Masjid Kg Peringatan Petagas

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Kg Peringatan Petagas

Kehidupan manusia yang bersifat sementara ini dihiasi dengan ujian hidup berupa kesenangan, kesusahan, suka dan duka. Kesenangan hidup, kekayaan dan seumpamanya bukanlah lambang ketenangan hidup yang hakiki. Ketenangan yang sebenar ialah apabila manusia melengkapi dua perkara : Pertama keimanan kepada Allah, dan kedua hati yang sentiasa mengingati Allah SWT.

Di dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW telah menganjurkan beberapa bentuk zikir, secara umumnya terbahagi kepada empat. Pertama al-Quran, kedua zikir atau doa yang tiada ketetapan masa tertentu, ketiga, zikir yang ada masa dan tempat tertentu, dan keempat solawat keatas Rasulullah SAW.

Pertama, al-Quran adalah sehebat-hebat mukijzat. Rasulullah SAW telah menyebut di dalam banyak hadith akan kelebihan orang yang membaca dan beramal dengannya secara istiqomah. Umat Islam hendaklah menjadualkan diri dengan tilawah setiap hari.

Kedua, ada bentuk zikir atau doa yang boleh dibaca dan diamalkan pada bila-bila masa. Contohnya tasbih, tahmid, tahlil dan takbir yang boleh diwiridkan sepanjang masa tidak kira siang atau malam. Ketiga, ada zikir yang bersifat mempunyai masa dan tempat tertentu seperti doa bangun dan hendak tidur, doa masuk dan keluar tandas, doa masuk dan keluar masjid dan banyak lagi.

Keempat, ialah solawat keatas Rasulullah SAW yang mempunyai kelebihannya tersendiri serta diberi ganjaran yang besar. Solawat juga adalah antara jalan kita sebagai umat baginda SAW untuk mendapatkan syafaatnya pada hari kiamat.