Archive for Januari, 2014


Semoga Allah SWT mengampunkan Tuan Guru Ustaz Harun Taib, memberikan ganjaran terbaik atas perjuangan Islam yang beliau tegakkan, serta menempatkan di kalangan mereka yang soleh.

TGHT (1)TGHT (2)TGHT (3)TGHT (4)TGHT (5)TGHT (6)TGHT (7)TGHT (8)TGHT1

TGHT2TGHT3TGHT4TGHT5








Tarikh : 25 Januari 2014

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah, Kg Bangka-Bangka Likas

Alhamdulillah, 9 perawat Darussyifa’ Sabah turun ke lokasi sempena karnival cinta Rasul anjuran pihak masjid, maka khidmat rawatan Darussyifa’ turut diadakan. Rawatan bermula jam 2 petang dan berakhir 3 jam kemudian dengan rehat pada waktu solat.

Jumlah mereka yang mendapatkan rawatan adalah seramai 80 orang. Alhamdulillah dapat berkhidmat kepada masyarakat di sini dan sekitarnya.

Darussyifa'@Bangka2 (1) Darussyifa'@Bangka2 (2) Darussyifa'@Bangka2 (3) Darussyifa'@Bangka2 (4) Darussyifa'@Bangka2 (5)

Syukbah Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu antara kumpulan yang aktif dengan majlis ilmu. Mereka mengadakan kelas-kelas mengaji al-Quran, tauhid, fekah dan sebagainya dengan menggilirkan para asatizah. Mereka juga ada kumpulan-kumpulan ziarah orang sakit sama ada di hospital atau rumah-rumah.

Kali ini giliran saya menerima undangan berceramah kepada kaum ibu dan apra muslimat. Sasaran saya ialah topik berkenaan kekeluargaan Rasulullah SAW. Setinggi tahniah saya ucapkan. Terima kasih atas undangan. Kredit foto : Datuk Dr Hjh. Suzain Datuk Suhaimi.

MBR (1) MBR (2) MBR (3) MBR (4)MBR (5)MBR (6)MBR (7)MBR (8)



Masjid Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas Putatan

Sesiapa yang bertaubat daripada maksiat dan memperbaiki amal menggantikan maksiat dengan amalan yang baik maka Allah akan menerima taubatnya, menutup kesalahannya dan mengampuni dosa-dosanya.

Bertaubat kepada Allah adalah dengan cara membaca istighfar, disertai dengan ikrar dalam hati, diiringi dengan penyesalan dan berazam tidak akan melakukan dosa lagi. Istighfar adalah permohonan keampunan atas dosa yang dilakukan dan setiap doa yang mengandungi maksud ini disebut sebagai istighfar.

Nabi SAW menyatakan (bermaksud) : Beruntunglah orang yang menjumpai catatan amalnya nanti banyak istighfar. Dalam riwayat lain : Sesiapa yang ingin digembirakan oleh catatan amalnya, maka hendaklah dia memperbanyakkan istighfar.

Rasulullah SAW sendiri beristighfar antara 70-100 hari dalam sehari semalam. Maka apatah pula kita sebagai hamba Allah yang kerdil dan lemah ini sudah tentu lebih lagi memperbanyakkan amalan tersebut.

Tarikh : 24 Januari 2014

Lokasi : SK Pekan Tuaran

Alhamdulillah, dapat berziarah ke sini walaupun dalam suasana hujan lebat mengiringi perjalanan dari rumah ke sekolah tersebut hampir sejam lamanya. Saya mengambil konsep berbeza dengan tidak menceritakan satu demi satu kelahiran Nabi SAW, tetapi lebih berupa beberapa pengajaran yang bersesuaian dengan anak-anak yang hadir di hadapan saya.

Antara yang saya sebutkan ialah kewajiban solat, membaca al-Quran, senyum, mendahulukan yang kanan dan sebagainya. Terima kasih kepada tuan guru besar dan warga sekolah. Semoga bermanfaat semuanya.

SK Pekan Tuaran (1) SK Pekan Tuaran (2)

Sumber : http://www.tarbawi.my/2013/02/akidah-dan-kepimpinan.html

Politik yang dimaksudkan dengan kepimpinan itu ialah bermuamalah dengan tabiat manusia dan melakukan sesuatu yang berkesan terhadap tingkah laku mereka serta mengarahkan mereka ke arah matlamat yang nyata dengan cara yang menjamin ketaatan, kepercayaan dan penghormatan. Perkataan akidah ditadbirkan oleh al Quran dengan iman yang menjadi dasar yang dibina di atas hukum syariat dalam segala aspeknya.

Kepimpinan dalam konteks Harakah Islamiyyah mempunyai hubungan yang erat dengan akidah. Gerakan Islam di sepanjang sejarah kegemilangannya lebih menumpukan kekuatan akidah sebagai ciri paling utama di samping ciri-ciri yang lain yang melibatkan pendokongnya dan menjadi lebih penting di peringkat pimpinan. Kerana perjuangan ke arah yang menyentuh perubahan jiwa dan sikap manusia itu mestilah dilahirkan dari akidah yang bersebati di dalam jiwa.

Peranan pimpinan amat penting dalam gerakan Islam, peranannya tidak boleh dilaksanakan dengan sempurna tanpa syakhsiah kepimpinan yang sebenarnya walaupun mempunyai kepetahan bercakap dan kemampuan ilmu.

Walaupun sifat-sifat lahiriyyah itu tidak dinafikan pentingnya, seseorang pemimpin itu hendaklah menyedari betapa besar dan beratnya amanah yang dipikul, tidak boleh dilaksanakan tanpa pertolongan Allah dan bagi meminta pertolongan itu perlukan kebersihan jiwa yang lahir dari kekuatan dan kemurnian aqidah yang dibina dengan amalan-amalan yang soleh.

Persediaan Pemimpin Dalam Membentuk Syakhsiah

Peranan pemimpin dalam gerakan Islam bukannya penyebar dakyah yang hanya bergantung kepada kata-kata yang indah dan gaya yang menarik, tetapi mereka adalah pendakwah yang membentuk ummah atau pembantu ke arah itu sehingga ke peringkat menegakkan Negara Islam yang memungkinkan Islam itu dilaksana dengan syumulnya.

Walaupun terdapat sifat semula jadi yang ada pada seseorang pemimpin tetapi sifat-sifat seperti itu mempunyai peranan yang terbatas. Maka mereka mestilah juga ditarbiyah ke arah kekuatan aqidah yang membina syakhsiahnya dengan sifat-sifat Islam yang wajib bagi pemimpin.

Di sini saya ingin mengemukakan beberapa aspek yang mesti dilakukan dan berlaku dalam membina aqidah :

Ilmu

Firman Allah Taala (bermaksud) : “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” (Taubah:122)

Seseorang pemandu hendaklah mengenal jalan dan tempat yang dituju. Adalah tidak wajar seseorang yang tidak tahu jalan dan tempat yang dituju menjadi pemandu. Pemimpin Islam hendaklah mengenal Islam dan yakin kepadanya.

Aqidah Islam Itu tidak memadai dengan membaca dan memahami rukun Iman dan Islam tetapi hendaklah mencakup segala tasawwurnya, termasuk juga memahami bahawa syariatnya seperti aqidahnya juga dalam menentukan sifat-sifat Iman, kufur, syirik dan nifaq, dapat menterjemahkan Islam itu dengan maknanya yang syumul seperti yang dinyatakan oleh al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Ilmu Islam itu hendaklah difahami dengan bahasanya agar selamat dari kekeliruan bahasa dan istilah yang lain daripada al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W. Para sahabat R.A menerima ilmu daripada Rasulullah S.A.W walaupun mereka dalam usia yang sudah tua dan para salaf as soleh tidak mengira penat dan jauh perjalanan walaupun kerana menerima riwayat satu hadis yang ringkas daripada Rasulullah S.A.W dan mereka tidak jemu belajar walaupun sudah alim dan mempelajari perkara yang sama walaupun beberapa kali kerana dengan ilmu daripada sumbernya yang sebenar melahirkan aqidah yang menggerakkan seseorang itu untuk beramal.

Sabda Rasulullah S.A.W, “Keburukan yang berlaku pada agama itu ada 3 perkara, Orang alim yang jahat, pemimpin yang zalim dan mujtahid yang jahil” – Riwayat Imam Ad Dailami

Ilmu menjadi ciri kepimpinan penting, kerana ia laksana cahaya yang menyuluh akal dan hati bagi makrifatullah dan segala tuntutannya, serta melaksanakan tugas dengan betul bagi mengendali segala urusan bukan sahaja dengan khalik tetapi juga dengan makhluk yang ada hubungan dengan tugas-tugas khilafah yang diamanahkan kepada manusia, iaitulah ilmu yang memberi manfaat, ilmu yang berdasarkan dinullah bagi membentuk peribadi pemimpin ummah dan membina negara, ilmu yang kerapkali disebut di dalam al Quran, di antaranya ialah firman Allah Taala (bermaksud) :

“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka; Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab; Bagaimana Dia mendapat kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak Dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata; Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengumiaanNya), lagi meliputi ilmuNya.” – (Al Baqarah:247)

Ilmu dalam konteks aqidah pula agar seseorang faham dan berfikir ke arah membentuk iman dan membuahkan amal, hendaklah mengaji dan mengkaji al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W dengan renungan dan fahaman ke arah menunjangkan aqidah dan melaksanakan tuntutannya selaras dengan fitrah kita ini.

Menyedari apa yang telah ditunai dan kecuaian diri sebagai hamba Allah sehinggalah melahirkan kesedaran mengeratkan hubungan dengan Allah Taala dengan iman, semangat dan perasaan yang tidak berbelah bahagi sedikit pun. Seterusnya melahirkan jihad ke arah meninggikan kalimah Allah Taala yang menjadi aqidahnya.

Hakikat itu tidak berlaku jika seseorang itu tidak berilmu menurut salurannya yang sebenar dari Allah Yang Maha Mengetahui, termasuk juga mengetahui manusia dan segala perkara yang berhubung dengannya.

Perlu diketahui bahawa ilmu yang membentuk manusia menurut alQuran dan as Sunnah melahirkan pemimpin yang beraqidah seperti Para Sahabat R.A dan orang-orang badwi di padang pasir yang telah menumbangkan kuasa-kuasa besar dunia dan mengajar mereka yang dianggap berilmu seperti ahli kitab dan orang-orang yang pernah membina tamadun dunia supaya benar-benar menjadi khalifah Allah di bumi-Nya.

Seseorang pemimpin itu hendaklah lebih mengetahui tentang mafhum Islam yang menjadi jalan dan matlamat dengan penuh iman sehingga tidak berpaling kepada segala bentuk gangguan dalam menegakkan cita-cita Islam bermula daripada mentauhidkan Allah Taala, mengumpul manusia kepada mengakuiNya, sehinggalah tegaknya kalimah Allah dan bersihnya bumi ini daripada segala kufur dan syirik dengan terlaksananya segala peraturan yang ada di dalam ajaran Islam.

Perlu difahami bahawa wujudnya Islam di muka bumi ini mestilah diwujudkan hakimiyyah Allah dengan hukum Allah itu memerintah urusan hamba-Nya, bukanlah sekadar hamba itu beribadah dengan melakukan syiarnya sahaja.

Oleh itu, menjadi satu hikmah yang besar, apabila Allah menurunkan ayat yang menyatakan ilmu, jalan dan dasarnya sebagai ayat yang pertama diturunkan kepada Rasulullah S.A.W dan betapa majlis ilmu diberi keutamaan kepada angkatan pertama Para Sahabat R.A, bukan sekadar untuk maklumat semata-mata tetapi untuk kekuatan aqidah yang dilahirkan pula dengan amalan dan perjuangan yang penuh dengan pengorbanan yang menjadi bukti kekuatan aqidah kepada pemimpin-pemimpin pertama jemaah Islam.

Amal Dan Tazkiyah

Menuju ke arah cita-cita Islam dan melaksanakan tugas-tugas Islam seseorang itu hendaklah melakukan muhasabah ke atas diri sendiri dan menyedari sejauh mana kedudukannya dalam Islam di mana dia mendakwahkan orang lain kepadanya, dari segi iltizamnya dengan Islam dengan menginsafi firman Allah Taala (bermaksud) :

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al Baqarah:44)

Dan janganlah amal yang dikerjakan itu menjadi sia-sia seperti firman Allah Taala (bermaksud) :

“(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.”. (Kahfi:104)

Mereka yang sebenar-benarnya rugi ialah apabila kerugian di akhirat walapun mendapat keuntungan yang banyak di dunia ini. Keuntungan yang sebenamya ialah menurut pertimbangan di akhirat walaupun mengalami kerugian besar di dunia. Keuntungan itu hanyalah kepada orang-orang yang baik yang mengerjakan amal soleh bermula daripada dirinya sebelum daripada orang lain.

Sabda Rasulullah S.A.W, “Hamba yang paling dimurkai Allah ialah sesiapa yang pakaiannya lebih baik daripada amalannya. Bahawa pakaiannya seperti pakaian Nabi-Nabi dan amalannya amalan pembesar-pembesar angkuh” – Riwayat Imam ad Dailami

Sabda Rasulullah S.A.W lagi, “Datang seorang lelaki pada hari Kiamat, dia dicampak ke dalam neraka tiba-tiba perutnya keluar berjela maka dia  berpusing di dalamnya seperti keldai yang berpusing pada pinggulnya. Penghuni neraka berkumpul kepadanya lalu mereka bertanya; Bukankah awak dahulu menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran? Dia menjawab; Ya, sayalah menyuruh orang kepada kebaikan tetapi saya tidak mengerjakannya dan saya juga melarang kemungkaran, tetapi saya melakukannya.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Sepatutnya seorang pemimpin Harakah Islamiyah hendaklah menjadi contoh kepada orang lain dengan amal-amal soleh yang lebih baik, kalau tidak, dia lebih layak menjadi menjadi seorang penipu umat.

Setiap orang yang melibatkan diri dengan gerakan Islam hendaklah menyedari jalan-jalan yang berdasarkan kepada fikrah semata-mata tidak mendatangkan hasil yang baik, bahkan tidak akan menjadi pegangan yang kukuh dalam masa yang panjang kalau tidak disertakan dengan amal yang ikhlas kerana Allah.

Iman dan amal yang soleh merupakan dua perkara yang berlaziman dan tidak boleh berpisah, amal soleh adalah kenyataan daripada iman, dan iman pula melazimkan seseorang itu melakukan amal soleh.

Di dalam al Quran disebut berulangkali tentang iman dan amal soleh, dan boleh dikatakan bahawa amal soleh itu lahir dari iman dan taqwa yang ditadbir juga dengan aqidah, di samping itu amal soleh pula menjadi pembekal iman dan taqwa.

Amal soleh juga adalah perlaksanaan ilmu yang dipelajari samada melalui membaca atau mendengar dan menjadi hujah yang kuat kalau diamal dan menjadi akasnya kalau tidak diamal. Dengan beramal akan meneguhkan ilmu dan menguatkan aqidah, terkeluar dari alam teori dan khayalan semata-mata, dan melayakkan seseorang itu berada di medan jihad dan mujahadah. Meningkatkan diri, membina peribadi sebagai anggota jamaah Islam dan pemimpinnya yang sebenar.

Amal yang soleh juga boleh memutus pertarungan di antara dua dorongan yang wujud di dalam diri manusia, iaitu dorongan ke arah kebaikan dan dorongan ke arah kejahatan. Apabila seseorang itu beramal soleh, bermakna dia memberi kemenangan kepada kebaikan dan mengalahkan dorongan kejahatan yang ada di dalam dirinya.

Misalannya; Apabila kita membaca tentang kelebihan orang-orang yang membelanjakan harta bendanya fi sabilillah, tiba-tiba lahir perasaan takut untuk mengeluarkan harta, maka lahirlah pula sifat bakhil dan kasihkan harta, serta perkara itu menjadi penghalang.

Tetapi apabila kita menunaikannya secara amali bukannya sahaja kita berjaya mengatasi penghalang yang tidak baik itu, tetapi membuktikan adanya aqidah kepada apa yang dibaca tentang kelebihan membelanjakan harta fisabilillah begitulah seterusnya dengan amal-amal yang lain.

Sesungguhnya amal itu mempunyai medan yang luas, mencakupi segala bidang kehidupan manusia kerana Islam itu meliputi seluruhnya. Tetapi hendaklah diketahui bahawa amalan yang menyuburkan hubungan dengan Allah itu mempunyai peranan yang besar dalam membina aqidah dan syakhsiah.

Apabila terlaksananya ciri-ciri taqwa dan meningkat pula kepada darjat ihsan yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W, “Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, maka jika engkau tidak melihatnya maka dia melihat engkau.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Sehinggalah beramal dengan setiap kebaikan yang dikasihi oleh Allah dan Rasul-Nya dan meninggalkan setiap keburukan yang dimurkai Allah dan Rasul-Nya, bahkan tidak merasa jemu dan keberatan untuk menyerahkan apa sahaja bagi mencapai keredhaan Allah.

Sesungguhnya memilih jalan bagi menyuburkan hubungan dengan Allah Taala adalah suatu perkara yang tidak boleh dianggap ringan melalui jalannya, memerlukan kekuatan rohani dan keyakinan yang kuat yang boleh dihasilkan dengan amalan, antaranya :

1. Mendirikan solat, bukan sahaja yang wajib ditunaikan, tetapi juga solat-solat sunat. Sebaik-baiknya dengan cara bersuci diri manusia ke arah menguatkan hubungan dengan Allah, dengan cara yang lebih melahirkan keikhlasan terutamanya di waktu tengah malam dan sepertiganya yang akhir, kerana manusia itu seringkali dihinggapi sifat buruk yang tertanam di hati, seperti riak, ujub dan sum’ah. Kadang-kadang boleh membinasakan peribadinya dan mengsia-siakan amalannya. Sifat ini menghinggapi juga amalan yang lain.

2. Berpuasa, bukan sahaja puasa fardu tetapi juga puasa-puasa sunat seperti yang diajar oleh sunnah Rasulullah S.A.W dengan menghasilkan tujuannya yang dikehendaki oleh Allah Taala.

3. Zikrullah (mengingati Allah), yang sepatutnya tidak terputus dari ingatan manusia dalam semua keadaan dengan cara yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W, bukannya cara yang diilhamkan dari unsur-unsur yang bukan Islam. Di sana banyak doa-doa dan zikir-zikir yangma’thurah dari Rasulullah S.A.W, Para Sahabatnya dan salafussoleh. Bukan sekadar menghafal dan menggerakkan lidah tanpa memahami tujuannya.

4. Berbelanja pada jalan Allah, bukan sekadar zakat yang wajib tetapi juga sedekah-sedekah sunat sekadar kemampuan. Perlu difahami bahawa nilaiannya bukanlah jumlah yang disumbangkan tetapi menurut keikhlasan hati kerana Allah.

Seorang miskin yang memberi beberapa sen yang amat dihajatinya kerana Allah lebih besar dan mulia di sisi Allah dari ribuan ringgit yang diberi oleh seorang jutawan yang menganggapnya satu sumbangan yang dirasakan tidak menyentuh sedikit pun perasaan hatinya dengan kadar itu. Sesungguhnya sumbangan harta itu menurut apa yang dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya, antara jalan untuk membersihkan hati.

Perlu diketahui oleh setiap Mukmin khususnya pendokong cita-cita Islam bagi mentarbiyahkan hati yang melahirkan kecintaan kepada Allah Taala yang melahirkan pengorbanan dan jihad serta sifat-sifat yang menjadi ciri mencapai pertolongan Allah. Cinta dan kasihkan Allah tidak dilahirkan melalui iman dalam pengertian ilmu semata-mata.

Kalaulah ilmu semata-mata menjadi alasan maka para orientalislah menjadi orang-orang yang pertama menganut Islam dan mengasihi Allah dengan menegakkan agama-Nya dan melaksanakan perintah serta menjauhi larangannya. Kedudukan mereka menjadi penentang paling berdepan dan sejarah ahli kitab di zaman Rasulullah jugalah menjadi iktibar kepada kita semua.

Kecintaan kepada Allah itu setelah beriman kepadaNya hendaklah dipupuk dengan memikirkan ayat-ayat-Nya yang dibaca dan ayat yang dilihat melalui kejadian alam dan nikmatnya yang tidak terhingga dan mengamati kebesarannya. Kemudian diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir dengan hati dan lidah.

Bagi menyempurnakan semua itu ialah dengan memisahkan diri beberapa ketika dari urusan dunia, kekalutannya dan kemashyghulannya (kesibukannya) secara berterusan untuk menghayati betapa kebesaran Allah sehingga memandang kecil segala yang besar di bumi ini.

Memandang sepi kepada segala godaannya, menganggap ringan segala tekanan dan penyeksaan, segala fitnah dan sendaan dipandang ringan. Itulah persediaan yang diajar oleh Allah kepada Nabi Muhammad yang menjadi qudwah kepada kita pendakwah dan pemimpinnya.

Bermujahadah dalam beramal dan mentazkiahkan diri merupakan perkara yang amat penting dalam menghayati Islam, seperti yang dibicarakan oleh ilmu yang dinamakan tasawuf oleh kebanyakan ulama’.

Sesetengahnya pula menamakannya dengan ihsan dan setengah ulama’ di antaranya Ibnu Taimiyah menamakannya dengan ilmu akhlak. Hendaklah diketahui segala-galanya itu hendaklah dengan berdasarkan al Quran dan Sunnah Rasulullah tanpa diresapi oleh sebarang unsur yang asing dari Islam.

Bagi mengukur pencapaian amal dan tazkiah itu, tidak seperti yang difahamkan oleh orang-orang yang tidak memahami hakikat ajaran Allah dan Rasul-Nya dengan menunggu mimpi-mimpi atau lahirnya karamah atau kelihatan perkara-perkara yang menyalahi adat.

Tetapi dengan ukuran hati yang dikurniakan oleh Allah kepada semua manusia yang menyedari keikhlasan diri masing-masing dengan cara yang ikhlas juga terhadap bai’ah dan ikrar hati dan lidah dalam beriman dan mentasdiqkan Allah dan Rasul seterusnya bersikap istiqamah dengan itu semua.

Mehnah (Ujian)

Firman Allah Taala (bermaksud) : “Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” (Yusuf:33)

Begitulah berlakunya sejarah perjuangan Islam bahkan menjadi sunnahnya dahulu, sekarang dan akan datang. Lantaran Iman itu bukan sahaja kalimah yang yang diucap tetapi juga hakikat yang mempunyai tanggungjawab, amanah yang menjadi bebanan, jihad yang memerlukan kesabaran, maka tidaklah memadai bahawa manusia itu bercakap-cakap bahawa kami telah beriman sekadar itu sahaja tanpa diuji bagi memurnikan keimanan itu, sehingga tidak boleh dipura-purakan oleh orang-orang yang bukan ahlinya. Iman atau aqidah itu juga amanah Allah di atas muka bumi ini.

Kemurnian iman mampu dibawa oleh orang-orang yang benar-benar ahlinya yang memiliki sifat-sifatnya bagi dinyatakan dengan terlaksananya kewajipan khilafah di muka bumi dan memandu manusia ke jalan Allah Taala.

Seseorang itu boleh menepuk dada mengaku ikhlas, kuat, berani, bersedia untuk mati dan sebagainya. Dan adalah menjadi suatu perkara yang baik seseorang yang beriman itu ditarbiyah bukannya dengan cakap-cakap dan kertas-kertas yang dibaca sahaja tetapi mengalaminya pada peringkat kenyataan dan ujian praktikal dan Allah Yang Maha Mengetahui untuk menguji dan mentarbiyahkan hamba-hambaNya dengan ujian untuk mengisi sifat-sifat kesabaran, kesyukuran dan pembetulan-pembetulan jiwa kepada golongan-golongan Islam dan pimpinannya sehinggalah mereka layak bagi menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini.

Itulah jawapan kepada persoalan mengapa golongan Islam ini diuji terlebih dahulu, sedangkan penegak kebatilan kelihatan bersenang-senang dan menang di peringkat awalnya? Mengapa kemenangan Islam itu diperlukan jarak masa yang begitu rupa? Persoalan yang lahir dari hati generasi perjuangan Islam di sepanjang zaman.

Iman atau aqidah yang sebenar mestilah hidup dan berkembang dengan sifat-sifat keteguhan dengan pegangannya dan ketabahan menghadapi cabaran, disertakan pengorbanan apa sahaja pangkat, kedudukannya dan harta benda bahkan tidak ada tawar menawar dan tolak ansur dalam menegakkan apa yang menjadi iman dan aqidah itu. Dan orang yang mengaku beriman dan beraqidah itu memilih jalan yang dikira paling baik bagi menyebar dan menegakkannya walaupun jiwa raga dan harta menjadi bayarannya.

Menjadi suatu hakikat yang ditentukan oleh Allah apabila golongan iman dan aqidah itu memenuhi sifat-sifatnya, maka dikurniakanlah kelebihan dan pertolongannya yang tidak terhingga sehingga membawa kemenangan di dunia dan akhirat.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia

turki

Sumber : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=713280498705017&set=a.206131722753233.56019.185412838158455&type=1

Halaman rasmi Kesatuan Ulamak Islam Sedunia :

Gambar pertama kali tentera Turki menunaikan solat secara berjemaah di zaman PM Tayyip Erdorgan selepas beliau memansuhkan larangan menunaikan solat jemaah kepada tentera yang dikuatkuasakan di zaman Kamal Attaturk.

Sumber : https://www.facebook.com/pages/Akhukum-Abdul-Malik/636631606348499?fref=ts

Wawancara khas oleh stesen televisyen “Al-Jazeera Mubasher Misr” bersama Dr.Yusuf Qaradhawi terbaru bagi mengulas pungutan suara kudeta yang berakhir dengan kegagalan :

-Telah berakhir zaman ketakutan di Mesir. Rakyat tidak lagi takut berdepan dengan kekangan dan kematian. Mereka akan merealisasikan matlamat revolusi.

-Pandangan ulamak yang menghalalkan darah mereka yang menyertai demonstrasi berhadapan dengan penguasa zalim sebaliknya membebaskan mereka yang membunuh rakyat adalah satu kesilapan.

-Saya berundur dari Haiah Kibar Ulamak Al-Azhar dan menyerahkannya kepada rakyat Mesir dan para pemuda Al-Azhar, bukan kepada Syeikh Al-Azhar.

-Adakah Ikhwan Muslimin “pengganas” tatkala mereka bekerjasama baik dengan tentera serta Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata selepas revolusi (menumbangkan Mubarak) demi kepentingan Mesir.

-Yang sebenarnya, pimpinan tentera dan Kementerian Dalam Negeri mengkhianati Mursi dan mereka langsung tidak memberikan kerjasama baik kepada beliau sejak hari pertama Mursi memerintah.

-Zionis Israel dan Amerika tidak akan menerima seseorang yang memerintah Mesir dari aliran Islam, menjaga solat, berpuasa dan memerintah manusia dengan adil.

-AsSisi merancang untuk menguasai Mesir akan tetapi tidak sah dan zalim kerana dia dipilih bukan melalui proses demokrasi.

-Sesiapa yang dibunuh dalam demonstrasi aman maka dia syahid tanpa syak. Yang berdosa ialah mereka yang melepaskan tembakan.

-Berhadapan dengan AsSisi dan kudeta sekarang kewajipan setiap rakyat untuk mereka keluar berkata kepada si zalim ini “Tidak!”. Sesiapa yang membunuh mereka yang menyertai demonstrasi aman maka dia adalah zalim.

Sumber: Halaman rasmi Kesatuan Ulamak Islam Sedunia

Warga maahad turut berduka apabila mendapat khabar akan pemergian ahli keluarga kepada siswi semester 2, Siti Aliani awal pagi tadi. Kakaknya, Siti Maisarah Mohd Jeofrey pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau yang juga bekas penuntut SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Lewat petang semalam, saya berziarah ke wad almarhumah dirawat, sempat meruqyah beliau. Walaupun tidak dapat lagi bercakap, almarhumah memberi respon dengan anggukan kepala kepada beberapa pertanyaan saya.

Janazah beliau diurus di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan disemadikan di Kundasang Ranau. Semoga Allah SWT memberi keampunan kepada almarhumah dan memberi kesabaran kepada keluarganya.

Sementara itu di maahad petang tadi turut menghadiahkan bacaan al-Quran 30 juzu’ buat almarhumah. Kami turut bersimpati dan merasa kebersamaan dengan musibah yang melanda warga kami.

Maisarah (1)Maisarah (2)Maisarah (3)Maisarah (4)Maisarah (5)



Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/24953-politik-bangkangan-dalam-islam

Oleh : YB Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Politik merupakan satu perkataan yang merujuk kepada polisi pentadbiran dan pengurusan. Dalam konteks sebuah negara ia merupakan teknik dan kaedah pentadbiran dan pengurusan urusan kenegaraan. Politik pentadbiran negara merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari Islam kerana seorang Muslim terikat dengan hukum hakam dan peraturan Ilahi dalam mengurus dan mentadbir sesuatu apatah lagi sebuah negara yang akan melibatkan pengurusan kehidupan manusia di dalam pelbagai aspek kehidupan seperti sosial dan ekonomi.

Konsep ini sesuai dengan keadaan manusia sebagai “khalifah” di muka bumi Allah. Persoalan “khilafah” ini merupakan matlamat penciptaan manusia di bumi yang telah ditegaskan oleh Allah kepada para Malaikat sebelum manusia pertama dicipta. Firman Allah bermaksud :

“Dan ingatlah peristiwa tatkala mana Tuhan kamu berfirman kepada para Malaikat : Aku pasti meletakkan di muka bumi ini “khalifah”. Para Malaikat lantas bertanya (hikmahnya) : Adakah kamu akan jadikan di muka bumi ini orang yang akan melakukan kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah? Sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji kamu dan mensucikan kamu? Allah berfirman: Aku tahu sesuatu yang kamu tidak tahu”. Al Baqarah : 30.

Imam Tobari menghuraikan maksud “khalifah” berasaskan riwayat yang disebut oleh Ibnu Mas`ud dan Ibnu `Abbas dengan makna “wakil’ dariKu untuk mewakiliKu dalam memerintah antara makhlukKu. ( Tafsir Tobari juz 1, ms 237 ). Persoalan yang timbul adakah manusia bebas untuk memerintah bumi menurut perkiraan nafsu dan akalnya yang cetek?

Jawapannya : Tidak! Malah manusia terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah kerana dia sendiri adalah “wakil” kepada Allah. Bolehkah seorang wakil menyalahi peraturan orang yang diwakilinya? Justeru konsep politik islam menuntut keterikatan manusia dengan hukum hakam Allah dalam mengurus dan mentadbir muka bumi ini.

Ayat di atas menjadi dalil utama para ulama untuk menegaskan kewajipan melantik seorang pemerintah yang akan ditaati untuk menjadi tempat kesepaduan suara dan melaksanakan hukum hakam pemerintahan (Tafsir Qurtubi juz 1, ms 251).

Hukum kewajipan melantik pemerintah atau kerajaan ini tidak menjadi khilaf di kalangan ulama. Pemerintah ini diperlukan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian di kalangan makhluk dan melaksanakan peraturan Allah ke atas makhluknya. Kerana itulah Allah menegaskan kewajipan taat kepada para pemerintah di dalam firmanNYa bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman!Dan taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan Uli al-Amr (yang mempunyai hak membuat arahan) di kalangan kamu. Seterusnya jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembali merujuk kepada Allah dan Rasulnya sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Itulah yang terbaik dan seelok-elok tafisran”. Al-Nisa’: 59.

Imam Qurtubi menjelaskan ayat ini merupakan arahan kepada rakyat kebanyakan agar taat kepada Allah iaitu dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, kemudian di tahap yang kedua taat pula kepada Rasul dalam segala arahan dan larangannya, kemudian di tahap yang ketiga taat pula kepada para pemerintah menurut pandangan jumhur ulama” ( Tafsir Qurtubi, juz 5, ms 224-225).

Ada di kalangan para ulama di antaranya Ibnu `Abbas, Hasan bin Ali, Jabir bin Abdullah, Mujahid, al- Dohak, Abu `Aliyah dan Imam Malik yang mentafsirkan makna Uli Amri dengan makna ahli al-Quran dan ahli Ilmu atau para Fuqaha dan ulama agama (Tafsir Tobari, juz 4, ms 150-152 ).

Ketaatan kepada pemerintah tidak mutlaq kerana ia terikat kepada sejauh mana para pemerintah taat kepada Allah. Justeru itu ayat di atas menyebut perkataan taat sebanyak dua kali ketika menyebut arahan ketaatan kepada Allah dan Rasul manakala perkataan “taat” tidak disebut ketika menyebut arahan taat kepada pemerintah. Ibnu Khuwaiz menyebut: “Adapun ketaatan kepada pemerintah adalah wajib dalam perkara yang mentaati Allah dan tidak wajib dalam perkara ma`siat “.

Kata al-Qurtubi : “kerana itulah kami mengeluarkan fatwa bahawa para pemerintah zaman kami tidak boleh ditaati , dibantu dan diagung-agungkan ( kerana mereka melakukan ma`siat), tetapi wajib berjihad bersama mereka..” ( Tafsir Qurtubi juz 5, ms 224).

Kewajipan taat kepada pemerintah ditegaskan oleh baginda di dalam banyak hadis di antaranya: “Sesiapa mentaatiku maka dia mentaati Allah. Sesiapa mentaati pemerintahku maka dia mentaatiku. Sesiapa yang menderhaka kepada ku dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang menderhakai pemerintahku dia telah menderhakaiku”. Malah baginda bersabda : “ Dengar dan taatlah kamu meskipun yang memerintah kamu itu seorang hamba berkulit hitam yang kepalanya bagaikan buah anggur kering”.

Ali bin Abi Tolib menyebut: “Wajib ke atas pemerintah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila itu dilakukan wajib ke atas orang Islam mentaatinya kerana Allah memerintahkan kami mentaatinya dengan menunaikan amanah dan keadilan kemudian mengarah kami mentaati pemerintah”. ( Tafsir Qurtubi , juz 4, ms 224).

Apa yang dapat disimpulkan dari paparan di atas ialah:

1. Pemerintah wajib memerintah berdasarkan arahan dan hukum hakam Allah.

2. Apabila itu dilakukan menjadi kewajipan kepada rakyat mentaatinya.

Inilah konsep politik Islam. Bagaimanakah konsep ini boleh difahami? Seorang pemerintah diberi Bai`ah oleh rakyat untuk memerintah dunia berdasarkan kehendak Allah dan Rasul. Apabila Ba`iah ini tidak ditepati maka rakyat mempunyai hak untuk menurunkan pemerintah tersebut.

Di sinilah datangnya konsep bangkangan dalam politik Islam. Kerana itulah Allah mengarahkan di akhir ayat di atas agar kembali kepada Allah dan Rasul dalam sebarang pertelingkahan.

Pemerintahan dalam Islam tegak di atas lima asas iaitu:

Pertama: Penggubal Undang-undang hanyalah Allah.

Ia diungkapkan sebagai “ kedaulatan adalah milik Syara`” kerana sumber perundangan untuk segala urusan manusia yang mukallaf adalah Allah. ( Abdul Wahab Khallaf, Usul Feqah, ms 96). Ia berasaskan ayat bermaksud “tidak ada perundangan melainkan milik Allah”. Al An`aam:57, Yusuf 40, 67.

Oleh kerana Allah adalah sumber maka pemerintah terikat dengan peraturan Syara`agar manusia aman dari sebarang kezaliman dan sikap bermaharajalela dengan kuasa tanpa ada yang mampu membangkang.

Kedua: Melantik seorang pemerintah adalah wajib.

Melantik lebih dari seorang adalah haram kerana ia membawa kepada perpecahan ummah dan kelemahan negara.

Ketiga: Syura di antara Imam dan rakyat adalah wajib.

Ia bertujuan mengawasi para pemerintah agar tidak tersilap langkah dengan melakukan kemungkaran.

Keempat: Pemerintah sahaja berhak untuk melaksanakan peraturan dan tindak-tanduknya berasaskan kepada kepentingan rakyat.

Kelima: Pengawasan dan penilaian terhadap pemerintah adalah satu kewajipan ke atas rakyat.

Dari paparan di atas dapat difahami konsep bangkangan di dalam Islam. Bangkangan politik merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh rakyat untuk memastikan para pemerintah sentiasa taat kepada Allah dan Rasul. Bangkangan ini berasaskan kepada konsep Amr ma`ruf dan Nahi mungkar iaitu “mengarah melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran”. Para Fuqaha silam yang membicarakan politik Islam mengungkapkannya dengan istilah “ Hisbah”.

Sifat bangkangan atas asas ini merupakan sifat asas bagi umat Islam. Inilah ciri keistimewaan yang ada pada mereka hingga mereka digelar oleh Allah sebagai “ sebaik-baik ummah”. Firman Allah bermaksud :

“Kamu adalah sebaik-baik ummah kerana kamu memerintahkan agar melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran dan kamu pula beriman dengan Allah. Sekiranya ahli kitab beriman nescaya itulah yang terbaik untuk mereka. Sebahagian mereka beriman dan kebanyakan mereka itu fasiq”. Aali Imran: 110.

Bangkangan politik wajib kepada individu dan juga perkumpulan. Di antara dalil yang menunjukkan setiap individu berkewajipan berkecimpung dalam politik bangkangan ialah sabda baginda :

“Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya ia tidak mampu hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman”.Hadis riwayat Muslim, Turmuzi, Ibnu Majah dan Ahmad.

Bangkangan politik juga dilakukan dalam bentuk perkumpulan agar memberi kekuatan suara dan pengaruh yang kuat kepada pemerintah untuk meninggalkan kemungkaran dan melakukan kebaikan. Arahan bangkangan berkumpulan disebut oleh Allah dalam firmanNya :

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan Islam, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran. Dan merekalah orang yang benar-benar berjaya”. Aali Imran : 104.

Allah telah memuji bentuk kerjasama yang ada di kalangan orang beriman dalam melakukan tugas besar ini. FirmanNya:

“Dan orang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka merupakan pembantu kepada yang lain. Mereka menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran”.al-Taubah: 71.

Allah melaknat golongan Yahudi kerana sikap mereka yang tidak menentang kemungkaran. Firman Allah :

“Dilaknat orang yang kafir dari kalangan Bani Israel menerusi lidah Nabi Dawud dan Isa bin Maryam kerana mereka telah derhaka dan mereka telah melampaui batas. Mereka tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan. Amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan”. al-Maidah : 78-79

Oleh kerana bangkangan politik dalam Islam merupakan satu tugas yang besar dan berasaskan kepada konsep amr ma`ruf dan Nahi mungkar, para ulama telah menggariskan beberapa adab yang mesti menjadi hiasan para pembangkang politik antaranya :

1. Mengikhlaskan niat untuk mencari keredhaan Allah dan menyedari bahawa bangkangan ini dilakukan demi menunaikan kewajipan ilahi.

2. Mempunyai ilmu yang boleh membezakan manakah perkara yang dilarang dan diperintah agar tidak berlaku bangkangan dalam perkara ma`ruf dan mendiamkan diri dalam perkara kemungkaran.

3. Bangkangan atas asas nasihat beragama.

Sabda baginda: “ Agama itu nasihat”. Para sahabat bertanya: untuk siapa?”. Jawab baginda: “ Untuk Allah, untuk RasulNya, untuk pemerintah Islam dan Rakyat”.

4. Bangkangan yang dibuat atas dasar kasih dan sayang kepada pemerintah Islam demi kebaikan Islam dan umatnya.

5. Sentiasa berdoa agar Allah memberi taufiq kepada para pemerintah untuk kembali bertaubat kepada Allah.

6. Memulakan dengan ungkapan yang lembut sebagaimana firman Allah kepada Musa dan Harun ketika diarahkan untuk berdakwah kepada Firaun: “ Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia amat melampaui batas. Seterusnya ucapkanlah oleh kamu berdua kata-kata yang lembut mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau merasa takut”. Toha : 43-44.

7. Berhikmah dalam mengatur strategi.

Hikmah ertinya kebijaksanaan melakukan tindakan berasakan suasana dan situasi. Sekiranya situasi menuntut keras perlu bersikap tegas manakala jika situasi menuntut berlembut menggunakan kelembutan. Firman Allah : “Serulah kamu ke jalan Tuhan kamu dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik”.al-Nahl :125

8. Jangan takut kepada ancaman sepertimana sabda baginda “dan janganlah takut kepada celaan orang yang mencela”. Dan sabda baginda “Berkatalah benar meskipun ianya pahit”.

Bagi para pemerintah pula perlu berlapang dada dan beramal dengan konsep bangkangan yang telah digariskan oleh Umar al-Khattab selaku khlaifah Islam yang kedua: “ Tidak ada kebaikan kepada kamu jika kamu engan nyatakan bangkangan kamu. Dan tidak ada kebaikan pada kami jika kami enggan mendengarnya”.

Kesimpulannya, “politik bangkangan dalam Islam merupakan satu kewajipan ummah sekiranya berlaku penyelewengan di kalangan pemerintah dengan meninggalkan peraturan allah dan melakukan kemungkaran.

Bangkangan tidak bererti hanya menyertai parti pembangkang. bahkan ia perlu dilakukan oleh semua pihak samada ahli parti pemerintah, ahli parti pembangkang dan mereka yang tidak berparti menurut konsep demokrasi yang diamalkan pada hari ini, sekiranya berlaku kesilapan dan kesalahan di pihak pemerintah.

Bangkangan pula hanyalah dalam bentuk memberi nasihat dan teguran sama ada lembut atau keras dan tegas atau menggantikannya dengan pemerintah lain dengan kemampuan dan jalan yang ada tanpa mengangkat senjata menentang mereka kerana ia membawa pertumpahan darah dan perpecahan yang diharamkan.

Dalam perkara kebaikan dan ketaatan pula wajib kepada rakyat mentaati para pemerintah untuk menjaga perpaduan ummah.”

Justeru bangkangan tidak hanya terhad kepada politik kepartian malah ia perlu mendapat perhatian setiap lapisan masyarakat dan setiap individu.

Artikel ini ditambahbaik daripada artikel asal yang disiarkan pada 15 Februari 2008 dalam blog Syeikh Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

%d bloggers like this: