Archive for 2 Jun 2014


Surau Kg Linsuk

Tarikh : 28 Mei 2014

Lokasi : Surau al-Huda Kg Linsuk Putatan

Alhamdulillah, sempat memenuhi undangan al-Fadhil Ustaz Zainal Malik yang kami hormati selaku pengerusi surau untuk ceramah Israk & Mikraj. Ini pertama kali mengisi program di sini dengan sebelum ini saya menyimpan hasrat yang baik selain mengetahui kehadiran jamaah yang konsisten.

Ustaz Zainal memaklumkan kepada saya, tiada sebarang pemakluman disampaikan kepada jamaah sebelum daripada hari ini untuk mengadakan ceramah khas. Namun kehadiran malam tersebut tidak kurang daripada 100 orang muslimin muslimat yang memenuhi surau, kerana memang kehidupan mereka memang selalu berjamaah di surau pada kebanyakan waktu.

Begitu juga jamuan malam tersebut agak meriah kerana masing-masing membawa makanan dari rumah kerana memang kebiasaan mereka begitu. Tahniah kepada Ustaz Zainal kerana berjaya memimpin dengan baik jamaah surau di sini.

Khairunnizam Luqman

Tarikh : 30 Mei 2014

Lokasi : Masjid Jamek Pekan Kundasang

Khatib : Ustaz Khairunnizam Luqman

Berdasarkan rahsia Isra’ Mikraj ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah tuntutan utama yang Allah fardhukan kepada umat Islam. Ingatlah solat fardhu menjadi ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan dari azab kubur. Selain itu kualiti solat ini juga akan menentukan kualiti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.

Terdapat perkaitan yang kuat bahawa jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut Ayat 45 bermaksud :

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Waspadalah kita kerana jika solat itu dibuat secara lalai maka ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap kelakuan seseorang. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maa’un, ayat 4-5 bermaksud :

Maka kecelakaan besar bagi orang yang Sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya”.

Inilah masanya untuk kita sedar, bermuhasabah dan merenung kembali kualiti solat kita. Adakah kita ini termasuk dalam golongan yang lalai? Apakah yang dimaksudkan dengan lalai di sini? Mereka ialah golongan yang melakukan solat namun tidak menyedari bilangan rakaatnya, malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat di awal waktu.

Memandangkan solat ini adalah tuntutan utama, maka pelaksanaan solat hendaklah dilaksanakan secara khusyuk mengikut peraturan tertentu. Yakinlah, solat yang hakiki pasti akan melindungi seseorang daripada melakukan perbuatan berdosa. Solat yang hakiki dan berkualiti adalah solat yang dilakukan secara khusyuk.

%d bloggers like this: