Archive for 23 Julai 2014


Tarikh : 19 Julai 2014

Lokasi : Kg Gelapas Trusan Lawas

Pada asalnya, kami bertolak menuju ke Sipitang dan bermalam di rumah keluarga di Kg Buang Sayang terlebih awal sebelum bergerak ke Lawas pada pagi sabtu. Bersama saya ialah dua pelajar maahad, Khairunnizam dan Ramdan juga anak saya Abdul Hadi.

Kami sendiri dari Kota Kinabalu bertolak lewat sekitar jam 10.30 malam setelah selesai solat tarawih, dan satu majlis ringkas makan-makan di kelas semester 1 bersama seluruh pelajar kelas berkenaan. Akhirnya kami tiba di Sipitang sekitar jam 12.30 tengah malam di Kg Buang Sayang Sipitang di rumah Tuan Haji Zainal Timbang yang juga pengerusi Masjid Pekan Sipitang.

Sekitar jam 9 kami mula bergerak menyambung perjalanan ke Lawas Sarawak, dan tiba di persimpangan Trusan lebih kurang jam 10.30 pagi seterusnya singgah di tanah perkuburan nenek kami Almarhumah Kamariah binti Sahat, ibu kepada bapa kami Othman bin Mahali yang telah meninggal dunia pada tahun 1947 ketika bapa kami masih kecil dan berumur lingkungan 3 tahun. Ini kali kedua saya singgah di sini dalam keadaan saya lupa tempat kubur almarhumah.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju ke beberapa buah rumah yang sudah ditentukan dengan bantuan awal Tuan Haji Zainal Timbang sebelumnya. Kami berhajat untuk berziarah ke rumah pangkat sepupu bapa kami di Kg Gelapas tersebut. Kali terakhir pertemuan ini ialah setahun lepas, ketika itu kami sambil-sambil mengutip saki baki buah-buahan di kebun keluarga kami di sini.

Sebagai orang muda, saya merasa seronok bertemu dengan keluarga besar yang bercerita tentang hubungan keluarga antara satu sama lain, yang sebahagian besarnya tidak saya ketahui salsilah tersebut kerana perhubungan yang jarang berlaku. Ziarah ke sini sejak saya kecil hingga kini tidak lebih daripada lima kali pun.

Menjelang zuhur kami meninggalkan Kg Gelapas, singgah di bandar Lawas untuk membeli buah-buahan untuk dibawa balik ke Kota Kinabalu. Insya Allah walhamdulillah, walaupun letih dengan perjalanan jauh tambahan lagi sedang berpuasa, pertemuan singkat yang dapat mengeratkan kasih sayang silaturrahim. Insya Allah saya merancang permusafiran berikutnya satu hari nanti.

Lawas (1) Lawas (2)Lawas (10) Lawas (3) Lawas (4) Lawas (5) Lawas (6) Lawas (7) Lawas (8) Lawas (9)

RTMSabah

Tarikh : 18 Julai 2014

Lokasi : RTM Sabah

Alhamdulillah, sekali lagi dapat bersua dengan warga kementerian ini dalam siri ceramah yang sering mereka anjurkan dengan penceramah yang bertukar ganti. Saya suka datang ke sini dan berkongsi dengan pasukan media pelbagai latar, ada yang bahagian teknikal, ada yang penyampai radio, dan ada pegawai kanan.

Walaupun kehadiran kurang memberansangkan, saya hargai penganjur yang tetap istiqamah menganjurkan program seumpama ini tidak kira berapa ramai saja yang hadir. Antara yang saya suka di sini ialah penyediaan sistem suara yang baik – maklumlah mereka orang media, emcee yang bagus suara memulakan majlis, juga sesi soal jawab yang sentiasa meriah walaupun kehadiran ala kadar.

Memandangkan kejadian MH17 yang mengejutkan semua pihak, saya mulakan ceramah berkaitan tentang sikap dan pendirian Islam terhadap musibah yang berlaku, apa yang boleh kita buat dan apa yang kita dilarang melakukannya.

%d bloggers like this: