Ustaz Arbaen @ MNH Bangka2

Antara masjid yang semakin menonjol di sebelah Sepanggar masa kini ialah Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas. Sebuah kampung dan masjidnya sendiri yang dianggap terperosok daripada pandangan luar yang tidak menyangka di celah dan selepas Taman Ujana Kingfisher Likas itu ada sebuah kampung dan masjid yang semakin makmur.

Saya pernah diceritakan oleh SS Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar, Mufti Sabah sekarang bahawa pada ketika masjid tersebut memulakan solat fardhu jumaat, jumlah jemaahnya hanya sedikit – belasan orang sahaja. Kini sesiapa yang hadir ke masjid tersebut, kehadiran jumaat sangat mengkagumkan dengan ruang dalam yang penuh sesak sehingga melimpah keluar.

Untuk rekod pada peringkat awal sebelum itu, yang mengadakan solat jumaat hanya di Masjid Jamek Kg Likas, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan Masjid UMS, sedangkan kawasan ini semakin berkembang dengan kawasan perumahan dan bangunan pentadbiran kerajaan.

Tidak sekadar solat fardhu, jawatankuasa masjid yang agak berfikiran terbuka dan positif dengan aktiviti pengimarahan telah mempelbagaikan program untuk pelbagai peringkat termasuk kanak-kanak, remaja, muslimat dan sebagainya. Kuliah-kuliah ilmu maghrib dan subuh serta siri-siri ceramah khas semakin mendapat sambutan.

Kehadiran dalam majlis ilmu, tidak sekadar jemaah tempatan, tetapi juga dari luar apatah lagi jika melibatkan pendakwah luar. Kadang-kadang kehadiran melonjak sehingga ratusan jemaah. Saya yakin kekuatan yang paling utama ialah kesatuan jemaah masjid bermula daripada jawatankuasa masjid itu sendiri untuk melihat dan berjuang mengaktifkan rumah Allah ini.

Saya doakan masjid ini terus makmur dan jemaahnya mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.