Archive for 11 Jun 2014


Sumber : http://www.sinarharian.com.my/wawancara/jangan-ragu-status-halal-jakim-1.286084

INSIDEN DNA babi dalam dua coklat keluaran Cadbury menjadi gempar apabila kedua-dua produk itu mempunyai logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pengguna Islam khususnya begitu marah dengan pendedahan itu sehingga ada pihak yang mahu mengambil tindakan undang-undang selain mahu memboikot produk syarikat tersebut.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan prosedur bagi mendapatkan status halal sesuatu produk, ikuti temubual wartawan Sinar Harian, NORUTUL ILHAM MAD JARI bersama Ketua Pengarah Jakim, DATUK OTHMAN MUSTAPHA, Pengarah Bahagian Halal Jakim, HAKIMAH MOHD YUSOFF dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim, MOHD AMRI ABDULLAH.

SINAR HARIAN: Boleh Datuk terangkan sedikit mengenai insiden dua coklat Cadbury yang ditemui DNA babi?

OTHMAN: Isu ini hebat sekali sehinggakan saya sendiri terima keratan laporan akhbar di Mesir berkenaan isu Cadbury di Malaysia. Senario ini kecoh dan meresahkan masyarakat apabila telah dikeluarkan maklumat hasil daripada makmal Kementerian Kesihatan yang bocor pada 23 Mei lalu di facebook dan sebagainya.

Sedangkan kami tidak tahu keputusan oleh makmal Kementerian Kesihatan, kuasa yang diberikan kepada dia (Kementerian Kesihatan) adalah untuk memastikan bahan yang ada dalam sesuatu produk itu adalah sama dengan apa yang dicatatkan pada bungkusan.

Bila kandungan itu ditemui ada porsin (DNA babi), sudah melangkaui daripada pihak kami, iaitu coklat yang dianalisis itu mempunyai DNA babi, kalau temui sayur tiada masalah. Masyarakat terus salahkan Jakim. Tapi kita tidak dilaporkan analisis itu dikatakan ada DNA babi.

Pada pagi 24 Mei, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Hisham buat kenyataan dan petang itu saya terus panggil mesyuarat dengan semua pegawai dan ambil keputusan menggantung sijil halal dua coklat Cadbury sehingga siasatan siap dilakukan.

SINAR HARIAN: Ada yang mendakwa Jakim lambat ambil tindakan, kerana dikatakan bahawa kajian dibuat Kementerian Kesihatan pada 27 Februari dan 23 Mei baru diketahui. Boleh Datuk jelaskan?

OTHMAN: Kenapa kami lambat ambil tindakan sebenarnya kami tiada laporan. Pada 2004 kita memberikan sijil halal kepada Cadbury sehingga sekarang, kita buat pemeriksaan berkala. Di samping pemeriksaan berkala itu ada eksekutif halal untuk semak perjalanan kilang itu mematuhi halal atau tidak, dalam perkara ini mereka ada pihak Internal halal Community.

Terakhir kita buat pemeriksaan di kilang Cadbury pada 27 Februari lalu, Cadbury masih patuhi sijil halal. Kajian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada 27 Februari iaitu mengambil sampel yang kita tidak tahu apa kedudukannya.

SINAR HARIAN: Mengapa perlu diadakan uji kaji semula balik sedangkan, ujian sudah dibuat oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini.

OTHMAN: Ujian semula ini adalah kerana mengambil kira hasil mesyuarat dua hari lepas yang dihadiri Kementerian Kesihatan, Jabatan Standard, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kimia yang memberikan kebenaran untuk lakukan uji kaji kepada makmal standard di Malaysia.

Jabatan Kimia adalah satu-satunya diakreditasi oleh Jabatan Standard untuk ujian sampai kepada ujian ada DNA babi. Jabatan Kimia juga memanualkan pensijilan halal Malaysia dan menetapkan bahawa hasil analisis daripada Jabatan Kimia sahaja boleh diguna pakai untuk pensijilan halal, bahkan di mahkamah sekalipun jika berlaku kes-kes tertentu.

Seperti apa yang berlaku sekarang ini, jika ada pihak yang membawa ke mahkamah, pihak mahkamah hanya pakai apa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia sahaja, malah Kementerian Kesihatan sendiri pun kena rujuk kepada Jabatan Kimia juga.

Oleh sebab itu, kita perlu membuat ujian semula, proses untuk mengkaji sampel ini mengikut peraturan yang ketat, seperti orang tertentu layak ambil sampel dan ianya perlu diambil di kilang dan bukannya di kedai supaya ia bersih dan tiada percampuran.

Dalam kes Cadbury ini, andainya berlaku positif yang kita kira proses yang kita beri sudah cukup ikut standard dan SOP dan andainya berlaku juga, maknanya kita harus ambil tindakan yang sesuai di bawah akta perdagangan yang di bawah kuasa kita. Mungkin hari Rabu kita dapat, tapi kalau dapat lebih cepat, kita akan beritahu lebih awal.

Masyarakat tengah marah pada Jakim, dan mereka tidak tahu prosedur yang bagaimana atau kenapa Jakim suruh orang lain buat, patutnya Jakim yang buat sendiri. Tapi kena ingat kita ada SOP yang perlu dipatuhi dan standard yang telah diiktiraf luar negara, bahkan luar negara akan tiru kita, jadi tidakkan kita mahu mengabaikan apa yang kita ada.

SINAR HARIAN: Apakah dengan tindakan menggantung sijil halal ini kerana produk itu adalah haram untuk dimakan? Boleh Jakim perjelaskan.

HAKIMAH: Apabila kita menggantung sijil halal itu adalah bertujuan siasatan, jadi dalam status ini, dalam tempoh ini, kita katakan status coklat yang terlibat masih belum boleh dikatakan haram lagi.

Kekacauan dalam masyarakat sekarang ini kerana mereka tidak faham, mungkin mereka rasa kotor, jijik sebab sudah termakan, dan rasa sangat berdosa dan dalam keadaan tidak tahu apa yang mahu dilakukan, itu yang membuatkan mereka marah kepada Jakim dan Cadbury. Sebenarnya tidak timbul isu tersebut kerana dari segi hukumnya juga jika kita termakan kerana tidak tahu tidak berdosa pun.

Tapi dalam hal ini kita tidak tentu lagi hukum dan kedudukannya status halal produk berkenaan, jadi ekoran perkara itu saya harap masyarakat diberikan pemahaman bahawa kita masih menggantung bukan sebab lambat ambil tindakan, tapi prosedur kilang, kita kena buat secara teratur, jika kita ambil tindakan sekarang pun, atas dasar apa, atas bukti apa untuk kita bawa ke mahkamah? Jadi di situ akan timbulkan kemarahan, tapi bila kita siasat, kita akan menyiasat secara keseluruhan.

Maksudnya kita akan teliti semula proses di kilang tersebut sama ada berlaku penyelewengan atau tidak. Kita tidak tahu sampel yang diambil oleh Kementerian Kesihatan adalah sampel di pasaran yang diambil secara rawak, jadi di pasaran kita tidak tahu apa yang berlaku, sebagai contoh, ayam disembelih secara halal, diberikan sijil halal dan sebagainya.

Jika keluar ke restoran masak campur dengan babi katakan, adakah itu kita nak salahkan rumah sembelih? Atau pun kita nak salahkan orang yang bagi sijil halal? Itu adalah di luar kawalan kita. Dalam hal ini kita kena tengok secara menyeluruh, tapi kalau memang terbukti bahawa Cadbury ini ada penyelewengan dalam siasatan kita, saya rasa kita orang pertama yang akan ambil tindakan.

Tapi dalam soal ini kita perlu siasat lebih terperinci berlandaskan undang-undang yang ada kesannya, kalau cepat sangat ambil tindakan tanpa diteliti akan jadi isu di kemudian pula.

SINAR HARIAN: Adakah benar Jakim menyerahkan kepada pihak lain yang buat uji kaji bagi pengesahan halal untuk diberikan sijil?

HAKIMAH: Tidak, kita yang buat sendiri, kita ada auditor yang cekap membuat pemeriksaan audit. Selepas mereka dapat sijil mereka tertakluk di bawah pemeriksaan berkala, yang itu bahagian lain di Jakim akan uruskan.

Tapi kita mahu jaga kualiti supaya tiada pihak yang ada kepentingan dalam badan itu, proses permohonan akan dilaksanakan oleh kumpulan lain, audit juga individu lain dan pemantauan juga dilakukan oleh kumpulan lain. Sekalipun pihak yang ingin meluluskan permohonan itu dibuat oleh panel yang lain yang langsung tidak terlibat dengan pemeriksaan kerana kita jaga supaya tiada pihak berkepentingan di situ.

SINAR HARIAN: Bermakna unsur salah laku terlalu sukar berlaku atau sebagainya?

HAKIMAH: Memang agak sukar, kalau ada orang yang mahu rasuah kita, di peringkat mana mereka akan merasuah kita? Kalau di peringkat proses, mereka tidak akan terlibat membuat keputusan. Begitu juga audit pun sama tidak terlibat. Banyak kes apabila auditor membuat laporan syor supaya diluluskan, tapi kalau panel tidak berpuas hati tidak akan lulus juga. Kita jaga integriti.

SINAR HARIAN: Boleh bagi maklumat proses untuk dapatkan sijil halal.

HAKIMAH: Permohonan dibuat secara online melalui sistem e halal apabila mereka masuk dalam sistem itu, pihak terlibat kena umumkan bahan dan produk yang digunakan dan bahan ramuan termasuk pembekal setiap bahan yang digunakan itu tahu status.

Kalau syarikat pengeluar ada sijil, boleh tampilkan sekali, tapi kalau tiada sijil, boleh buat rujukan lain serta dokumen lain yang boleh menyokong bahawa tiada penggunaan bahan haram dalam ramuan itu.

Kita teliti bukan sahaja bahan tetapi bahan mentahnya sekali. Contohnya kalau kita berniaga nasi lemak, ada sambal yang ramuan itu ada dalam nasi lemak, dalam sambal itu kita kena semak pula apa yang ada dalamnya, contohnya sambal ayam, jadi kita kena tengok ayam itu disembelih secara halal atau tidak. Sampai ke tahap itu kita akan semak.

Jadi bukan semudah itu untuk kita bagi sijil halal. Kita perlu penelitian sedemikian. Selepas buat penelitian, kita buat semakan audit secara terperinci dan kita akan ke kilang. Audit di Kilang bukan sahaja kepada bahan ramuan sahaja, tapi kita akan tentukan bagi pembuktian berkenaan produk itu. Kita juga tengok proses produk berkenaan, peralatan, kebersihan persekitaran serta pekerjanya.

Kita juga mewajibkan kilang ada eksekutif halal, dan sekarang ini pun kita letak tanggungjawab itu kepada industri terutamanya syarikat multinasional secara berperingkat. Bermula tahun ini kita mewajibkan Sistem Internal Halal iaitu sistem jaminan halal perlu dilaksanakan secara berkesan. Memang itu adalah salah satu keperluan.

Tapi kalau kita dapati kilang tidak mematuhi peraturan kita akan keluarkan notis ketidakakuran dan ia perlu tutup. Ia sama macam sijil halal lain, selepas auditor kita berpuas hati baru buat laporan kepada panel yang lain. Panel pula kita tidak benarkan pihak yang terdiri daripada pihak auditor.

Auditor tidak boleh masuk mesyuarat panel kecuali perlu mendapatkan penjelasan. Jadi kita akan panggil bagi penjelasan, jadi pihaknya tidak boleh pengaruhi keputusan. Selepas panel berpuas hati, baru kita (Jakim) keluarkan sijil. Sijil kita keluarkan juga ada ciri-ciri keselamatan daripada segi kertas, kalau restoran kita bekalkan poster berasingan yang ada cip dan boleh tengok dalam halal hub square.

Restoran atau hotel yang ada logo halal itu boleh dibuat imbasan, kalau sah pun akan keluar dan tidak sah pun akan keluar. Setiap premis kita akan bagi, kalau katakan Mcdonald, kita bukan bagi satu sahaja, tapi kita akan bagi setiap premis dengan alamat masing-masing.

Selepas itu, pihak tersebut akan terlibat dengan jadual semakan daripada kita untuk satu syarikat tempoh sijil akan dilakukan setahun sekali sekurang-kurangnya, tapi kalau kilang itu berisiko, kita akan pergi lagi kerap dan jika ada aduan kita akan serta merta buat pemantauan dengan pemeriksaan mengejut.

Tapi kalau kita ada keraguan dalam bahan makanan, kita akan ambil sampel hantar ke Jabatan Kimia semasa audit sebelum kita beri kelulusan.

SINAR HARIAN: Adakah Jakim akan memperkukuhkan sistem selepas insiden ini?

OTHMAN: Kita akan ikut SOP yang berkenaan, bukan sahaja terhadap Cadbury sahaja tetapi untuk yang lain juga. Kecuali kalau kita setuju supaya syarikat buat pemantauan sendiri dengan mengambil sampel bahan ramuan yang kritikal untuk dihantar ke makmal bagi kepastian mereka.

SINAR HARIAN: Adakah sesuai swastakan makmal analisis? 

HAKIMAH: Dulu pernah ada. Timbul juga isu ini apabila untuk kita swastakan pemeriksaan, dengan kosnya, integritinya, sebab itu kita ambil balik. Sekarang ini kita perlu perkuatkan tenaga kita dengan lebih ramai.

SINAR HARIAN: Betulkah sijil halal boleh dibeli?

HAKIMAH: Tidak mungkin, tapi jika ada pihak lain yang menyamar jadi pihak Jakim dengan menawarkan kepada orang lain untuk beli mungkin ada. Sebelum ini pun ada laporan bahawa seorang datuk ada jual sijil halal, tapi itu bukan dari kita. Mereka mungkin menyamar dan menawarkan diri untuk memperakui sijil halal memandangkan Jakim begitu susah untuk keluarkan sijil halal.

SINAR HARIAN: Apa pandangan Datuk ada pihak yang mahu saman Cadbury, adakah relevan atau tidak?

OTHMAN: Kalau maklumat itu tidak sah, apa akan jadi kepada mereka? Mungkin Cadbury akan saman balik kepadanya. Sekarang ini pun Cadbury sudah jatuh (prestasi) kerana sudah digembar-gemburkan isu ini sekarang.

SINAR HARIAN: Adakah analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan adalah sama dengan apa yang dibuat oleh Jakim?

HAKIMAH: Itu Jabatan Kimia yang buat, tapi dalam semakan DNA ini, akreditasi bukan diberikan untuk satu makmal sahaja, semua dia boleh buat. Orang ingat jika makmal beritahu yang  dia dapat ISO 17025, jadi satu makmal dapat sijil halal, sebenarnya ia tidak begitu kerana ia akan dapat akreditasi berdasarkan kaedah dan skop, jadi kaedah yang digunakan untuk DNA adalah skop apa? Jadi kalau ia ada dua tiga produk berasaskan daging, ia ada satu kaedah dan skop sahaja.

Masyarakat nampak benda ini mudah, mereka ingat kita letak sahaja mikroskop di bawah makanan dan boleh kesan ada babi atau tidak. Bukan macam itu, ia sangat teknikal dan penelitian yang lebih.

SINAR HARIAN: Adakah makmal Kementerian Kesihatan boleh buat ujian DNA babi?

MOHD AMRI: Kita kena tengok dari sudut undang-undang, Jabatan Kimia terikat dengan halal di bawah Akta Perdagangan Halal 2011. Halal ini disebut di bawah perintah perdagangan halal, maka undang-undang ini termaktub di di bawah bidang kuasa KPDNKK yang memberi kuasa kepada pegawai Jakim untuk mengambil tindakan.

Di bawah akta perdagangan ini mengguna pakai dari Jabatan Kimia sahaja, yang diiktiraf. Di bawah Kementerian Kesihatan ia ada Akta Makanan 1983 menggunakan makmal mereka, tapi dalam bab halal ini, mereka tidak boleh diambil di bawah akta makanan.

Ia kena ambil di bawah Akta Perdagangan 2011 yang hanya menyebut mesti datang daripada keputusan Jabatan Kimia yang diambil oleh orang yang diberi kuasa, sebab itu kami tidak boleh ambil keputusan daripada Kementerian Kesihatan sebab dia tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Perdagangan 2011.

HAKIMAH: Sampel yang diambil oleh KKM adalah sampel pemantauan, dan dihantar ke makmal kesihatan awam untuk pemeriksaan sahaja, tetapi kalau mahu ambil kes di bawah akta makanan, mereka kena ambil sampel yang formal dari kilang untuk dihantar ke Jabatan Kimia juga, baru dapat dipastikan.

SINAR HARIAN: Apa nasihat Datuk kepada orang ramai?

OTHMAN: Saya minta masyarakat harus lihat balik kedudukan perkara ini, saya pun Orang Islam, kita ada keluarga, takkan kita membenarkan orang lain makan babi. Benda ini sama juga kepada masyarakat.

Tapi Jakim diberikan SOP, jadi Jakim perlu ikut. Kalau kita tidak ikut, apa lagi yang orang akan kata kepada kami. Nasihat saya supaya sabar, kita lihat keputusan mengikut kepada undang-undang yang diberi, jadi kita tunggu Jabatan Kimia sama ada kata positif atau negatif.

SINAR HARIAN: Selepas insiden ini, adakah Jakim akan membuat pemeriksaan juga kepada syarikat lain?

OTHMAN: Seperti saya cakap tadi, bukan sahaja Cadbury, tapi semua syarikat lain juga ikut prosedur.

HAKIMAH: Mungkin kita perlu perkukuhkan lagi dari segi keperluan halal kerana kita lihat halal bukan hanya tanggungjawab Jakim sahaja, kita nampak tanggungjawab industri juga penting. Kalau mereka tidak faham, mungkin ada berlaku penyelewengan secara tidak sengaja. Tapi mungkin mereka ada sistem halal dalaman yang kukuh.

Bila ada sistem dalaman begitu, maknanya mereka pun rasa tanggungjawab yang lebih, seperti syarikat besar dalam Malaysia ini, walaupun mereka adalah syarikat antarabangsa, mereka kena ingat ada orang-orang Islam yang bekerja.

SINAR HARIAN: Apakah tindakan Jakim selepas ini memandangkan makmal Kementerian Kesihatan dengan Jakim adalah berbeza kerana Jakim menggunakan makmal Jabatan Kimia. Tidakkah mungkin timbul persoalan kepada orang ramai?

OTHMAN: Kita sudah adakan mesyuarat dan keputusan sudah pun ada, cuma kena buat pengumuman. Lapor kepada Jakim dulu dan setelah kita bincang, baru boleh buat pengumuman. Sebenarnya kita sudah ada penyelarasan, dulu pun pernah terjadi kes Ramly Burger, bermula dari situ kita sudah ada pelarasan.

Maknanya kita sudah ada persetujuan apa-apa penemuan oleh Kementerian Kesihatan yang berkaitan dengan halal, tidak kira apa pun mesti rujuk kepada kita (Jakim) dulu.

SINAR HARIAN: Tidakkah Jakim akan bertindak menanyakan kepada Kementerian Kesihatan kenapa terlalu lama untuk dedahkan kepada Jakim berhubung penemuan DNA babi dalam coklat?

HAKIMAH: Kalau betul ada penemuan itu dalam dalam coklat, mungkin pencemaran semasa proses, kerana sampel itu diambil di luar, kemungkinan pencemaran di luar itu ada,

SINAR HARIAN: Adakah isu ini mempengaruhi Malaysia sebagai hub halal?

HAKIMAH: Memang boleh beri kesan, tetapi memberi kesan apabila ia dijadikan isu yang besar sebegini, seperti pengguna mempertikaikan kita sekarang ini. Jadi seperti keyakinan sudah tidak ada. Seperti saya katakan tadi, kalau kita sudah ada sistem, kalau sudah berlaku di luar kawalan kita, mana kita nak beritahu itu adalah tanggungjawab kita.

Tapi dalam kes ini, kita mesti atasi bagi mengurangkan keresahan, mengembalikan kepercayaan orang ramai.

SINAR HARIAN: Bagaimana cara Jakim untuk kembalikan kepercayaan orang ramai?

OTHMAN: Peranan media sangat penting, kita berasa gembira dengan kesedaran masyarakat yang semakin mengambil berat isu halal. Jakim tidak mewajibkan bagi sesiapa yang mahu keluarkan apa-apa produk mesti dapat sijil halal.

Kita masih meletakkannya sebagai sukarela, tetapi jika kamu tulis halal atau apa cara sekalipun yang tulis halal tetapi tidak, kita boleh ambil tindakan. Contohnya tadi kesannya, apabila coklat Cadbury terkena, tapi coklat lain yang tidak ada kena mengena pun pengguna tidak akan beli.

SINAR HARIAN: Adakah berbeza sijil halal yang dikeluarkan negara kita dengan negara Islam di luar sana?

HAKIMAH: Sekarang kita di Jakim ada badan pengiktirafan sijil halal di luar negara, ini kita buat bagi membantu industri apabila mereka mengimport bahan mentah, mereka perlu pengesahan halal daripada negara pengeluar.

Katakan satu bahan import, serbuk penaik dari Belgium katakan, tapi ada juga ramuan lain yang juga diimport merata tempat diguna untuk produk mereka. Jadi kami tidak mungkin akan pergi setiap bahan ramuan untuk dikenalpasti.

