitri. Sebarkan salam sebagaimana nasihat baginda SAW adalah makna kepada cinta keamanan dan kedamaian, tidak inginkan kepada perpecahan dan pertengkaran.

Menghidangkan makanan, walaupun tidak menanti kenduri atau hari raya. Menjamu makanan walaupun sedikit khususnya kepada tetamu adalah tanda-tanda keberkatan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada mereka yang beramal dengannya. Menjalinkan hubungan kasih sayang keluarga apatah lagi kita hidup pada zaman begini, hubungan keluarga besar yang mula kelihatan longgar, walaupun dunia semakin mengecil dengan teknologi maya dan gajet.

Mendirikan solat malam, setelah kita memperkukuh hubungan sesama manusia kita mempererat dan menambah saham hubungan kepada Allah SWT apatah lagi saat manusia semuanya sedang tidur lena di pembaringan. Setelah hubungan kedua-duanya dipelihara, maka Allah SWT akan memasukkan hambaNya nanti ke dalam syurga insya Allah.