Archive for 30 Julai 2014


Antara perkara yang menjadi kesukaan saya apabila balik kampung di WP Labuan ialah bertemu guru-guru lama khususnya ketika sekolah rendah. Di Labuan, saya sempat belajar di empat buah sekolah, dua sekolah rendah dan dua sekolah agama. Tidak termasuk pra sekolah di kampung sendiri.

Selepas solat raya, saya bertemu dengan dua orang guru sekolah saya. Ustaz Juisin Sinir yang berasal dari Keningau mengajar saya darjah 1 di SK Lubok Temiang dan selepas beberapa tahun beliau khabarnya masuk maktab perguruan dan menukar bidang pengajaran kepada bidang lain.

Selain itu bertemu dan bertanya khabar juga kepada Ustaz Mohammad Abdullah yang juga pernah mengajar saya dalam darjah 3 di Sekolah Agama Islam Lubok Temiang yang ketika itu beroperasi satu bangunan dengan masjid yang ada sekarang.

Alhamdulillah, kedua-dua guru saya ini masih sihat wal afiat dan berbakti kepada masyarakat.

Ust Juisin Sinir Ust Mohammad Abdullah

Masjid Kg Lubok Temiang

Tarikh : 28 Julai 2014

Khatib : Syahnon Othman

Lokasi : Masjid al-Muzakkirullah Kg Lubok Temiang WP Labuan

 

1 Syawal adalah detik kebenaran mengalahkan kebatilan. Saat kebaikan mengatasi kejahatan. Inilah roh takbir yang kita kumandangkan pada hari ini. Ia adalah takbir-takbir kemenangan, bukan takbir kesyahduan yang kita anggap selama ini.

Nostalgia yang sewajarnya kita imbau setiap kali bertakbir kebesaran, keagungan dan kuasa Allah yang mengatasi semua musuhNya. Hari ini ialah Islam berjaya menundukan kekufuran, kesyirikan dan kemunafikan.

Malang sekali sekiranya takbir raya sekadar mengimbau keindahan kampung halaman, wajah orang yang dirindu dan disayang, sedangkan ucapan Allahu Akbar, membawa pengertian Allah Maha Besar. Maka sayugianyalah, Allah dibesarkan berbanding dunia dan manusia.

Dalam lipatan sejarah silam, jelas asal usul takbir hari raya ialah luahan kesyukuran atas kemenangan agama. Kita akan temui roh perjuangan, semangat pengorbanan dan keyakinan yang tinggi di sebalik takbir ini. Justeru, mari kita lihat makna takbir Raya tersebut :

“Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah. Dan kami tidak sembah melainkan dia dengan penuh ikhlas, bagi Allah sahaja agama, meskipun dibenci oleh orang-orang kafir. Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan keesaanNya.

Benarlah janjiNya, memberi pertolongan kepada hambaNya, memberikan kemuliaan serta kemenangan kepada tenteraNya dan membinasakan tentera-tentera musuh Ahzab dengan keesaanNya”

Lafaz takbir ini berlatar belakangkan peristiwa perang al-Ahzab atau perang Khandaq, yang berlaku pada tahun 5 Hijrah di kota Madinah. Dalam peperangan ini, tentera Islam seramai 3,000 orang  telah berjaya mengalahkan  tentera bersekutu al-Ahzab seramai 10 ribu orang terdiri daripada Arab musyrikin dan Yahudi daripada Bani Nadir, Quraizah dan Bani Wail.

Parit yang lebar lagi dalam yang telah dikorek oleh Rasulullah SAW dan tentera Islam telah menghalang serangan musuh yang akhirnya ditewaskan oleh tiupan angin yang kuat. Hayatilah firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 22 :

Maksudnya : “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.”

Detik kemenangan itu telah disambut oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dengan bertakbir. Takbir Raya sepatutnya dijadikan pembakar semangat untuk mengimbau kemenangan silam itu bagi mencipta kemenangan baru. Sejarah kemenangan lampau bukan hanya kenangan tetapi perlu diambil ibrah bagi menghadapi kenyataan hari ini.

Hari raya tahun ini kita sambut di tengah serangan Zionist Yahudi terhadap pejuang Islam di Gazza. Pejuang Palestin sedang berdepan dengan serangan demi serangan untuk menghancurkan iman dan Islam di tanah air dan di dalam diri mereka. Kita sebagai saudara seIslam tidak akan berdiam diri melihat penghinaan ini. Kita berdoa, melaksanakan misi kemanusiaan dan menyalurkan dana kepada saudara seislam kita di Gaza.

Namun, satu persoalan serius yang mesti difikirkan oleh kita ialah apakah rahsia kejayaan Rasulullah SAW dan para sahabat mengalahkan musuh yang lebih ramai dengan peralatan fizikal dan material yang lebih lengkap?

Rahsia kekuatan itu terletak pada taqwa. Ya, tidak pernah dalam sejarah, umat Islam dapat mengatasi musuh-musuhnya tanpa kekuatan taqwa. Lihat sahaja, apa yang berlaku dalam Perang Ahzab. Bukankah kemenangan itu kerana taqwa? Apabila umat Islam bertaqwa, Allah akan menjadi pembelanya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Jaasiyah ayat 19 bermaksud :

“Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).”

%d bloggers like this: