Sumber : Web JAKIM

Bulan Ramadhan adalah sangat istimewa berbanding bulan-bulan yang lain. Ia menjadi istimewa kerana di dalamnya terkumpul hampir semua ibadah  khusus terutamanya ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain seperti solat tarawih, solat witir, tilawah al-Quran, beriktikaf, berzakat, sedekah dan lain-lain.

Setiap ibadah khusus ini pula mempunyai kelebihan pahala tertentu yang menjadi ransangan untuk kita menjadi insan soleh. Dr.  Yusof  al-Qaradhawi di  dalam  bukunya ‘al-‘Ibadah  fi  al-Islam’,  telah menggariskan beberapa rahsia dalam amalan berpuasa antaranya ialah :

Dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu. Menyihatkan jasmani dan badan, mendidik kearah melakukan kebaikan. mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT  kepada makhluk dan dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain.

Oleh itu, selari dengan keberkatan ibadah puasa di bulan yang suci ini, maka Allah SWT menjanjikan rahmat, pengampunan dan jaminan syurga.  Hadith Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Iman Ahmad  bermaksud :

Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardukan ke atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan.