Lipat Sajadah

Kalau kita perhati restoran KFC atau restoran-restoran makanan segera seumpamanya, mereka mengadakan ruangan permainan untuk menarik perhatian kanak-kanak datang ke sana. Mereka makan sedikit tapi kemudian bermain di dalamnya. Kanak-kanak tidak datang sendirian, tetapi membawa ibu bapa atau penjaga mereka.

Di restoran yang sama, mereka menyediakan singki aras rendah yang bersesuaian dengan ketinggian kanak-kanak. Begitu juga di lapangan-lapangan terbang, sebahagian tandas-tandas menyediakan singki bersaiz kanak-kanak. Sebahagian tandas menyediakan ruang untuk tukar lampin kepada bayi-bayi.

Saya membawa contoh sedemikian – yang bersifat kemudahan – bagaimana premis-premis tertentu menjadikan tempat mereka sebagai mesra kanak-kanak. Bagaimana kita hendak menjadikan masjid dan surau kita mesra terhadap semua golongan? Bermula dengan kanak-kanak sehingga dewasa, lelaki dan perempuan?

Tidak sedikit jamaah masjid atau surau yang lama bersikap kasar kepada kanak-kanak sehingga akhirnya mereka tidak lagi mahu ke masjid atau surau berkenaan sehingga mereka remaja atau muda belia. Ada juga yang tidak mahu memberi peluang kepada anak muda untuk berperanan di dalam masjid atau surau.

Apa yang ingin saya bawa di sini ialah, kita berikan mereka peranan mengikut keadaan umur dan kebolehan masing-masing. Ada remaja yang sudah boleh melaungkan azan, berikan mereka peluang sekali sekala sebagai muazzin; ada remaja atau kanak-kanak yang boleh diatur sebagai mengangkat pinggan mangkuk pada musim-musim kenduri; sehinggalah kanak-kanak yang boleh diberikan tugasan melipat sajadah.

Tugasan-tugasan seumpama ini jika kita bijak mengatur kepada mereka, menyebabkan mereka merasa dihargai oleh orang-orang dewasa dan masjid atau surau adalah mesra kepada mereka. Mari kita kreatif, berjiwa besar dan berfikiran positif agar masjid atau surau menjadi pusat kesatuan umat.