Tengkorak

Saya dihubungi oleh keluarga pesakit ini agar datang ke rumahnya di Putatan, sementara sebelum itu ketika beliau di hospital kami ada menziarahinya secara tidak sengaja.

Sebenarnya saya tidak kenal pun beliau, hajat asalnya untuk menziarahi seorang pesakit lain atas urusan Darussyifa’ di Hospital Queen Elizabeth 2. Pulang dari wad pesakit asal tersebut, saya melihat pintu demi pintu selepasnya kerana di sana tertera nama dan alamat pesakit. Sejurus saya melihat nama Kg Sembulan, saya langsung masuk.

Rupanya pihak hospital belum menukar data kerana pesakit dari Kg Sembulan sudah keluar, sementara yang menggantinya pesakit dari Putatan. Beliau ini sakit akibat stroke. Saya ruqyahkan setelah meminta izin waris yang ada.

Itu kisah beberapa bulan sebelum ini.

Rupanya beliau sudah dibenarkan balik ke rumah. Tapi inilah keadaan kepalanya apabila sebahagian tengkorak dibelah sementara dan nanti akan dipasang semula. Saya berziarah dua malam lepas dan mendapati beliau bercerita seperti biasa, cuma ada sedikit ganjil menurut keluarganya yang ada di situ.

Beliau bercerita tentang perjalanannya ke Bali Indonesia dan beberapa lokasi lain, sedangkan menurut keluarganya beliau belum pernah ke sana. Saya tidak berhajat memanjangkan kisahnya, wallahu a’lam. Doakan saja beliau sembuh dan kembali seperti biasa. Amin!