Archive for 14 Mac 2014


TAZKIRAH TEPI PANTAI

UMS

Alhamdulillah, saya dapat memenuhi undangan anak-anak muda dari Universiti Malaysia Sabah yang meminta menyampaikan tazkirah dalam program santai mereka di Tanjung Lipat Likas. Menarik juga program mereka di tengah khalayak yang bercuti hujung minggu di pantai indah ini, ada juga yang mendengar-dengar tazkirah tersebut termasuk beberapa krew RTM yang turut merakam sebahagian aktiviti tersebut.

Bagi saya ini adalah menunjukkan keluasan untuk kita mengisi program dakwah walaupun bersifat bersahaja dan terbuka di khalayak yang biasanya orang awam melakukan aktiviti bersesuaian dengan tepi pantai.

 

Sumber :  JAKIM

 “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut(kepada musuh), dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Iaitu) Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT dan beriman dengan qada’dan qadar-Nya, kita mestilah yakin bahawa setiap ketentuan dan takdir Allah SWT itu ada hikmah di sebaliknya dan tidak berlaku sesuatu dengan sia-sia.

Oleh itu, kita berkewajipan untuk menerima apa jua yang terjadi dalam persekitaran hidup kita dengan penuh kesabaran dan keimanan agar dengan cara ini ianya akan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Ketahuilah bahawa setiap ujian yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang beriman, maka ujian yang ditimpa merupakan satu iktibar dan merupakan satu peringatan dalam bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya, yang penting kita harus sabar menghadapinya.

Ujian yang diturunkan Allah SWT kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan. Tak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita. Kerana Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya.

Negara kita, Tanahair yang kita cintai ini telah mengalami pelbagai situasi kesulitan seperti banjir yang melanda di sebelah Pantai Timur, Selatan dan Utara tanahair, wabak denggi, jerebu, kemarau panjang, debu/habuk gunung berapi yang meletup di negara lain dibawa angin sampai ke dalam negara ini dan lain-lain peristiwa yang memberi kesan kepada keamanan dan keharmonian hidup kita.

Semua keadaan yang telah berlaku dalam negara ini satu persatu telah ditangani oleh pihak pemerintah dengan baik, penuh hikmah dan bijaksana. Terkini negara kita sedang menghadapi situasi kehilangan sebuah pesawat MH370.

Justeru, semua pihak berkewajipan supaya bertenang dan tidak mengambil kesempatan dalam suasana ini untuk memanipulasi keadaan dengan menyebar berita-berita palsu samada melalui media massa, media cetak, internet dan sebagainya. Sebagai seorang Islam yang bertaqwa kepada Allah dan percaya kepada hari akhirat kita hendaklah menjaga akhlak dan adab-adab kita ketika berbicara untuk menjaga perasaan kaum keluarga mangsa.

Sebaliknya marilah kita sama-sama bermuafakat untuk membantu menenangkan hati dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat. Sebagai seorang muslim yang prihatin dan beriman dan kepada seluruh masjid dan surau dalam negara ini, marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT agar segala kemelut ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

%d bloggers like this: