Archive for 5 Februari 2014


Sumber : http://ilmudanulamak.blogspot.com/2013/09/masalah-makmum-ketinggalan-fatihah.html

Soalan; salam tuan, saya ade beberapa soalan untuk pencerahan:

Solat berjemaah –  individu merupakan jemaah masbuk, katakan individu mengikut imam pada rakaat ke-2 dan tidak dapat menghabiskan bacaan al-fatihah, individu tersebut tidak perlu menghabiskan bacaan tersebut dan perlu rukuk mengikut imam, yang saya ingin dapat kepastian adalah pada rakaat ke-3, sekiranya makmum tersebut masih tidak dapat menghabiskan surah al-fatihah dan imam telah rukuk, perlukah makmum tersebut menghabiskan bacaannya kemudian rukuk mengikut imam tetapi jika makmum tidak sempat rukuk bersama imam adakah rakaat tersebut dikira @ masih perlu dilakukan sama seperti rakaat ke-2?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.

1. Jika kita tiba ketika imam telah rukuk, terus sahaja bertakbir masuk ke dalam solat (takbiratul ihram), kemudian takbir sekali lagi dan rukuk bersama imam. Ketika ini, gugur al-Fatihah dari kita dan ia ditanggung oleh imam.

2. Jika kita tiba ketika imam hampir rukuk, terus bertakbir masuk ke dalam solat, baca al-Fatihah setakat yang sempat, apabila imam rukuk kita turut rukuk bersama imam, tidak perlu kita menghabiskan fatihah kita kerana baki fatihah kita itu ditanggung oleh imam.

3. Jika kita mengikuti imam dari awal solat, wajib dalam apa keadaan sekalipun kita menghabiskan bacaan al-Fatihah kita. Sekalipun imam telah rukuk, kita wajib menyudahkan bacaan al-Fatihah, kemudian baru rukuk bersama imam. Jika ada keuzuran (iaitu lambat dalam bacaan) diberi kelonggaran kepada kita hingga tiga rukun panjang (iaitu sehingga sebelum imam bangkit dari sujud kedua).[1]

Jika kita sempat sujud sebelum imam bangkit dari sujud keduanya, kita masih dikira mendapat rakaat tersebut bersama imam.  Jika tidak sempat, kita dikira telah luput rakaat tersebut bersama imam, maka tidak perlu lagi kita rukuk, akan tetapi terus duduk tahiyyat bersama imam (jika dia duduk tahiyyat) atau tunggu sahaja imam naik ke rakaat berikutnya (jika tidak ada tahiyyat oleh imam) dan mengikuti imam hingga selesai solatnya, apabila imam memberi salam, kita bangun menambah rakaat yang ketinggalan dari imam tadi.

Itu adalah mengikut mazhab Syafiie yang berpandangan; makmum wajib membaca al-Fatihah ketika solat berjamaah (sebagaimana imam wajib membacanya) kecuali dalam kes makmum masbuq (iaitu kes 1 dan 2 di atas) di mana bacaan al-Fatihahnya ditanggung oleh imamnya bagi dua kes tersebut. Menurut mazhab-mazhab lain ( Hanafi, Maliki dan Hanbali); ketika solat berjamaah, makmum tidak wajib membaca al-Fatihah (hanya disunatkan sahaja).

Telah memadai bacaan imam untuknya atau dalam pengertian yang lain; imam menanggung bacaan al-Fatihah untuknya, jadi tidak wajib lagi atasnya. Maka menurut pandangan kedua ini, dalam apa keadaan sekalipun, apabila imam rukuk, makmum hendaklah terus rukuk bersama imamnya. Tidak perlu makmum menghabiskan bacaan al-Fatihah (sama ada ia mengikuti imam dari awal atau ketika imam telah rukuk atau hampir rukuk) kerana telah ditampung oleh bacaan imamnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52 (perkataan; “Qira-ah”).

2. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.

3. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.

4. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

[1] Iktidal dan duduk antara dua sujud adalah rukun pendek. Adapun ruku’, sujud pertama dan sujud kedua adalah rukun panjang. Jadi, apabila makmum masih belum ruku’ tatkala imamnya telah bangkit dari sujud kedua, maka ia telah ketinggalan dari imamnya melebihi tiga rukun panjang, iaitu; ruku’, sujud pertama dan sujud kedua.

karim zaidan

Isnin 27hb Jan 2014 dunia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulamak, tokoh gerakan Islam dan pemikir Islam yang agong iaitu Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah. Beliau juga merupakan bekas Penasihat Umum bagi gerakan Ikhwan Muslimin di Iraq. Janazahnya dikebumikan di San’a, Yaman, bumi yang terakhir menjadi tempat beliau bernaung selepas terpaksa keluar meninggalkan bumi kelahiran beliau iaitu Iraq.

2. Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah atas pemergian beliau kepada se luruh umat Islam, khususnya keluarga almarhum, anak-anak murid beliau dan warga Univesiti Iman, San’a di bawah naungan Syeikh Abdul Majid Zandani yang menjadi pusat ilmu di mana beliau menjadi salah seorang mahagurunya. Pemergian tokoh ulamak Islam ini merupakan kehilangan besar bagi ummat.

3. Beliau dilahirkan di Baghdad pada tahun 1921. Berkelulusan Ijazah Pertama dari Fakulti Undang-undang Univ Baghdad, Master dan Phd Pengajian Islam Universiti Kaherah tahun 1962.

4. Beliau merupakan bekas Mursyidul Am Iraq, mengasaskan Fakulti Pengajian Islam di hujung 60 an dan berjaya melahirkan graduan namun kemudiannya ditutup oleh Parti Sosialis Iraq dan beliau sendiri dikenakan seumpama tahanan rumah. Beliau terus ditekan sebagai seorang tokoh Ulamak sehingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan Iraq pada awal 90 an.

5. Beliau pernah menjawat jawatan Profesor Undang-undang Islam dan Ketua Jabatan Syariah, Fakulti Undang-undang, Univ Baghdad dan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Baghdad.

6. Antara karya beliau yang terkenal ialah ensiklopedia Hukum-hakam berkaitan Wanita dan Keluarga Muslim sebanyak 11 juzuk yang mendapat Anugerah Antarabangsa Raja Malik Faisal pada tahun 1997 M/1417 H.

7. Antara tulisan beliau yang terkenal dan menjadi rujukan di banyak fakulti pengajian Islam di seluruh dunia ialah

1. Hukum-hakam Zimmi dan Musta’min dalam Negara Islam

2. Pengenalan Pengajian Syariah Islam

3. Usul Dakwah

4. Al-Wajiz – Syarah Qawaid Fiqhiyyah

5. Sistem Kehakiman dalam Islam

8. Moga Allah merahmati roh beliau dan memberikan ganjaran terbaik untuknya di alam Barzakh dan di Hari Akhirat. Moga kita juga berjaya mengikut jejak langkah beliau sebagai orang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
28 hb Jan 2014

%d bloggers like this: