Archive for 21 Jun 2014


Masjid Azizurrahman

Tarikh : 20 Jun 2014

Lokasi : Masjid Azizurrahman Kimanis Papar

Alhamdulillah, akhirnya buat julung kali dapat berkuliah di sini. Selalu juga singgah di sini dalam permusafiran antara Kota Kinabalu – Labuan. Kesempatan dengan tibanya giliran berkuliah kali ini dapat membina hubungan ukhuwah bersama jamaah masjid. Saya terkenang pada tahun 2007, ketika masjid ini masih dalam pembinaan kami singgah bersama TYT ketika itu Tun Ahmadshah Abdullah di sini.

Tun Ahmadshah ada mencadangkan agar mana-mana masjid baru seperti ini tidak mengabaikan ruang atau bilik perpustakaan walaupun kecil. Masjid katanya, yang menjadi pusat pertemuan umat Islam sepatutnya menjadi contoh dengan mengadakan perpustakaan yang memuatkan buku-buku bersesuaian. Kisah persinggahan itu saya turut ceritakan kepada para jamaah malam tadi.

Maghrib

Sumber : Web JHEAINS

Tuntutan ikhlas dalam melakukan amal ibadat, amal soleh atau apa jua pekerjaan dan sebagainya itu, kerana ia menjadi pelengkap kesempurnaan amal berkenaan di sisi Allah SWT, ini sebagaimana pesanan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud :

“Ikhlaskanlah amalmu dan sudah mencukupi untuk mu amalan yang sedikit (asalkan dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah)”. (HR Ad-Dailami)

Apa dan bagaimana sifat ikhlas itu boleh dilihat atau diaplikasi dalam niat, perkataan dan amalan seharian kita. Ibrahim bin Adham rahimahullahu Ta’ala alaihi seorang tokoh sufi tersohor pernah berkata: Ikhlas itu ialah benar niat berserta Allah Azza wa Jalla.

Ini bermakna ikhlas itu mesti nampak benar-benar bersih daripada segala percampuran dengan sifat-sifat lain seperti percampuran antara sifat ikhlas dengan sifat ria’, sum’ah dan ‘ujub sama ada dalam niat, perkataan atau perbuatan.

Sebagai contoh dan penjelasan, sekiranya dalam melaksanakan amal ibadah dan amal-amal soleh yang lain seperti sedekah, zikir, membaca Al Quran, iktikaf dan sebagainya masih terdapat percampuran antara niat ikhlas dengan sifat ria’ atau menunjuk-nunjuk dalam amal ibadat dan amal soleh yang dilakukan, maka bermakna ikhlas itu belum bersih dan belum tercapai.

Atau percampuran antara ikhlas dengan sifat sum’ah supaya dilihat kitalah yang rajin dan terkenal kuat ibadat, banyak sedekah, menderma atau sifat ‘ujub sebab merasa kagum serta bangga diri bahawa kitalah yang paling banyak beribadat, banyak bersedekah, banyak membantu orang susah, anak yatim atau paling banyak berzikir dan sebagainya.

Dengan itu, perbetulkanlah kesilapan dalam amal ibadat, amal-amal soleh atau apa jua pekerjaan kita, iaitu dahulukanlah ikhlas dan keikhlasan, insya Allah barulah ibadat, amal-amal soleh atau kerja yang dilakukan akan lebih sempurna, bertambah baik dan benar-benar diterima serta mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

%d bloggers like this: