Archive for 6 Julai 2014


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/29476-banyak-cara-untuk-bersedekah

Hadith: Dari Abu Dzar RA katanya:

Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau : Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.

Jawab Rasulullah SAW : Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.

Mereka bertanya : Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami? Jawab Rasulullah SAW Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala. (Riwayat: al-Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.

2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.

3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.

4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/29475-rasulullah-saw-paling-berkebajikan-di-bulan-ramadhan

عن عبدالله بن عباس رضي الله عنهما قال : ” كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن ، فلرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة ” . رواه البخاري

Diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma berkata; “Adalah Rasulullah saw orang yang paling berkebajikan ( أجود ). Baginda bersifat paling berkebajikan ( أجود ) pada bulan Ramadhan ketika baginda saw bertemu Jibril. Baginda bertemu Jibril pada setiap malam Ramadhan lalu bertadarus menyemak bacaan al-Quran. Rasulullah benar-benar lebih berkebajikan ( أجود ) melakukan kebaikan berbanding angin yang diutuskan” (Hadis Sahih Bukhari)

Pengajaran Hadis

1. Sifat berkebajikan ( الجود ) menurut Syara’ ialah memberi apa yang patut dan wajar kepada orang yang patut dan wajar. Ia lebih luas berbanding dermawan sedekah. Sedekah lebih terhad kepada harta namun berkebajikan merangkumi segala bentuk bantuan tenaga dan juga harta.

2. Tadaarus al-Quran atau menyemak bacaan al-Quran bermaksud seorang membaca manakala orang lain mendengar bacaan tersebut. Hikmahnya ialah memperbaharui semangat dan motivasi untuk menjadi orang yang lebih kaya jiwa dan cintakan Akhirat khususnya apabila memahami cerita dan pengajaran al-Quran. Kaya jiwa dan cinta Akhirat adalah peransang yang mendorong seseorang melakukan kebajikan.

3. Analogi dengan “angin yang diutuskan” adalah simbolik kepada:

a. Simbolik sifat berkebajikan yang berterusan tidak terputus-putus serta istiqamah kerana angin sifatnya ialah sentiasa datang dan bergerak menolak awan yang membawa hujan rahmat tanpa henti.

b. Simbolik Kebajikan yang merangkumi semua pihak kerana hujan yang berlaku disebabkan angin memberi manfaat kepada semua sama ada manusia atau binatang atau tumbuh-tumbuhan. Juga merangkumi mereka yang beriman dan kufur, mukmin mahupun fasik.

c. Simbolik kepada bersegera melakukan kebajikan sebagaimana angin begitu laju dan cepat meniupkan awan yang membawa hujan.

4. Moga Allah jadikan kita di kalangan orang-orang yang paling berkebajikan sepanjang Ramadhan.

5. Jika kebajikan tidak mampu dilunaskan dengan harta maka lunaskanlah dengan tenaga mahupun fikiran. Jika harta tak mampu disediakan maka jadilah wakil-wakil dan orang-orang tengah yang mengusahakan harta sumbangan daripada orang yang mampu dan salurkan ia ke jalan Allah.

Disediakan oleh:

YB Ust Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 7 Ramadhan 1435
5hb Julai 2014

%d bloggers like this: