Archive for 10 Julai 2014


 

aqsa1

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/29576-saham-kita-untuk-bunuh-saudara-kita

Oleh Dr Azman Ibrahim

Saya pernah tanya Syeikh Abdul Karim al Mudarris, ulama Kurdish yang mengajar di Masjid Syeikh Abdul Qadir Jailani, Baghdad.

“Saya berhajat sebelum pulang ke Malaysia, saya nak menziarahi Baitul Maqdis. Apa pandangan Syeikh…”

“Anakku… Baitul Maqdis itu di Israel, bukannya di Palestin!” Jawab Syeikh. “Macam mana nak masuk ke sana?” soalnya lagi.

“Kita boleh masuk melalui Jordan,” jelas saya.

“Apakah ada apa-apa bayaran yang perlu kita bayar untuk memasuki Israel?” Syeikh menuntut penjelasan.

“Ya… ada bayaran visa. Tapi saya tak pasti berapa US Dollar.” jawab saya.

“Kalau begitu jangan pergi anakku… pastikan tiada satu sen pun dari duit kamu yang dapat kepada Israel. Nanti mereka akan guna untuk bunuh saudara kamu di Palestin!” tegas Syeikh menyebabkan saya terdiam.

Memang isu seperti ini terdapat banyak pro dan kontra. Ada yang kata, kita perlu ke Baitul Maqdis untuk memberi sokongan moral kepada saudara kita di sana. Tetapi dalam masa yang sama, apabila berurusan dengan negara haram Israel bermakna kita mengiktiraf kewujudan mereka dan menyalurkan sumber kewangan kepada mereka. Mungkin kita kata, “Aahh! Sikit je! Bukan dia boleh buat beli bom pun!”

Ya! sikit-sikit seorang, bila ramai jadinya bukit!

Bagi saya, saya berpegang kepada pandangan Syeikh Kurdish ini yang saya yakini ilmu dan kewarakannya.

Tahukah kita bahawa Israel adalah sebuah negara industri atau negara pengeluar. Dengan penduduk hanya berjumlah lebih kurang 8 juta orang, mereka mempunyai pasaran dalam negara yang sangat terhad. Ke mana barangan pengeluaran mereka terutamanya keluaran industri makanan nak dipasarkan?

Saya ambil contoh mudah. Silakan ke pasaraya-pasaraya di Amman, Jordan. Perhatikan barangan makanan yang dalam tin dan berbungkus. Tercatat padanya, Made in Israel! Banyak lagi sebenarnya negara Liga Arab yang menjadi sumber pasaran yang cukup lumayan untuk bangsa haram ini.

Saya cuma catatkan apa yang pernah saya tengok sendiri. Negara Arab lain selain Iraq saya tak pernah sampai.

Tahukah kita juga bahawa Jordan bergantung kepada ihsan bekalan air daripada Israel walaupun sebenarnya Sungai Jordan yang bersempadan antara Jordan dan Israel adalah milik Jordan tetapi empangan untuk bekalan air dibina oleh Israel. Mereka yang proses dan bekalkan air balik kepada Jordan. Sama tak dengan jiran di selatan kita? – HARAKAHDAILY 10/7/2014

%d bloggers like this: