Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Ustaz Mohd Ridhuan Othman

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Sesungguhnya umat Islam hingga ke hari ini masih ada yang tidak dapat melepaskan amalan-amalan khurafat yang jelas berlawanan dengan Sunnah dan Syariat Islam seperti meminta ramal, meminta tilik kepada bomoh, dukun, menenung nasib, membuat tangkal azimat dan sebagainya.

Perkara ini telah diingatkan oleh Rasulullah SAW sejak 1,400 tahun yang lalu, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang datang ke tempat tukang ramal atau tukang tilik, kemudian bertanya tentang sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan (tukang ramal itu), maka solatnya tidak akan diterima, selama 40 hari “. (HR Imam Muslim)

Jangan datang kepada bomoh tukang tenung nasib. Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesiapa datang ke tempat tukang tenung nasib, kemudian mempercayai apa yang dikatakan, maka sungguh dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad SAW”. (HR Al-Bazzar)

Jangan membuat tangkal azimat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengantungkan (tangkal azimat), maka sungguh dia telah syirik menyekutukan Allah”. (HR Imam Ahmad dan Al-Hakim).

Berdasarkan ayat Al Quran dan Hadith ini, umat Islam hendaklah meninggalkan segala macam amalan khurafat dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan Syariat Islam. Pendek kata, umat Islam mesti memilih Sunnah dan mesti tinggalkan segala amalan khurafat tersebut.