Sumber : Web JHEAINS

Menurut jumhur ulama, peristiwa Nuzul al-Quran terjadi pada malam Jumaat, tanggal 17 Ramadan, ketika Nabi SAW sedang bersunyi-sunyian di Gua Hira’. Penurunan al-Quran tidak terjadi sekali gus, tetapi berperingkat-peringkat dalam tempoh 23 tahun.

Dan, kebenarannya sebagai kitab dari Allah SWT serta kesempurnannya sebagai kitab petunjuk dan pedoman bagi orang yang hendak bertakwa tidak sama sekali boleh dipertikaikan. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:

Yang bermaksud: “Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa.” (S. Al-Baqarah: 2).

Dengan penegasan Allah tersebut, adalah jelas bahawa berkat petunjuk dan bimbingan al-Quran, hala tuju hidup manusia akan lebih teratur, jelas dan lebih terarah mengabdi diri kepada Allah SWT selaku Pencipta dan Pentadbir seluruh alam.

Buktinya, zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya kegemilangan berkat penurunan kitab suci al-Quran bilamana kesesatan diganti dengan kebenaran dan kehidupan yang bertuhankan hawa nafsu berubah kepada bertuhankan Allah Yang Maha Esa. Dalam erti kata yang lain, peristiwa Nuzul al-Quran menjana transformasi serta perubahan positif sekali gus membina peradaban yang unggul.

Sesungguhnya, al-Quran diturunkan untuk dibaca, bukan disimpan dalam keadaan suci menghiasi rak atau alamari buku dalam keadaan berdebu. Sehubungan itu, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masyarakat Islam di negeri kita masih fokus mengadakan majlis tadarus membaca al-Quran bagi mengimarah bulan Ramadan al-mubarak. Ini adalah antara bukti yang umat Islam masih mengimani al-Quran sebagai kalam Allah SWT yang wajib dipelajari, dibaca, difahami dan diamalkan segala ajarannya.

Justeru, adalah diharapkan agar majlis tadarus yang diadakan sama ada di dalam Ramadan mahupun di luar Ramadan tidak dianggap sebagai satu adat, tetapi hendaklah dilihat sebagai satu ibadat yang mengingatkan dan mendekatkan kita kepada kalam Allah SWT tersebut.

Ini akan mendorong kita menjadikan al-Quran sebagai kitab yang wajib dipelajari, dibaca, difahami, dihayati dan diamalkan segala perintah dan larangan yang terkandung di dalamnya. Dengan menghayati kandungan al-Quran, kita membina keyakinan hidup dengan beriktikad bahawa Allah SWT adalah kekasih yang abadi dan kebesaran-Nya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa.