1. Saya ingin menegaskan bahawa PAS tidak akan sekali-sekali menggunakan jalan kekerasan dalam menegakkan Syariat Islam di Malaysia. Itu pendirian yang telah ditetapkan PAS sejak tertubuhnya parti Islam ini pada tahun 1951.

2. PAS mengambil pendekatan ‘muwajahah silmiyyah’ iaitu suatu bentuk pendekatan secara berdepan melalui penglibatan PAS dalam medan politik di negara ini.

3. Walaupun sepanjang penglibatan PAS di dalam persada politik negara, PAS sering kali menjadi mangsa fitnah dan kejian pihak musuh. Tidak cukup dengan itu, peristiwa berdarah yang terkenal seperti yang pernah berlaku di Memali yang telah mengorbankan pimpinannya, As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 14 yang lain pada 14 November 1985, dan juga termasuk siri-siri penahanan ramai di kalangan pimpinan dan aktivis PAS di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) suatu ketika dahulu.

4. Meskipun begitu dahsyat tekanan yang dikenakan terhadap PAS setelah sekian lama, ia tidak pernah menjadikan PAS berhasrat untuk mengubah keputusan dan kedudukan PAS dalam menyampaikan mesej-mesej Islam melalui jalan politik. Saya yakin masyarakat mula sedar dan menerima kehadiran PAS di medan siasah seterusnya menerima dakwah Islamiyyah yang diperjuangkan parti itu sejak kemerdekaan negara.

5. Adapun penglibatan Ustaz Lotfi Ariffin dengan kumpulan mujahidin di Timur Tengah adalah keputusan dan ijtihad peribadi beliau. Ianya bukan mewakili keputusan rasmi PAS secara keseluruhan. Justeru, tindakan sesetengah pihak menggembar-gemburkan isu mengangkat senjata di Malaysia adalah sangat tidak tepat apatah lagi dikaitkan pula dengan PAS.

6. Saya juga ingin menegaskan bahawa pengganas sebenar yang mengancam negara-negara umat Islam Timur Tengah adalah Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu sendiri. Mereka yang telah mencatur dan membiayai keganasan di sana. Pengaruh media barat berjaya memainkan watak penting dalam mengalih perhatian umat Islam sehinggakan mujahidin yang mengangkat senjata menentang rejim Basyar pula digelar sebagai ‘pemberontak’.

7. Istilah-istilah ‘pro-terrorist’ yang dilabelkan kepada kumpulan pejuang Islam yang mengangkat senjata ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran umat Islam terutamanya di negara ini. Walaupun sejarah panjang AS dan Israel telah pun membuktikan mereka perancang utama kepada keganasan di sana, namun, mereka tidak pernah dipandang sebagai pengganas.

Nasrudin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh
7 Julai 2014