Archive for 17 Januari 2014


Masjid Hilal

Lokasi : Masjid al-Hilal Tanjung Dumpil Putatan

Khatib : Ustaz Zahar Rashid

Maksud firman Allah SWT : “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang fasik.” (S. At-Taubah: 24).

Melalui firman-Nya ini, Allah SWT memberi amaran kepada manusia supaya tidak mengasihi keluarga dan harta bendanya melebihi kecintaannya terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Sesiapa yang meletakkan cinta dan kasihnya terhadap keluarga dan harta bendanya melebihi kecintaannya terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya diancam dengan balasan azab yang menyeksakan selain tidak beroleh petunjuk dari Allah SWT.

Jadi, ayat ini dengan jelas merupakan satu peringatan, motivasi dan hujah yang kuat akan kewajipan mencintai Rasulullah SAW selain memuliakan dan mengagungkan kerasulan Baginda SAW sebagai Nabi pembawa rahmat.

Dalam sebuah hadisnya, Nabi SAW menegaskan bahawa: “Tidak dianggap sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada anaknya, bapanya dan sekalian manusia.” (HR Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Mafhum Sabda Baginda SAW ini menjelaskan bahawa kesempurnaan iman seseorang muslim turut diukur berdasarkan tahap kecintaan dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW. Hakikat ini dapat kita singkap melalui dialog antara Nabi SAW dan Saidina Umar al-Khattab RA.

Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika, Saidina Umar berkata: “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada mana-mana manusia yang ada di dunia ini melainkan jiwaku yang berada di dalam jasadku”.  Mendengar pengakuan Saidina Umar RA tersebut, Rasulullah SAW seraya bersabda: “Tiada sesiapapun yang benar-benar menjadi Mukmin sejati sehinggalah aku lebih dicintainya walaupun daripada dirinya sendiri”.

Menyedari akan kepincangan imannya, Saidina Umar RA segera berkata: “Demi Tuhan yang menurunkan Kitab kepadamu, sekarang ini engkau lebih aku cintai daripada diriku yang berada di dalam jasadku”. Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sekarang (barulah kamu mempunyai iman yang sempurna) wahai Umar!” (HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Tarikh : 16 Januari 2014

KTHM, M48 (1)KTHM, M48 (2)KTHM, M48 (3)KTHM, M48 (4)


%d bloggers like this: