Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/25258-kekuatan-rohani-benteng-perjuangan

Oleh : YB Ustaz Idris Ahmad

Jangan lupa diri kita sebagai pendakwah dan ahli gerakan Islam wajib melihat ke dalam diri kita dengan melakukan muhasabah yang sepatutnya supaya ada ketahanan diri di dalam berdakwah. Mungkin kita mampu menghadapi musuh di luar, tetapi gagal berhadapan dengan musuh di dalam diri sendiri, iaitu lonjakan nafsu yang berkiblatkan syaitan sehingga merosakkan amal Islami kita.

Peringatan  Allah di dalam al-Quran Surah Al Baqarah ayat 44 yang bermaksud “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Kita tidak mahu tergolong dari kalangan mereka yang disebut di dalam ayat di atas. Memang menjadi lumrah kehidupan manusia selalu lupa diri sendiri. Kita hanya nampak kelemahan orang lain sedangkan lupa terhadap diri sendiri. Kita tidak mahu kuman seberang laut nampak, sedangakan gajah di hadapan mata kita tidak nampak.

Ibrahim Adham seorang ulamak Sufi di kota Basrah, pernah ditanya kenapa doa kita tidak diterima. Jawabnya ” Kamu hanya nampak aib orang tetapi kamu tidak nampak aib sendiri”.

Kita tidak mahu amal kita sia-sia sahaja di akhirat kelak, walaupun atas dunia kita bersungguh-sungguh berusaha, walhal hasilnya di sisi Allah kosong. Biarlah kita bergerak di atas paksi yang betul semoga Allah menerima amal kita dan dinilai sebagai amal soleh di akhirat kelak.

Firman Allah SWT  bermaksud “Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan” Surah al-Kahfi:104

Jika rohani kosong maka manusia akan bercakap dengan lidah tetapi tidak bercakap dengan ketulusan hati. Lidahnya petah berbicara kerana latihan pidato yang diterima, tetapi dari segi hakikatnya kosong sahaja.

Bicara beliau bukan dengan ruh, tetapi penuh dengan lakunan dan sandiwara yang sarat dengan matlamat dunia, bukan mahu mencari keredhaan Allah SWT. Allah memberi amaran kepada golongan ini, yang bermaksud

“Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” ( Surah al -Saf: 2-3).

Kita mesti mentarbiah diri kita untuk beramal dengan apa yang kita cakap, walau pun ianya sukar dicapai di dalam masa yang singkat. Ia tidak dapat dibentuk di dalam satu malam, tetapi ia adalah proses berterusan yang berpanjangan.

Sebab itu di dalam nizam tarbiah PAS, unsur ini menjadi salah satu daripada perkara yang diberi penekanan di dalam tarbiah PAS. Ini bukan bermakna setiap ahli PAS terpaksa menunggu sehingga ia menjadi insan kamil yang mutlak baru ia hendak berjuang.

Sebaliknya perkara ini berjalan seiring. Ketika kita melaksanakan dakwah kepada jalan Allah, kita juga mesti mempertingkatkan hubungan dengan Allah dengan melaksanakan program tarbiah tazkiah al-nafs. Jika kita mahu tunggu sehingga kita menjadi manusia yang sempurna, maka sudah tentu tidak ada dakwah di atas muka bumi ini. Ertinya kita berjuanglah sehingga diri kita menjadi manusia yang sempurna, bukan mahu menunggu kita menjadi sempurna baru kita mahu melaksanakan dakwah.

Peringatan Nabi SAW sepatutnya memberi kegerunan kepada kita yang mengajak orang lain, tetapi kita sendiri mengabaikannya (waliyazubillah) Bermaksud;

“Didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat, dia dicampakkan ke dalam neraka, tiba-tiba perutnya keluar berjela-jela, maka dia berpusing-pusing di dalamnya seperti keldai yang berpusing-pusing pada penunggalnya, penghuni neraka berkumpul kepadanya lalu bertanya; tidakkah awak dahulu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran?. Dia menjawab :”Ya ! Saya yang menyuruh orang kepada kebaikan tetapi saya tidak mengerjakannya dan saya juga melarang daripada kemungkaran tetapi saya melakukannya”

Kita mesti mentarbiah diri kita supaya sampai kepada tahap Ihsan hasil daripada amalan taqwa kita kepada Allah SWT. Ertinya kita sentiasa berjaga-jaga di dalam tindakan kita, walau pun ketika bersendirian. Kerana Allah sentiasa memerhatikan kelakuan dan tingkah laku kita. Inilah menjadi hikmah kenapa Allah SWT menyuruh hambanya melakukan ibadah sunat terutama qiamullail. Bangun ketika manusia lain sedang nyenyak tidur. Waktu malam yang sunyi daripada kesibukan dunia. Semua ini hendak melatih diri menjadi manusia yang mencapai darjat ihsan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud;

“Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, maka jika tidak melihatNya maka dia melihat engkau”.

Sesungguhnya mencari jalan untuk menyuburkan hubungan dengan Allah SWT tidak boleh dianggap ringan. Kerana ia merupakan  satu kekuatan dalaman bagi melahirkan peribadi yang unggul sebagai memenuhi syarat anggota gerakan Islam.

Mereka yang kosong hubungan dengan Allah, perjuangannya sia-sia sahaja. Kekuatan luar biasa akan diperolehi oleh seorang anggota harakah Islamiah apabila ia mantap dengan bekalan ini. Musuh kaku dan tidak bermaya untuk menghadapi beliau, kerana aura yang terdapat kepada dirinya. Kalamnya menyusuk hati, wajahnya berseri penuh dengan ketenangan.