Archive for 17 Julai 2014


Datuk Idris Talib

Suramnya hati saya mendengar pemergian Ybhg Datuk Haji Idris Talib al-Hafiz, seorang ulamak al-Quran Negeri Melaka pada 11 Julai lepas kerana penderitaan penyakit kencing manis beliau. Tidak banyak saya kenali, melainkan hanya dalam tempoh 2007-2012 saya menyertai Lajnah Tashih al-Quran KDN yang Allahyarham Ustaz Datuk Idris turut bersama dalam JK tersebut.

Saya mengetahui beliau sebagai seorang tokoh yang terkenal di Melaka, lembut orangnya dan kasih kepada anak-anak yatim. Kami para ahli lajnah satu ketika apabila bermesyuarat di Melaka tidak akan melepaskan peluang berziarah ke rumah beliau dan bertemu anak-anak yatim beliau. Kebetulan dua kali berziarah, kedua-dua itu pula musim durian, dan kami dilayan dengan meriah sekali.

Dalam mana-mana mesyuarat, Allahyarham sering membawa anak yatim secara bergilir-gilir di hotel-hotel tempat mesyuarat berlangsung. Anak-anak ini akan membawakan beg atau bahan mesyuarat beliau dan mengiring beliau keluar dan masuk ke bilik persidangan.

Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang sebaik-baiknya kepada Allahyarham Ustaz Datuk Haji Idris Talib atas amal solehnya semasa di dunia dan semoga berpanjangan sehingga hari kiamat serta mengampunkan dosa-dosanya.

Suhaidi Saad

Sebelum dan hari-hari awal Ramadhan, kami tidak mendengar sebarang spekulasi tentang perpindahannya. Hanya masuk minggu kedua, cerita pertukaran mula tersebar.

Setinggi tahniah saya kepada Ustaz Suhaidi Saad, sahabat setugas kami di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah. Dari sudut kerjaya, beliau masuk beberapa bulan sebelum saya ke sini pada tahun 2011 dan ini adalah kerjaya beliau yang pertama dalam perkhidmatan awam.

Saya mengenalinya sekitar 10 tahun lalu, saya berkhidmat sambilan di Maahad ini ketika itu lokasinya di Jalan Sembulan. Suhaidi ketika tu masih bergelar pelajar maahad dan saya sempat mengajarnya sebentar. Suhaidi saya kenali sebagai pelajar yang baik dan mendengar cakap guru.

Semoga perpindahan Suhaidi ke Masjid Negeri sebagai orang nombor dua akan dapat lebih memperkasakan aktiviti pengimarahan masjid kembali meriah seperti satu ketika dahulu. Harapan saya dan para jamaah terlalu tinggi.

%d bloggers like this: