Archive for 18 Februari 2014


pak-yazid

Oleh Subky Abd Latif / 12 Februari 2014

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/subky/25618-perginya-yazid-jaafar

Pemergian Pak Yazid Jaafar, 88 tahun pagi Ahad lalu hampir tiada lagi pejuang PAS yang seangkatan dengan Tan Sri Asri Haji Muda yang masih tinggal. Jika tiada Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Salahuddin, biras Asri mungkin tiada lagi angkatan tua bersamanya yang masih ada.

Pak Yazid meninggal di Hospital Kuala Lumpur setelah banyak kali keluar masuk hospital dan pernah lebih dari sekali banyak hari tidak sedarkan diri. Itulah yang dikatakan usianya memang liat.

Saya tidak sempat bertemunya selepas dia keluar hospital dan setelah banyak hari tidak sedar untuk bertanyakan apa yang dinampak dan diingatnya selama tidak sedarkan diri itu?

Saya pernah bertanya seorang yang hampir seusia Pak Yazid yang pulih dari tidur lamanya di hospital tentang yang dialaminya selama tidak sedar itu. Jawabnya, ‘Ajaib’, Banyak yang pelik dilihatnya yang tidak dapat hendak diceritakan.

Saya kenal lama Pak Yazid sebagai orang  tertua PAS sejak sebelum saya menyertai PAS hujung tahun 70-an. Dia sudah tidak giat politik selama saya bergiat politik di Kuala Lumpur.

Pada zaman cergasnya dalam politik, dia adalah seorang yang sehebat Mat Sabu dan Mahfuz Omar, berada di baris depan menggempur Umno baik di desa dan di pekan. Justeru sukar mencari calon yang handal untuk menentang Tun Razak di Pekan dalam PRU 1969, PAS menghantarnya menjadi calon bagi tidak memberi laluan mudah kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

Kira-kira dia adalah panglima PAS pada zaman Datuk Asri yang payah ada saingannya, tetapi mengundur dari politik yang aktif apabila PAS menyertai kerajaan campuran Perikatan-PAS tahun 1973 dan menyertai BN selepas itu.

Masa tidak aktifnya itu beliau dan Ustaz Hassan Shukri membantu Ustaz Ashari Mohamad mengasaskan Arqam bagi menjalankan kegiatan dakwah. Dia tidak keluar PAS tetapi mahu meneruskan kegiatan dakwah PAS melalui  Arqam dan tidak menyaingi PAS dari segi politik dan tidak menentang PAS tetapi menjadi ahli PAS.

Dia tidak lagi bersama Arqam setelah tidak terikut dengan pimpinan Arqam, penuh masa menjadi pendakwah bebas yang diminati ramai termasuk penyokong Umno. Dia boleh masuk jabatan-jabatan kerajaan meskipun mereka tahu dia orang PAS dan pernah jadi orang kuat PAS.

Kuliah ilmu yang dianjurkannya setiap pagi Ahad di rumah di antara Masjid Kampung  Baru dan Pasar Minggu Kampung Baru dihadiri ratusan orang, menyebabkan jalan depan rumahnya sesak. Kegiatan dijayakan oleh penceramah jemputan menjadikan Pak Yazid diminti oleh ramai.

Pak Yazid bukan ustaz. Dia bekas angkatan pasukan keselamatan. Dia tidak mengajar ilmu Islam yang tinggi-tinggi tetapi mengajak orang sedar kepada Islam dan minat kepada Islam. Sekolah Islam bagi Pak Yazid ialah melalui ceramah pimpinan PAS. Dia catit apa yang pimpinan sampai tentang Islam dan menyampaikan pula kepada orang lain.

Seorang penyokong pekat Umno, Nik Jaafar berkata, dia lebih tahu tentang Islam dari Yazid, tetapi dia tidak dapat sampai mesej dakwah seperti Pak Yazid. Pak  Yazid berceramah di suraunya. Kata Nik Jaafar, ‘Yazid kata, siapa yang menjelaskan bil air surau ini, sejuk kuburnya nanti, siapa jelaskan bil eletrik, terang kuburnya nanti.’

Lepas itu bil air dan api surau itu hilang kerana ada  saja orang yang menjelaskannya.

Pak Yazid tidak pernah mengaji di pondok dan sekolah agama, tetapi dia mengalahkan setengah orang yang mengaji tinggi tetapi tidak mengajar. Dia tidak mengaji tetapi dia berdakwah. Dakwahnya diiktraf oleh masyarakat.

Itulah anak Terong yang berhijrah ke Kuala Lumpur melalui PAS, menjadi pendakwah yang merentasi semua genarasi dan menembusi semua benteng politik. Tidak banyak jenazah di luar Terengganu diimamkan oleh Ustaz Abdl Hadi Awang, tetapi jenazah Pak Yazid diimamkan beliau.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/25773-percukaian-dan-negara-berkebajikan

Oleh : Nasrudin Hassan

Ekonomi Berkat. Vol 10

1.Seperti juga tata kelola perbankan Islam yang dipandu oleh jawatankuasa syariah, bukankah menjadi suatu praktis unggul bagi kerajaan mempunyai jawatankuasa syariah kewangannya yang tersendiri? Yang menjadi keutamaan ialah memastikan aliran sumber kewangan untuk membiaya emolumen perkhidmatan awam yang sepatutnya dibayar dengan hasil yang jelas halalnya.

2.Hal ini kerana wang gaji dan elaun yang diberikan akan digunakan untuk membiaya kehidupan berkeluarga, makan dan minum suami, isteri dan anak-anak. Apakah pengasingan ini sudah berlaku atau pun sekadar isu picisan dalam kepedulian pemerintah? Di manakah cakna kerajaan dalam soal ini jika mahu ekonomi kita berkat .

3.Agenda keempat – “Percukaian dan Negara Berkebajikan”

Satu dari sisi penting idea kenegaraan PAS iaitu “Negara Berkebajikan” ialah komponen cukai. Percukaian di negara-negara kebajikan konvensional secara puratanya adalah tinggi tetapi Negara Berkebajikan menyasarkan cukai hanya sekadar keperluan. Justeru itu kita menolak GST bukan atas sebab nama GST semata-mata. Kita menolak GST kerana kita tahu, rakyat tahu, malah kerajaan pun tahu bahawa negara belum lagi kehabisan idea dan kaedah untuk melakukan penjimatan, mengawal kos, membanteras rasuah, kebocoran dan ketirisan sebelum sesuatu cukai baru atau cukai ganti khususnya cukai seperti GST dilaksanakan.

4.Pemerintah perlu sedar bahawa cukai dilakukan cuma dalam keadaan terpaksa. Tetapi malang bagi pemerintah, cukai seperti GST menjadi sumber baru pendapatan dan kekayaan negara. Inilah yang dikatakan sebagai “berniaga dengan rakyat”. Satu sudut dilihat Kerajaan memberi. BRIM, baucer buku dan sebagainya, kita perlu sedar, itu adalah pemberian yang sumbernya dipungut dari rakyat – setelah pendapatan rakyat diambil oleh kerajaan melalui cukai pendapatan. Sekarang Kerajaan nak ambil lagi, kali ini daripada perbelanjaan rakyat pula melalui GST. Sudahlah sebelum ini rakyat berdepan pemotongan subsidi bahan bakar, pemotongan 34 sen subsidi gula dan sebagainya. Inilah disebut sebagai Belanjawan Untuk Rakyat dari Rakyat. Dia bagi kepada rakyat, apa yang diambil daripada rakyat. Zahirnya nampak kerajaan beri kepada rakyat, kemudian ambil balik. Orang kampung kata inilah perbuatan “buruk siku”

5.Selayaknya, sebelum GST dikenakan ke atas rakyat:

a.Siasat dan bawa kepada pengadilan, mereka yang menyebabkan kehilangan saham-saham peruntukan Bumiputera berjumlah 52 billion ringgit. Jumlah ini pastinya ada disesuatu tempat dan kembalikan semula ke khazanah rakyat.

b.Potong penggunaan jet peribadi kerajaan yang telah melibatkan perbelanjaan 104 juta ringgit dalam masa 3 tahun! Potong juga penggunaan elektrik yang berjumlah sehingga 110 juta ringgit manakala 1.9 juta ringgit untuk bil air untuk rumah Perdana Menteri dan timbalan Perdana Menteri

c.Tangguhkan program yang kurang nilai tambah. Contoh yang dibangkitkan oleh rakyat ialah seperti program PLKN yang berjumlah 800 juta ringgit setahun.

Nasrudin Hassan ialah Timbalan Pengerusi 1, Lajnah Dakwah PAS Pusat

%d bloggers like this: