Sumber : Harakah

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada mana-mana parti termasuk dalam Pakatan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap usaha perlaksanaan hudud di Kelantan.

Ini kerana katanya, tidak ada sebarang perjanjian untuk menghalang PAS daripada mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 negeri itu ke Parlimen.

“Isu hudud di Kelantan ini mendahului Pakatan Rakyat. Ianya sejak tahun 90an. Awal lagi sebelum ada Pakatan Rakyat. Dengan sebab itu tidak ada masalah untuk kita kemukakan (RUU Persendirian). Adapun pendirian parti lain, terpulang kepada mereka. Kita konsisten dalam isu ini,” kata beliau yang ditemui di luar Dewan Undangan Negeri Terengganu, di sini.

Beliau juga menjelaskan, PAS menyokong penuh tindakan Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob yang mahu mengemukakan RUU Persedirian itu selewatlewatnya Disember tahun ini.

Isu hudud kembali diperkatakan selepas Kelantan mengumumkan akan mengemukakan Rang Undang- Undang Persendirian (RUU) berhubung perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 negeri itu ke Parlimen. Ekoran itu, pihak-pihak tertentu cuba mengambil kesempatan dengan cuba melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara PAS dan DAP.

Ketika isu ini hangat diperkatakan pada 2011 lalu, Pakatan Rakyat telah menyatakan pendirian bersama dalam isu ini melalui satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 29 September di Pejabat Agung PAS.

Dalam sidang media yang dihadiri bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu, mereka mengumumkan mengambil pendirian menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Ia termasuk menghormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan. Mereka juga bersetuju memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang wujud sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat.