Datuk Idris Talib

Suramnya hati saya mendengar pemergian Ybhg Datuk Haji Idris Talib al-Hafiz, seorang ulamak al-Quran Negeri Melaka pada 11 Julai lepas kerana penderitaan penyakit kencing manis beliau. Tidak banyak saya kenali, melainkan hanya dalam tempoh 2007-2012 saya menyertai Lajnah Tashih al-Quran KDN yang Allahyarham Ustaz Datuk Idris turut bersama dalam JK tersebut.

Saya mengetahui beliau sebagai seorang tokoh yang terkenal di Melaka, lembut orangnya dan kasih kepada anak-anak yatim. Kami para ahli lajnah satu ketika apabila bermesyuarat di Melaka tidak akan melepaskan peluang berziarah ke rumah beliau dan bertemu anak-anak yatim beliau. Kebetulan dua kali berziarah, kedua-dua itu pula musim durian, dan kami dilayan dengan meriah sekali.

Dalam mana-mana mesyuarat, Allahyarham sering membawa anak yatim secara bergilir-gilir di hotel-hotel tempat mesyuarat berlangsung. Anak-anak ini akan membawakan beg atau bahan mesyuarat beliau dan mengiring beliau keluar dan masuk ke bilik persidangan.

Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang sebaik-baiknya kepada Allahyarham Ustaz Datuk Haji Idris Talib atas amal solehnya semasa di dunia dan semoga berpanjangan sehingga hari kiamat serta mengampunkan dosa-dosanya.