Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/29654-badar-kubra-ibrah-untuk-perjuangan

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Muqaddimah

Peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua  hijrah. Orang Islam pada mulanya hanyalah mahu menghalang pedagang Quraisy dan merampas barang dagangan mereka. Hal ini kerana kaum Quraisy telah menahan harta kaum muhajirin yang tinggal di Madinah. Sebagai balasan, kaum muslimin harus merebut harta dagangan Quraisy sebagai rampasan perang.

Rombongan ini diketuai oleh Abu Sufian dari Syam ke Makkah. Beliau telah menghantar Zamzam bin Ammar al-Ghifari pulang ke Makkah untuk memohon bantuan. Maka Amru bin Hisham (Abu Jahal) telah mengetuai pasukannya seramai 1000 orang. Badar terletak 130 kilometer di barat daya Madinah.

Sebagai anggota jamaah Islam, perlu kita mengambil pengajaran dan pengiktibaran untuk kita sama-sama menghayati ruh Badar di dalam gerakan kita.

Perjuangan akan diuji

Menjadi lumrah apabila Islam berkembang ia akan mendapat tentangan, ini adalah sunnah perjuangan Islam yang dilalui oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita. Ketika Islam lemah mereka buat tidak kisah dengan Islam, tetapi apabila ia semakin kuat maka mereka akan ganggu. Maka inilah yang berlaku kepada Rasulullah SAW di dalam peperangan Badar.

Orang Islam  hanya untuk sekat kafilah perniagaan yang membawa barang dagangan sahaja, bukan hendak berperang. Tetapi apabila mereka mahu berperang, maka Nabi SAW dan para sahabat tidak akan mudah mengalah begitu sahaja demi maruah Islam.

Mereka mahu bunuh benih perjuangan dan daulah Islamiah sejak mula lagi. Walau pun negara Madinah baru berusia dua tahun. Namun sudah dianggap bahaya kepada kuasa jahiliah. Keadaan yang berlaku di Palestin yang tidak berkesudahan.

Segenap penjuru mereka dibedil tanpa belas ehsan. Dunia Islam yang kaya dengan hasil mahsul, terutama negara Arab diam membisu kerana hati mereka sudah mati kerana termakan ubat pelali yang disuap oleh Amerika dan kuasa besar dunia.

Orang Jahat Sentiasa Bersalah

Orang kafir Quraisy yang jahat kepada baginda sejak di Makkah sudah takut dengan bayang-bayang. Mereka memikirkan apabila barang dagangan mereka disekat mereka ingat nabi SAW hendak berperang. Ini lumrah biasa bagi orang yang jahat, mereka fikir orang jahat seperti mereka juga.

Sikap ini berterusan sehingga hari kiamat kepada mereka yang mempunyai budi pekerti yang jahat. Mereka sentiasa diburu dengan ketakutan dan kesalahan sehingga mereka bertindak untuk melakukan kejahatan kepada orang lain.

Pertahan Islam, bukan ageda peribadi

Ketika menghadapi saat genting, baginda bermunajat dengan Allah SWT demi survival Islam, bukan keselamatan baginda dan keluarganya.

اللَّهُمَّ أَنْجِزْنِيْ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللّهُمَّ إِنْ تَهْلِك هَذِهِ الْعِصَابَة لاَ تُعْبَد في الأرض

Ya Allah Ya Tuhanku , tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku. Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku. Ya Allah Ya Tuhanku, Jika binasa kumpulan ini, nescaya tiada siapa lagi yang menyembahMu di dunia ini.

Inilah sikap seorang pejuang agama Allah, yang difikirkan ialah mengenai masa depan Islam, bukan keselamatan keluarganya, pangkatnya, projeknya. Hidup dan matinya hanya untuk Islam. Baginda takut tidak ada lagi orang yang hendak menyembah Allah, jika 313 orang ini dikalahkan oleh tentera Quraisy.

Kita sebagai anggota jemaah mesti merasa bimbang tentang masa depan Islam, bukan hanya untuk kepentingan diri kita sahaja. Jika sikap kita hanya untuk memikirkan kepentingan diri sendiri, maka tunggulah saat kehancurannya.

Lazimkan Bermesyuarat

Walau pun baginda seorang Rasul yang diberi wahyu oleh Allah, namun Baginda  diajar supaya di dalam satu keputusan besar mesti diputuskan secara bersama. Baginda melakukan demikian untuk mentarbiah umatnya, jangan abaikan mesyuarat.

Sepandai mana sekalipun kita, urusan mesyuarat jangan diabaikan. Insya-Allah di sana ada keberkatan. Secerdik mana sekalipun tidak boleh sama dengan keputusan yang dibuat secara beramai-ramai. Bagusnya mesyuarat, sekiranya salah semuanya bertanggungjawab. Berbeza dengan keputusan yang dibuat secara sendirian.

Di dalam jemaah, ada pandangan peribadi yang tidak boleh dijadikan keputusan, terutama yang membabitkan perkara yang besar. Jemaah bukan hak individu, tetapi hak semua ahli. Perlu diputuskan di dalam mesyuarat dan diambil keputusan secara bersama.

Amat malang kepada kita yang malas hadir mesyuarat, tetapi bercakap melebihi daripada orang yang hadir mesyuarat. Atau pun hadir mesyuarat tapi tidak patuh dengan keputusan mesyuarat. Orang ini semuanya ada masalah hati yang perlu dirawat, jika tidak membawa kebinasaan pada diri dan juga jamaah.

Taat

Di dalam organisasi atau jemaah tidak akan maju jika ada ahli yang keras kepala, ikut kepala sendiri. Merasakan beliau lebih pandai daripada pimpinan jemaah. Dia perasan, pandangan beliau paling terbaik. Walaupun ia hanya pandang dari satu sisi sahaja. Sedangkan jemaah mengambil kira dari semua sudut. Ia hanya pandang dengan keluasan tablet atau gajetnya sahaja, tidak lebih daripada itu.

Sikap sahabat daripada kalangan Ansar dan Muhajirin adalah contoh yang terbaik perlu diikut, terutama saat getir yang memerlukan keputusan yang padu daripada semua pihak. Kenyataan al-Miqdad bin al-Aswad dari pihak Muhajirin mendokong keputusan baginda Rasulullah SAW :

يَا رَسُولَ اللهِ اِمْضِ لِماَ أَرَاكَ اللهُ فَنَحْنُ مَعَكَ , وَ اللهِ لاَ نَقُوْلُ لَكَ كَماَ قَالَتْ بَنُوْا إِسْرَائِيْلَ لِمُوْسَى : اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِناَّ ههُناَ قَاعِدُوْنَ , وَلكِنِ اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِنَّا مَعَكُمَا مُقَاتِلُوْنَ , فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوْ سِرْتَ بِنَا إِلى بَرْكِ الْغِمَادِ لَجَالَدْنَا مَعَك، مِنْ دُوْنِهِ حَتَّى تَبْلُغَهُ .

“Wahai Rasulullah, teruskan apa yang telah ditunjukkan kepada mu oleh Allah nescaya kami bersama, demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa, pergilah kamu bersama tuhanmu, berperanglah kamu berdua, kami mahu tinggal di sini sahaja. Tetapi kami akan berkata: Pergilah kamu bersama tuhanmu, kami pasti akan berperang bersama kamu berdua, maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran. Kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al-Ghimad (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun yang terjadi.”

Lalu Saad bin Muadz yang mewakili golongan Ansar tidak akan melepaskan peluang untuk memberi janji setia kepada baginda Nabi SAW menegaskan:

فَقَدْ آمَنَّا بِكَ فَصَدَّقْناَكَ وَ شَهِدْناَ أَنَّ مَا جِئْتُ بِهِ هُوَ الْحَقُّ وَ أَعْطَيْناَكَ عَلى ذلِكَ عُهُوْدَناَ وَ مَوَاثِيْقَناَ عَلى السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ , فَامْضِ ياَ رَسُوْلَ اللهِ لِمَا أَرَدْتَ فَوَالَّذِيْ بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوِاسْتَعْرَضْتَ بِنَا هذَا الْبَحْرَ فَخُضْتَهُ لَخُضْناَهُ مَعَكَ مَا تَخَلَّفَ مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ , وَ مَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِناَ عَدُوَّناَ غَدًا , إِناَّ لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللِّقاَءِ . وَ لَعَلَّ اللهَ يُرِيْكَ مِنَّا ماَ تَقَرُّبِهِ عَيْنُكَ فَسِرْ بِناَ عَلى بَرَكَةِ اللهِ

“Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu, percaya kepadamu, kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan. Kami sedia mendengar dan taat kepadamu. Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki.

Maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun diantara kami yang akan berundur kebelakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok.

Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan. Marilah kita teruskan perjalanan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.”

Pertembungan Dasar Bukan Peribadi

Peperangan Badar juga disebut sebagai Yaumul Furqan (hari pembeza hak dan batil). Di dalam perjuangan ini kadang-kadang kita terpaksa berhadapan dengan orang yang paling kita rapat, iaitu ibu bapa, saudara mara terdekat sebagaimana di dalam peperangan Badar. Perjuangan kita bukan kerana individu tertentu, tetapi ialah kerana Islam.

Jika berjuang kerana individu maka tidak layak untuk bersama dengan perjuangan Islam. Kebiasaannya orang ini tidak lama di dalam perjuangan kerana nafas tidak panjang. Mereka ini akan membawa masalah di dalam jemaah, bekerja kerana individu bukan kerana Islam.

Oleh sebab itu, di dalam PAS kita dididik supaya faham matlamat perjuangan. Individu boleh datang dan boleh pergi. Paling malang  jika kita bersikap demikian, rugi di dunia dan di akhirat. Di dunia sudah pasti tidak mendapat apa-apa projek, manakala di akhirat pula semuanya sia-sia belaka di sisi Allah. Nauzubillah.

Perancangan Rapi

Baginda SAW adalah seorang yang pakar strategi peperangan. Ketika meyusun atur di dalam peperangan tersebut baginda mengambil kira dari segi kekuatan dan kelemahan pihak Islam dan Kuffar. Untuk mengetahui berapa bilangan musuh, baginda memperoleh maklumat daripada dua orang budak lelaki yang telah mendedahkan tentang tempat persinggahan orang Quraisy.

Apabila Rasulullah bertanya berapa ekor binatang yang disembelih untuk makanan mereka setiap hari, kanak-kanak itu menjawab 9 atau 10 ekor. Dengan kebijaksanaan Rasulullah, Baginda dapat menganggarkan jumlah tentera musuh seramai 900 hingga 1000 orang.

Baginda menerima pandangan al-Hubab bin Mundhir r.a. supaya tentera Islam berkubu dekat dengan sumber air, kemudian membuat kolam persediaan air untuk mereka dan menghancurkan sumber air yang lain sehingga dapat menghalang orang kafir Quraisy daripada mendapatkan air.

Kemudian Sa’ad bin Muadh mengusulkan untuk membangun benteng untuk Rasulullah SAW buat perlindungan dan sebagai markas bagi pasukan Muslimin. Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a. tinggal di dalam benteng sementara Sa’ad bin Muadh dan sekumpulan lelaki menjaganya.

Baginda mendidik kita supaya berlawan dengan penuh strategi, walaupun kita berjuang di pihak kebenaran. Islam melarang kita bertindak secara membabi buta tanpa memikirkan kesan kepada perjuangan Islam. Sedangkan baginda mempunyai wahyu, namun baginda tetap mendidik umatnya supaya bertindak di dalam suatu perkara penuh strategi.

Jangan Lupa Berdoa

Rasulullah mengajar kita walaupun kita telah menyusun  strategi yang terbaik, namun jangan lupa kita kepada Allah SWT untuk kita menyerahkan segala urusan kita kepadanya. Kerana doa merupalan senjata orang mukmin Rasulullah SAW telah menghabiskan sepanjang malam dengan berdoa dan beribadah walaupun baginda yakin bahwa Allah telah menjanjikannya kemenangan. Ini sebagai  lambang kecintaan dan perhambaan dirinya kepada Allah SWT.

Husnu Thiqah Billah (Sangka baik dengan Allah)

Sebagai pejuang Islam, kita mesti mempunyai sangka baik dengan Allah SWT yang akan membantu hambanya. Kita jangan gopoh hendak cepat melihat kemenangan. Jangan lari daripada fitrah perjuangan Islam. Ia memerlukan kesabaran dan semangat yang kental. Kita tidak boleh memetik hasil dengan cepat, kerana ia ada penapisan. Sesungguhnya kita mesti yakin dengan janji Allah kepada hambanya.

Kualiti Lebih Penting Daripada Kuantiti

Kualiti merujuk kepada mereka yang berada di saf hadapan. Semua mereka yang berada ditahap pemimpin, terutama di peringkat tertinggi perlu meningkatkan kualiti hubungan dengan Allah dan skil kepimpinan.

Mereka yang bergelar pemimpin mesti menunjukkan sikap dan akhlak yang terbaik untuk memenuhi pra syarat kemenangan. Di dalam peperangan Badar tentera Islam 313 orang dengan serba kekurangan, dua ekor kuda dan 70 ekor unta, manakala tentera Musyrikin Makkah 1000 orang, 100 ekor kuda dan 170 ekor unta.

Wehdah Asas Kejayaan

Walau pun bilangan tentera musyrikin Makkah lebih ramai daripada tentera Islam, tetapi mereka tidak bersatu dan berbelah bagi antara takut dan berani. Sedangkan tentera Islam walau pun sedikit, tetapi bersatu hati dan bersatu azam untuk bersama Rasulullah SAW. Walaupun orang Muhajirin yang terpaksa berhadapan dengan kaum dan bangsa mereka sendiri. Pada mereka ikatan tauhid mengatasi segala-galanya.

Kita sebagai anggota jemaah, mesti meletakkan kesatuan sebagai keutamaan. Perselisihan peribadi mesti diketepikan, kerana orang awam sedang memerhati. Masyarakat akan membuat telahan, jika kamu sesama sendiri pun tidak boleh disatukan, macam mana hendak memimpin negara dan rakyat. – HARAKAHDAILY 14/7/2014