Bukan satu syarikat sahaja, dan satu bukan satu produk sahaja. Apa yang kita buat kita akan sarankan badan-badan di luar yang kita yakin untuk membantu kita, mereka keluarkan sijil halal dan kita guna pakai. Kita bukan kita sahaja sarankan, kita juga ada sistem untuk audit pensijilan halal mereka.

Kita akan tengok keupayaan mereka dari sudut syariah, teknikal dan tengok pensijilan yang memberikan kesan kepada mereka yang buat pemantauan di kilang-kilang terlibat. Selepas kita berpuas hati, baru kita sarankan kepada mereka nanti. Bila kita pergi semak semula, jika tidak patuh, kita akan keluarkan mereka dari senarai kita.

Sekarang ini kita ada 57 badan halal di luar negara yang meliputi 23 negara. Di Malaysia berbeza dengan tempat lain kerana kita di bawah kerajaan, jadi kita ambil tanggungjawab itu, di negara lain, mereka adalah syarikat swasta atau kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang buat sijil halal. Sebab mereka berada di negara yang minoriti Muslim, jadi mereka buat mungkin untuk memberikan platform mekanisme makanan yang dijual di tempat mereka halal dan untuk menjaga kehormatan orang Islam.

Tapi kita ada sistem yang lebih teratur. Mereka ini mencontohi dengan Jakim untuk membangunkan sistem mereka, lagi pun sekarang banyak negara di Timur Tengah sedang merujuk kita (Jakim) untuk membangunkan sistem mereka. Sebab mereka  bukannya ada perkara ini kerana mereka rasakan mereka orang Islam, jadi makanan mereka semuanya halal.

Jadi kita bimbang dengan isu ini akan memberikan imej yang buruk kepada kita.

SINAR HARIAN: Adakah sejak berlaku insiden ini, negara luar ada menghubungi pihak kerajaan untuk bertanyakan hal ini?

HAKIMAH: Ada, Indonesia, Brunei sudah bertanya dan dari Amerika Syarikat juga sudah menanyakan hal ini kerana melibatkan produk mereka yang dari luar terutamanya di Langkawi, kerana ada sijil, tetapi tiba-tiba berlaku perkara ini, mereka bimbang akan beri kesan kepada produk mereka. Mereka mahu tahu kedudukan kes ini, tapi kita sudah beritahu bahawa kes ini masih dalam siasatan.

SINAR HARIAN: Sekiranya ada DNA babi dalam coklat itu, apa tindakan seterusnya.

MOHD AMRI: Jika disabit kesalahan oleh mahkamah boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah Perdagangan Tarif Halal 2011 di bawah Akta Perdagangan 2011, maka boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta maksimum.

Jadi sebelum ke mahkamah perlukan pembuktian, denda ini kerana Cadbury merupakan syarikat besar, tapi jika syarikat kecil (individu) dikenakan penjara RM1 juta dan penjara tiga tahun. Contohnya jika kes seorang mak cik jual nasi lemak.

HAKIMAH: Kalau terbukti memang kita akan ambil tindakan, itu yang kita kena siasat dulu kerana kesannya besar. Kita juga bukan sahaja tumpu kepada keputusan analisis sahaja, tapi tumpu kepada perkara lain-lain lihat secara keseluruhan. Tempoh untuk pendakwaan bermula dengan Jakim buka kertas siasatan kemudian hantar ke KPDNKK untuk teruskan proses.

SINAR HARIAN: Jika sesebuah syarikat ditarik sijil halal, adakah mereka boleh pohon balik?

Ustazah: Kalau syarikat terbabit membuat tindakan pembetulan dan memperbetulkan kesemuanya, mereka boleh pohon. Jika sesebuah syarikat ditarik balik sijil halalnya, ia tidak akan kekal status itu. Jika mereka mungkin tukar prosedur pembuatan, mereka boleh pohon.

SINAR HARIAN: Soalan: Jika sesebuah syarikat ditarik sijil halal, adakah mereka boleh pohon balik?

HAKIMAH: Kalau syarikat terbabit membuat tindakan pembetulan dan memperbetulkan kesemuanya, mereka boleh pohon. Jika sesebuah syarikat ditarik balik sijil halalnya, ia tidak akan kekal status itu. Jika mereka mungkin tukar prosedur pembuatan, mereka boleh pohon.

Tarikh : 6 Jun 2014

Lokasi : Medan Ilmu, Kota Bharu

1.  Ustaz Tuan Sharifuddin Tuan Ismail

2. YB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

 

%d bloggers like this: