Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/27581-sanggahan-terhadap-ucapan-pm-berhubung-gst

Oleh : Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

1. Saya tertarik untuk respon terhadap ucapan Perdana Menteri  dalam majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Seri Wawasan Jitra pada 1hb Mei 2014 berhubung pelaksanaan GST sebagaimana dilaporkan media semalam.

2. YAB Datuk Seri Najib Razak dilaporkan menegaskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan langkah kerajaan untuk memantapkan hasil demi menjamin masa depan negara dan kebajikan rakyat. Saya ingin menegaskan bahawa memantapkan hasil negara tidak semestinya menerusi GST yang prinsipnya bercanggah dengan prinsip percukaian Islam. GST tidak sepatutnya dilaksanakan di saat kerajaan masih gagal menangani ketirisan dan pembaziran perbelanjaan negara serta tidak berhemah dalam menguruskan perbelanjaan negara. Kebajikan rakyat juga tidak akan terbela apabila cukai diambil atas perbelanjaan golongan yang tidak berkemampuan. Konsep percukaian dalam Islam ialah dikenakan pada lebihan harta golongan berkemampuan untuk dinikmati oleh golongan yang tidak berkemampuan.

3. Perdana Menteri turut menyeru rakyat supaya berfikir secara rasional dan bukan mengikut perasaan berhubung pelaksanaan GST. Saya menegaskan bahawa bantahan rakyat terhadap pelaksanaan GST adalah berdasarkan rasional bahawa GST adalah zalim terhadap rakyat jelata kerana dikenakan terhadap perbelanjaan semua rakyat tanpa mengira berkemampuan atau tidak. Petani dan nelayan yang tidak bergaji tetap antara yang akan menanggung kesengsaraan. Buruh kasar di sektor swasta yang tidak menikmati kenaikan gaji tertindas dan dizalimi. Golongan ini sebelumnya tidak dikenakan cukai tetapi dengan GST akan dibebani cukai. Ini satu penindasan yang ketara. Di samping kajian yang menunjukkan bahawa GST bakal membawa kepada kenaikan harga barang dan inflasi yang berpanjangan.

4. Datuk Seri Najib juga berkata bahawa GST adalah keperluan supaya negara tidak berdepan himpitan ekonomi pada masa depan yang akhirnya mengundang kesusahan dan penderitaan kepada rakyat. Saya menegaskan bahawa bahawa GST adalah sistem yang bakal mengundang kepada kesusahan dan penderitaan rakyat tidak berkemampuan. Malah himpitan ekonomi hari ini telah sedia berlaku disebabkan kegagalan kerajaan pusat menguruskan perbelanjaaan negara secara berhemah sebagaimana dapat dilihat dalam banyak laporan Audit Negara.

5. Datuk Seri Najib juga berkata: “Sebab itu GST akan dapatkan hasil yang mantap untuk kerajaan. Saya minta kepada semua supaya memahami akan ‘nawaitu’ (niat) kerajaan. ‘Nawaitu’ kerajaan adalah untuk melakukan perubahan,” katanya. Saya menegaskan bahawa kerajaan mungkin mendapat hasil yang mantap menerusi GST namun ia adalah hasil yang dikutip daripada keringat rakyat yang susah atau dengan bahasa lainnya menerusi “rompakan yang dihalalkan oleh undang-undang negara”. “Nawaitu” yang baik tidak menghalalkan tindakan melaksanakan GST yang zalim terhadap rakyat. “Nawaitu” yang baik perlu disusuli dengan tindakan yang lebih adil dan tidak membebankan rakyat.

6. Perdana Menteri berkata, langkah memperkenalkan GST juga bertujuan mengupayakan kemampuan kewangan kerajaan agar lebih kukuh, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Saya menegaskan bahawa kemampuan kewangan boleh dicapai jangka masa panjang sekiranya kerajaan mengusahakan bajet berimbang dan mengelakkan pembentangan bajet defisit yang telah berlaku sejak belasan tahun sehingga membawa kepada tunggakan hutang negara yang semakin meningkat.

7. Perlu ditegaskan bahawa krisis kewangan negara adalah kerana perbelanjaan di luar kemampuan kewangan semasa negara serta kegagalan kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemah menerusi pelbagai pembaziran projek mega serta ketirisan projek-projek pembangunan kerajaan yang diuruskan oleh syarikat-syarikat yang kurang berkelayakan. Akhirnya rakyat jelata yang miskin dipaksa menggalas beban kegagalan dan kelemahan kerajaan nenerusi GST yang zalim. Tidakkah wajar GST dibantah oleh rakyat?

8. Kerajaan mesti menarik balik perancangan pelaksanaan GST pada 1 April 2015 dan membentuk satu jawatankuasa menangani krisis kewangan dan ekonomi negara yang diwakili pelbagai pihak bagi memikirkan perancangan peningkatan hasil negara tanpa sebarang penindasan terhadap rakyat tidak berkemampuan.

9. Pengurusan ekonomi dan kewangan negara berlandaskan prinsip Islam pasti mengundang keberkatan dan kemakmuran hidup rakyat jelata namun jika sebaliknya ia pasti mengundang kemurkaan Allah dan keperitan hidup.

“Menuju Baldah Tayyibah Dengan Keampunan Rabb”

Sabtu 3hb Mei 2014

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.