Archive for 7 Februari 2014


SET SOUND SYSTEM

Sound System

Beberapa minggu lalu saya ada mengumumkan lewat fb akan hasrat untuk membuka sumbangan untuk membeli satu set pembesar suara bagi kegunaan maahad. Ramai penyumbang bermurah hati mnginfaqkan harta mereka sedikit atau banyak.

Alhamdulillah, bagi pihak maahad kami mengucapkan jutaan penghargaan. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa baik tuan/puan. Kami telah membeli set berkenaan semalam. Insya Allah ini menjadi amal dan sedekah jariah kepada para penyumbang yang budiman.

Masjid KLIA

Lokasi : Masjid KLIA

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A berkata seorang lelaki  buta (Ibn Ummi Maktum) telah datang kepada  Nabi S.A.W lalu berkata :

 Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak mempunyai orang yang akan memimpinku ke masjid. Lelaki itu meminta Rasulullah memberi keringanan kepadanya supaya dia boleh melakukan solat di rumahnya. Maka baginda memberikan keringanan. Ketika lelaki buta itu mahu beredar pulang, nabi memanggilnya dan berkata: Apakah kamu mendengar azan? Lelaki itu menjawab” Ya. Jawab baginda   S.A.W : Maka wajib kamu pergi solat jemaah di masjid.” (Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan betapa peri pentingnya kita menghadirkan diri ke masjid. Bukan sekadar itu, malah kita seharusnya melibatkan diri atau setidak-tidaknya peka terhadap program-program masjid berdekatan. Terdapat beberapa perkara yang dikenalpasti dalam kelicinan pentadbiran masjid. Antaranya;

1) Mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab bersama, sama ada pihak AJK mahupun Ahli Kariah. Kita hendaklah berganding bahu dan mengelak daripada sebarang pergeseran dan salah faham yang berbangkit.

2) AJK dan pegawai hendaklah mengambil panduan dalam menguruskan masjid yang dikeluarkan oleh JAIS bagi melancarkan jadual dan pengimarahan masjid.

3) Sebarang pertelingkahan hendaklah merujuk kepada pengurusan masjid di JAIS supaya ianya tidak menjejaskan perjalanan pengurusan masjid.

4) Pengurusan kewangan masjid hendaklah diuruskan secara telus dan bertanggungjawab dan dimanfaatkan kewangan tersebut untuk kepentingan dan faedah pengimarahan masjid.

Kita hendaklah menjadikan masjid sebagai permata yang terpahat kukuh dihati dan sanubari kita walaubagaimana hebat sekalipun arus permodenan dan pancaroba dunia hari ini.

Mahu tidak mahu, kita mestilah meletakkan institusi masjid ini berada di tingkat yang paling tinggi. Agensi seperti NGO, Pentadbir Daerah, Sektor Swasta, Korporat dan lain-lain adalah sangat diperlukan untuk membantu  dan menyokong apa juga program yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Selain itu kita hendaklah peka terhadap perubahan aktiviti atau pencapaian masjid dan mereka yang dipertanggungjawabkan menguruskannya pada tahun berkenaan. Bahkan mereka yang berjaya membuat penambahbaikan haruslah diberi penghormatan dan penghargaan sewajarnya lebih-lebih lagi kepada pihak-pihak yang bekerjasama untuk mengimarahkan masjid. Misalan contoh :

  • Dahulu, kita hanya belajar mengaji di masjid beralaskan tikar mengkuang. Kini kita boleh menikmati pembelajaran ilmu-ilmu Islam dan Al-quran bersilibus di bilik-bilik yang berhawa dingin.
  • Dahulu kita hanya mendapat isyarat-isyarat dari masjid melalui beduk-beduk yang diketuk. Kini kita dapat menikmati sebaran maklumat sepantas kilat dengan bangunnya sistem jalur lebar di masjid-masjid.

Siapakah mereka yang bertanggungjawab membuat perubahan ini? Sesungguhnya insan terpilih memakmurkan rumah Allah hanyalah mengharapkan rahmat dan redha Ilahi. Bagaimana pula dengan kita? Justeru marilah kita sama-sama melakukan muhasabah dan koreksi diri.

Firman Allah SWT  dalam Surah Al-Imran ayat 133;

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”. 

%d bloggers like this: