Archive for 3 Mac 2014


Tarikh : 2 Mac 2014

Lokasi : Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan

Semoga Allah memberkati pasangan ini dan menyatukan mereka dalam kebaikan.

Walimah (1)Walimah (2)Walimah (3)Walimah (4)Walimah (5)Walimah (6)Walimah (7)Walimah (8)Walimah (9) 

syed

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Dakwahmelaluiperkahwinan/Article/

Pendakwah berkahwin dengan artis sudah pasti akan mendapat tempias ‘glamour’ walaupun sebenarnya beliau sendiri sudah terkenal dalam kalangan kelompok yang mengikuti ceramah serta jihad dakwahnya di televisyen dan radio.

Namun, biar apa pun diperkatakan, pendakwah, Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre, melihat hikmah perkahwinan itu daripada sudut meluaskan rangkaian untuk menyebarkan ajaran Islam yang sebenar dengan berdakwah kepada kumpulan artis.

Justeru, beliau sedikit pun tidak menunjukkan tanda kurang senang dengan soalan mengapa memilih artis iaitu penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Salima Habibi, sebagai isteri. 

“Niat saya untuk meluaskan usaha dakwah melalui perkahwinan dan terbukti ia berhasil kerana kini saya boleh berceramah kepada golongan artis. Dua minggu lalu, saya berceramah dalam program anjuran Karyawan di FINAS.

“Apabila artis mendengar dakwah saya, mesej yang disampaikan turut dikongsi bersama peminat mereka di laman sosial masing-masing. Secara tidak langsung ilmu itu sampai kepada masyarakat lebih besar dan dengan teknologi terkini, ia sampai lebih cepat,” katanya.

Tidak ambil pusing dengan komen negatif dilemparkan terhadap perkahwinan keduanya itu, Syed Abdul Kadir gembira kerana kalangan artis yang bersahabat dengan Salima kini turut berminat mendengar program ceramah beliau di radio.

Katanya, sebenarnya yang memuji lebih ramai daripada yang mengutuk. Bagaimanapun, beliau agak ralat apabila banyak berita tidak benar disebarkan di internet oleh pihak tidak bertanggungjawab dan adalah menyedihkan jika ramai mempercayai berita bohong itu.

Antara cerita karut itu ialah beliau sudah lama mengenali Salima dan mereka sudah bercinta selama dua tahun. Sedangkan katanya, jodoh mereka bermula dengan permintaan sahabatnya iaitu ustaz yang mengajar agama kepada Salima untuk Syed Abdul Kadir meminangnya.

Ustaz itu memaklumkan, Salima pandai mengaji, sudah berubah dan ingin berpegang dengan ajaran agama Islam. Soalan Syed Abdul Kadir pula, apakah Salima bersedia menjadi isteri ustaz kerana bebannya agak hebat.

“Oleh kerana saya tidak kenal beliau, saya terpaksa ‘google’ untuk mengetahui siapa sebenarnya Salima. Alhamdulillah, keluarga juga mengalu-alukan kehadiran saya, maka selepas dua bulan kami disatukan,” katanya yang menikahi penyanyi itu pada 30 November tahun lalu.

Hakikatnya, Syed Abdul Kadir sememangnya popular dan cukup dikenali penonton program Tanyalah Ustaz terbitan TV9 serta program agama lain yang disiarkan di TV3, Astro Oasis dan TV Al-Hijrah. Beliau turut mengendalikan program bertajuk Tarbiah setiap pagi Jumaat di IKIM.fm.

Pendedahan graduan sarjana jurusan syariah dari Open University Cairo itu dalam dunia dakwah di media elektronik juga adalah atas dorongan serta sokongan anak muridnya ketika mengajar di Mesir dan sahabat dikenali daripada program ceramahnya.

Kini, selain program di televisyen dan radio, tugasnya menjelajah ke seluruh negara memenuhi jemputan menyampaikan ceramah. Menggambarkan kesibukan itu, ibarat bersarapan di Alor Setar, makan tengahari di Perlis, makan malam pula di Jitra.

Ada kala beliau memenuhi undangan di luar negara dan kembara dakwahnya sudah menjelajah ke Jepun, Ireland, Australia, India, United Kingdom, Belanda dan negara Arab. Malah, April depan beliau akan menyertai konsert amal di Manchester dan Dublin untuk mengutip dana bagi membantu rakyat Syria serta Bosnia.

Syed Abdul Kadir turut merakamkan album himpunan zikir Ratib Al-Hadad terbitan UNIC Records dan album kedua bersama kumpulan nasyid UNIC berjudul Doa tersenarai dalam finalis Anugerah Industri Muzik. Terbaru, beliau merakamkan tazkirah untuk dijadikan nada dering telefon bimbit.

Syed Abdul Kadir berkata, banyak ruang atau pendekatan boleh digunakan untuk menyampaikan ajaran Islam yang sebenarnya termasuk berdialog dengan masyarakat di tepi jalan. Katanya, jangan tidak percaya kerana sebenarnya dengan cara itu mesej dapat disampaikan secara terus.

Malah, program seumpama itu boleh mencetuskan fenomena baru kerana kini ‘kelas mengaji agama’ turut dijalankan di kawasan lapang yang mempunyai ramai khalayak terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat serta latar belakang berbeza.

Beliau merujuk kejayaan program ‘Street Dakwah’ yang dilaksanakan di depan pusat beli belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman baru-baru ini dalam usaha mendekati orang ramai apabila ia mendapat sambutan positif.

Walaupun terkejut dengan kehadiran beberapa pendakwah dan tiba-tiba kedengaran azan Asar berkumandang, namun mereka yang berada di kawasan berkenaan tidak berganjak sebaliknya menunjukkan minat untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Apabila alunan azan berkumandang keadaan menjadi senyap. Kumpulan penyanyi jalanan yang juga dikenali sebagai ‘busker’ turut berhenti menyanyi. Semua mengerumuni kami dan berlaku dialog bersama orang ramai.

“Persoalan dibangkitkan ketika itu bolehkan menunaikan solat di kawasan berkenaan, maka ada yang bertanya bagaimana hendak mengambil wuduk dan ada mempersoalkan soal kebersihan. Semua kita kita jelaskan dengan menunjukkan demonstrasi berwuduk menggunakan air mineral.

“Kemudian kami solat Asar berjemaah. Ramai yang memuji dan gembira kerana permasalahan untuk menunaikan solat kini terungkai. Mereka sudah jelas serta faham mengenainya, jadi tidak ada alasan tidak solat kerana tidak ada tempat sesuai. Solat boleh dilakukan di mana-mana saja,” katanya.

Katanya, rakaman ‘Street Dakwah’ boleh ditonton di You Tube tidak lama lagi dan beliau bercadang mengembangkan program itu ke seluruh negara sebagai usaha mendekati masyarakat dalam suasana lebih santai tetapi terarah.

Syed Abdul Kadir berkata, hatinya puas serta seronok kerana dapat menyampaikan dakwah dan melihat kepada golongan yang baik, belum baik, berilmu serta masih jahil, hatinya tetap yakin umat Islam di Malaysia masih ada harapan untuk ditarbiah.

Apa yang memotivasikan beliau ialah usaha dakwahnya itu diharap dapat memberikan pahala berterusan. Walaupun dirinya sudah meninggal dunia, ‘umur pahalanya tetap panjang’ melalui ilmu yang disampaikan serta diamalkan oleh orang lain.

%d bloggers like this: