Satu idea yang Allah SWT kurniakan menjelang Ramadhan untuk saya praktikkan dalam bulan Ramadhan kali ini ialah mengadakan tadarrus al-Quran untuk anak-anak kami yang sudah boleh membaca al-Quran iaitu Nuha, Hana, Hadi & Lu’lu’.

Prosesnya berjalan setiap hari, dan setiap hari tu pula diadakan beberapa sesi mengikut kesesuaian mereka sama ada sebelah pagi, petang atau malam dengan jumlah setiap hari tidak kurang daripada 1 juzuk. Sasaran kami ialah kumpulan tadarrus mereka boleh khatam pada akhir Ramadhan nanti.

Dari segi penjagaan, saya tidak banyak mengawasi bacaan mereka. Sasaran awal saya agar mereka boleh baca dan suka membaca, tanpa perlu keras terhadap hukum hakam tajwid pada peringkat ini. Setiap sesi dilantik sebagai ketua berganti-ganti, mengumpul adik beradik mereka sehingga target setiap sesi dapat diperolehi.

Kaedah bacanya, tidaklah seperti orang awam yang membaca biasanya 1 muka seorang bergilir-gilir. Ada juga yang 2 muka atau 1 maqra’ seorang. Untuk anak-anak kami, saya buat seorang membaca hanya 1 ayat dan kemudian digilirkan pada ayat berikutnya, supaya tempoh menunggunya tidak lama.

Tadarrus (1) Tadarrus (2)