Archive for 1 Februari 2014


Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/editor/25245-membongkar-isu-isu-kritikal-tawau

Oleh Ahmad Lutfi Othman / 27 Januari 2014

Pagi Ahad, 19 Januari. Hari kedua saya di Tawau. Dua panggilan Yang Dipertua PAS kawasan, Mohamad Husain, tidak sempat dijawab. Sejak awal pagi, kami agak terkejar-kejar membuat tinjauan ringkas, menyelongkar isu-isu rakyat di lapangan, yang belum didedahkan secara menyeluruh oleh media.

Saya dan wartawan Arif Atan tiba agak lewat di lokasi, Pasti Nurul Hannani, Jalan Kuhara. (Rupanya Pasti di Tawau – antara yang terbaik pengurusannya di Malaysia – mendapat sambutan hebat ibu bapa, termasuk keluarga penyokong dan pemimpin Umno).  Pengarang Berita, Wan Nordin Wan Yaacob sampai lebih awal. Majlis jamuan dan meraikan bekas tahanan ISA, bertempat sudah bermula.

Saya terpaksa berhati-hati menuruni cerun di jalan masuk depan Pasti.  Dua anak muda dengan sopan cuba memapah saya. Terasa macam orang tua kurang upaya!

Bekas tahanan dua kali dikurung di Kamunting, Ustaz Nazri Dollah, baru memulakan ucapan, menekankan teladan unggul Rasulullah s.a.w. Saya perlu meredakan kepenatan di barisan kerusi paling belakang sebelum bersama Nazri dan Mohamad di atas pentas,

Wajah jernih anak-anak kecil yang pernah berkunjung ke Pejabat Harakah menggamit perhatian saya. Begitu juga para isteri yang dulunya berwajah suram. Sekilas, saya dapat mengesan mereka kini dalam mood berbeda. Alhamdulillah.

Memang kunjungan kali ini bukan lagi waktu untuk berduka atau bercerita kisah sedih. Sebaliknya tanda simbolik menguburkan akta rimba penuh kezaliman yang memisahkan keluarga pejuang. Dan turut mahu dibenamkan ialah ketakburan elit penguasa serta kesombongan pencacai, khususnya anggota Cawangan Khas (SB).

“Saya kira selepas ISA dimansuhkan dua tahun lalu dan semua tahanan dibebaskan minggu lepas, maka ini mungkin kunjungan terakhir ke Tawau, ditambah pula keuzuran badan,” ujar saya dalam mukadimah forum  membariskan bekas tahanan berkongsi pengalaman.

“Rupanya, tidak. Dan saya terlewat sampai ini pun kerana terpaksa menyusun jadual melihat sendiri banyak projek sakit dan isu-isu rakyat di Tawau, seperti penyelewengan pembinaan Sekolah Menengah Titingan, dan paling mengejutkan insiden batu besar kuari meranapkan 12 rumah di Kampung Tanjung Batu Kukusan. Dahsyat sungguh!

“Insya-Allah, walaupun ISA sudah berkubur, saya dan rakan-rakan Harakah akan datang lagi ke Tawau,” kata saya, disambut ketawa kecil hadirin.

Seawal pagi hujung minggu itu (walaupun sudah dianggap lewat dalam kiraan jam di Sabah) kami menjejaki projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan, Tawau, yang hampir siap dan sepatutnya sudah mula beroperasi tahun lalu.

Malam sebelumnya, kami dibawa menikmati juadah makanan laut yang segar dan enak, di sebuah restoran berdekatan, Sri Titingan, memaksa saya melanggar diet diabetis, jantung dan kegagalan buah pinggang.

Saya perhatikan kawasan sekolah dipagar sepenuhnya. Kami ditemani Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah. Ahmad yang murah dengan senyuman dan kerap berjenaka itu seperti keberatan membenarkan saya menyelit melalui “lorong tikus”. Saya terpaksa mengempiskan perut dan menahan nafas untuk meloloskan diri.

“Dah jauh ke sini, haji, takkan tersekat nak masuk ke dalam, kot,” saya bersuara perlahan, ketawa kecil, sambil bertongkat mengimbangi badan agar tidak tersepit. Saya lebih risaukan benda-benda tajam yang boleh melukakan dan berisiko tinggi kepada pengidap diabetik.

Memang mengejutkan. Bangunan sekolah yang menelan kos RM40 juta itu boleh dikatakan siap sepenuhnya tetapi kini terbiar sepi. Lalang hampir separas pinggang. Banyak peralatan, termasuk pendingin hawa telah dicuri. Hatta pintu dewan besar pun tanggal, lesap. Apatah lagi jeriji besi yang boleh dijual di pasaran gelap dengan mudah.

Pelik bin ajaib juga memikirkan punca masalah bagaimana bangunan sekolah yang siap tidak dapat dimanfaatkan. (Tapi, bukankah tiada yang aneh di negara tercinta ini, segalanya serba mungkin dan tiada yang mustahil, ‘kan?)

Difahamkan tiada jalan masuk ke sekolah baru ini. Soalnya, bagaimana projek boleh diluluskan tanpa dibereskan kemudahan paling asas terlebih dahulu? Mungkinkah – untuk kesekian kali – rasuah atau elemen seumpamanya. Sepertimana pernah menyebabkan banyak lagi projek sebelum ini terbengkalai atau roboh kemudiannya, terutama di bawah Kementerian Pendidikan?

Soalan-soalan itu sebenarnya tidak lagi menimbulkan tanda tanya, malah sudah ada jawapan “sejak azali” lagi! Ya, pemerintahan Umno-BN tidak dapat dicerai-tanggal daripada korupsi, kronisme, salah guna kuasa atau sekurang-kurangnya pembaziran melampau. Lebih aneh lagi apabila khabarnya Putrajaya telah dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar sudah berpindah ke sekolah baru itu.

Belum lega dengan kejutan itu, kami dibawa ke sekolah tumpang, di kawasan setinggan berhampiran, yang terpaksa menampung pelajar sekolah terbengkalai tersebut. Melihat situasi di sekeliling, saya dapat membayangkan risiko tinggi yang menunggu, antaranya banjir dan kebakaran.

Sementara menunggu hidangan juadah nasi Arab di majlis meraikan bekas tahanan ISA, seorang guru membisikkan kepada saya: “Bukan hanya sekolah Titingan yang terbengkalai, banyak lagi projek sakit di Tawau ini.” Dia menyebut nama dua sekolah menengah itu, Kubota dan Kinabutan, yang kemudiannya kami lawati esok hari, bersama Mohamad Husain.

Secara peribadi saya tidak begitu kaget dengan perkampungan setinggan atau penempatan di atas air di Tawau. Semasa di Sandakan beberapa bulan lalu, saya perhatikan situasi di sana lebih sesak dan menyedihkan. Begitu juga dengan keadaan anak-anak kecil yang berkeliaran di pasar.

Saya lebih terdorong dan rasa bertanggungjawab untuk mengangkat isu kuari di Kampung Kukusan. Melihat sendiri bongkah batu sebesar rumah, yang meranapkan 12 kediaman, cukup menggerunkan.

Berdepan “lembaga” batu sebesar itu, yang jatuh bagaikan peluru selepas puncak bukit diletupkan, pada April 2013, saya bukan saja terkejut tetapi sekali gus api kemarahan memuncak.

Bukankah aktiviti pengkuarian terpaksa melalui prosedur yang cukup ketat, khususnya daripada Jabatan Alam Sekitar, yang memerlukan laporan EIA dan persiapan kawalan risiko kecemasan yang diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis?

Bukan saja impak gegaran, bau, bunyi bising dan habuk yang diambil berat, malah prioriti paling atas adalah aspek keselamatan, bukan hanya terhad kepada manusia tetapi juga binatang.

Difahamkan kawasan kuari juga hendaklah dilanskap dengan tumbunhan rendang yang dapat menghalang pandangan visual penduduk terdekat. Selain itu, operasi kuari hendaklah dihentikan serta merta jika terdapat sebarang aduan pencemaran atau gegaran atau batu terbang (flyrock) daripada penduduk sekitar.

Dan sebagai rakyat biasa, saya rasa terhina dengan sikap rakus dan memandang rendah keselamatan orang awam, konspirasi ahli perniagaan tamak bersama elit pemerintah takbur.

Sama sekali anda tidak boleh mempercayainya apabila letupan kuari sedahsyat itu, yang memuntahkan bongkah batu pejal yang masih tersergam, namun ia masih belum berjaya menghentikan operasinya.

“Inilah bukti kerja jahat kapitalis rakus yang mahu mengorek segala khazanah bumi tanpa menghiraukan keselamatan orang awam,” Arif Atan meluahkan rasa hati semasa kami masih berkereta menuju jalan masuk ke Kg Kukusan atau lebih popular dengan sebutan Besi Buruk.

“Rasuah dan korupsi akan menghanguskan segalanya,” pintas saya. “Dan inilah peranan media bebas seperti Harakah. Kita harus turun selalu ke Sabah. Banyak cerita misteri yang belum kita korek tersimpan di sini,” saya seakan berkhutbah. Dari bawah, saya mendengar dengan jelas gegaran di atas bukit, dan melihat kilauan pancaran cahaya daripada mesin pengorek yang terus digerakkan.

Malah, seorang wanita, penduduk kampung, menunjukkan salinan pemberitahuan, bertarikh 20 Januari 2014, daripada pengurusan Kukusan Kuari Tawau bahawa “peletupan bom batu” akan dijalankan pada jam 1.30 petang, 21 Januari.

Petaka apa yang masih ditunggu, bukan saja untuk menghentikan serta merta operasi kuari itu, tetapi juga untuk membentuk satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti akar kepada kejadian ngeri yang masih menghantui penduduk itu?

Selama tiga hari di Tawau, saya cukup terkesan dengan personaliti hebat rakan-rakan PAS, tidak terkecuali Muslimat, yang banyak membantu dan ringan tulang, termasuk bersama isteri saya, Siti Hawa Samsam menyediakan juadah nasi Arab untuk jamuan meraikan bekas tahanan ISA.

Dan saya tentu sekali tidak dapat melupakan sosok tubuh “Uncle Jefferey”, 68, atau nama sebenar Kideng ak Benang, seorang lelaki Iban yang tabah dan cekal. Ungkapan kata yang dituturkannya cukup menarik dan membekas. Beliau bijak menyusun madah dan mampu membangkitkan semangat.

Bertemu mata dengannya, mencuri masa kerja beliau sebagai pengawal keselamatan selepas dipaksa meninggalkan kerjaya sebagai petani berjaya, dan berbicara tentang kemusnahan kawasan bercucuk tanam  dan penempatan yang diterokainya sejak 1978, begitu menyentuh hati.

Satu lagi testimoni tentang kerakusan pemerintah merampas tanah yang diusahakan titik peluh rakyat. Saya rasa terkilan kerana tidak sempat mengunjungi kampungnya bagi menyaksikan sendiri proses kezaliman yang tidak pernah terhenti.

“Bukankah pelik apabila kita, manusia, sebagai makhluk Tuhan yang paling indah telah diusir lebih hina berbanding binatang.

“Saya sendiri pernah katakan kepada pihak perhutanan Sabah, gajah, dan binatang liar dalam hutan kamu jaga, pelihara. Sedangkan manusia seperti kami dan sama seperti kamu juga, ciptaan Tuhan yang begitu indah, tapi tidak difikirkan hak sesama manusia, diusir tanpa memberi pilihan,” ujarnya lembut tetapi nampak tegas.

Jefferey seterusnya menceritakan perancangan beliau dan rakan-rakannya untuk kembali ke kawasan penempatan mereka yang telah dimusnah dan dirampas: “”Kami akan kembali ke sana 10 April ini. Setiap tahun sejak empat tahun lalu kami berdoa di sana.

“Saya minta kepada Tuhan supaya Tuhan memberi kebijaksanaan, melembutkan hati mereka agar mengembalikan hak rakyat yang mereka rampas. Langkah saya tidak terhenti begitu saja. Setiap tahun kami berdoa begitu. Perjuangan kami belum selesai,” tambahnya penuh yakin. Benar, saya tidak perlu menunggu lama untuk mengkagumi watak lelaki ini.

Ikuti kisah menarik Jefferey, bekas ketua cawangan Umno dan seorang yang boleh dianggap bertaraf paderi, juga pelanggan tetap Harakah yang tidak pernah absen mengikuti ruangan kuliah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abdul Hadi Awang, dalam Harakah akan datang.

tawau1tawau2

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/25322-ekonomi-islam-malaysia-boleh-belajar-dari-turki

Oleh YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1.Saya amat tertarik dengan perkembangan di Turki. Di dalam ijtihad pemerintah, kadar faedah sebenar Turki diturunkan secara beransur-ansur sehingga menjadi “kosong” manakala kadar faedah nominalnya mengikut kadar inflasi. Memandangkan inflasi adalah fenomena “semulajadi” maka terdapat kelonggaran mengikat kadar faedah kepada kadar inflasi. Para penganalisis dari pemodal kewangan antarabangsa sejak dari akhir 2010 menjangkakan nilai lira akan jatuh, defisit akan berkembang dan inflasi akan meningkat hasil dari pendekatan ini.

