Oleh Nasrudin Hasan Tantawi

Saya merujuk kepada saranan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Dr Johari Mat di Dewan Negara supaya mengiktiraf subjek Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus di semua peringkat peperiksaan.

Berasaskan kepada tujuan meningkatkan pengetahuan agama Islam dalam kalangan pelajar Muslim dan membina akhlak mulia para pelajar, saya juga ingin mengulangi cadangan ini dan mendesak agar kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan mengambil langkah segera ke arah memastikannya terlaksana dalam sistem pendidikan dalam negara kita.

Dengan menaiktaraf mata pelajaran ini ke status wajib lulus, sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelajar dan ibu bapa untuk lebih cakna dan usaha bagi meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan agama Islam.

Dengan meningkatnya pengetahuan ini diharapkan akan menimbulkan penghayatan dalam diri seterusnya dapat diterjemahkan dalam kehidupan mereka melalui amalan yang selari dengan ajaran agama dan tingkah laku yang murni.

Kebimbangan saya, sekiranya dibiarkan subjek Pendidikan Islam ini berstatus tidak wajiib lulus, masalah kurang pengetahuan agama khususnya berkaitan akidah dan asas fardu ain serta tiadanya penghayatan hidup beragama, akan menggalakkan lagi masalah sosial dalam kalangan masyarakat termasuklah berlakunya peningkatan kes jenayah yang membabitkan juvana seperti yang didedahkan oleh media sebelum daripada ini.

Untuk itu juga, saya mendesak kerajaan agar memperkasakan institusi pendidikan agam Islam di semua peringkat meliputi kurikulum dan ko-kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, suasana pembelajaran serta kemahiran dan keupayaan para pendidik supaya setiap individu Muslim mengenal Allah, mengetahui halal dan haram serta batas iman dan kufur.

Akhirnya, suka untuk saya tegaskan bahawa pengaruh agama dapat memberikan kesan yang mendalam terhadap perasaan.

Oleh itu, penanaman akidah atau kepercayaan dalam hati dan jiwa adalah pilihan yang paling tepat dan merupakan jalan yang wajib dilalui untuk menimbulkan unsur kebaikan yang akan membentuk kesempurnaan kehidupan.

Dengan demikian, keadaan moral masyarakat akan lebih berkualiti dengan gabungan unsur individu yang berakhlak dengan nilaian agama. – 24 April, 2014.

* Nasrudin Hassan At-Tantawi merupakan Ahli Parlimen Temerloh.