2.Namun sehingga ini, Turki masih merupakan antara pasaran menyinar di dalam ekonomi Eropah yang rata-ratanya merudum. Pengalaman Turki ini, saya percaya risiko-risiko yang dibangkitkan ada benarnya dan sebarang usaha untuk mewujudkan ekonomi tanpa kadar faedah perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati, apatah lagi apabila komuniti kewangan antarabangsa mula berkonspirasi menyuntik keraguan di dalam pasaran. Begitu pun komitmen Perdana Menteri Turki yang mahu melihat orang-orang Turki “mendapat untung dengan berkerja, dan bukannya melalui kadar faedah” merupakan satu komitmen yang berani.

3.Visi pemerintah Turki ini membuka ruang ijtihad yang sepatutnya diteladani pemerintah Malaysia sekiranya kita benar-benar beriman kepada larangan Riba’.

Agenda Kedua – Program Pengurusan Hutang Negara

Pembentangan Bajet 2014 saya kira kerajaan tidak mengumumkan langkah konkrit untuk menangani hutang negara selain dari meletakkan beban kelangsungan biaya kerajaan ke atas rakyat melalui program percukaian GST. Masalah ini ibarat gajah di dalam bilik yang tidak diendahkan.

4.Menurut Islam, hukum hutang adalah harus malah ulama menafsirkan memberi hutang itu lebih utama dari bersadaqah. Sekalipun hutang itu dibenarkan tetapi apabila menjadi berlebihan dan bertransformasi pula menjadi suatu ketagihan, ia akan menjadi punca ketidakstabilan, punca keresahan dan hilangnya keberkatan di dalam muamalah. Hakikatnya, inilah yang sedang berlaku di dalam negara kita ini dan ia menghalang keberkatan dalam muamalah kenegaraan dan bermasyarakat.

5.Buktinya, hutang fiskal kita terus meningkat, dan dalam kadar yang membimbangkan. Sepanjang tempoh 1970 hingga tahun 2000, hutang kita meningkat sehingga lebih sedikit dari 100 bilion ringgit. Dari tahun 2000 sehingga 2012, yakni tempoh 12 tahun sahaja, hutang kita meningkat mendadak dari 100 bilion sehingga 420 bilion ringgit. Perdana Menteri pernah berkata rakyat ketagih subsidi, tetapi nampaknya kerajaan sendiri pun ketagih berhutang.

6.Mengikut rekod sejak 1970, Malaysia mengamalkan bajet defisit setiap tahun kecuali untuk sebahagian kecil tahun-tahun 90-an. Tidak cukup setakat itu, saban tahun termasuklah untuk 2013, kerajaan memohon peruntukan tambahan secara puratanya dalam lingkungan 7 hingga 10 billion ringgit setahun. Bukankah ini satu bentuk ketagihan kepada hutang?

7. Peringatan Nabi SAW mengenai hutang adalah jelas, ertinya:

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji ia mengingkari.” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

8.Bila membaca hadis ini, saya terimbau kembali kenyataan-kenyataan kerajaan mengenai hutang negara. Tahun 2009, Datuk Idris Jala yang bertanggungjawab terhadap program-program PEMANDU memeranjatkan negara dengan mengatakan Malaysia akan bangkrap. Tahun 2012, Datuk Idris Jala menegaskan program transformasi negara telah berjaya menjauhkan Malaysia dari kebangkrapan.

9.Perdana Menteri pun terus melukis gambar-gambar indah mengenai ekonomi negara biar pun hutang bertambah dan kos sara hidup meningkat. Hanya apabila Fitch Ratings menurun taraf piawai fiskal kita, barulah pemerintah tersentak. Kerajaan pun panik, memotong subsidi petrol biarpun harga petrokarbon global pada dasarnya stabil. Sudah terkena baru terngadah lalu rakyat dimangsakan.  Maaf jika saya katakan, bukankah perilaku pemerintah ini satu pendustaan?  Benarlah kata-kata Rasullulah saw.

10.Terdapat satu hadis lain pula, Nabi SAW diriwayatkan berkata, ertinya:

“Ya Allah, aku berlindung daripada kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya,” Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?; “Benar” Jawab Rasulullah.” (Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif)

Nasrudin bin Hassan

Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat

Mencorak Masa Depan

%d bloggers like this: