Archive for 8 Januari 2014


MENGAPA PAS MENENTANG GST?

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/24784-mengapa-pas-menentang-gst

8 Januari 2014 / TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Firman Allah :

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.

Maksudnya : Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja dilaut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba”

 Firman Allah:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.

Maksudnya : Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” (94)

Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh (95)

Bawalah kepadaKu ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya” (96)

Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan diantara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan miskin, lalu nabi Khadir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus,  sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.

Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep mengumpul sumber kewangan negara yang dilaksanakan dalam sistem ekonomi di peringkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa  dan inter negara-negara, Islam menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan.

Dalam hal ini, Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan. Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing dikalangan orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa.

Batas halal dan haram dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan, adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuan untuk menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat madani.

 Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan  konsep yang adil  seperti zakat  juga.

Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam rukun agama dan ibadat yang tidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam  kerana hak yang berbeza dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat dan bernegara. Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.

Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan nisob. Dimana nisob ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan pengurusan, dengan dikecualikan daripada perkiraannya. Mereka yang berpendapatan tidak mencapai nisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakir dan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.

Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.

Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan jizyahkharaj dan usyur, daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan daripada pihak lain seperti paderi dan sami atau yang berkhidmat kepada negara dan masyarakat.

Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidak seperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut Islam kerana ianya dimasukan dalam perkara ibadat sepanjang masa. Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan dengan zakat.

Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi menunaikan tanggungjawab terhadap pembayar. Contohnya Abu ‘Ubaidah (Pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.

Cukai juga dikurang bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan Usyur (cukai perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat ditahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.

Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh yang paling ideal kerana memerintah di zaman paling majmuk, wilayah yang luas dan mencabar. Diantara arahan mereka ialah melarang sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya.

Mereka menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menujukkan tidak berkemampuan mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.

Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak kerajaan sentiasa menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan GST, cukai  terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah salah tafsir tehadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.

Adil mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya raya yang tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya mengambil tanggungjawab cukai tambahan.

Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukan islah (reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.

Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara aulawiyyat (keutamaan) bagi rakyat  menyebabkan keborosan dan pembaziran. Masih berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan menggagalkannya.

Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan lain-lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.

Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah, dengan menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskan tetapi dijadikan kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.

Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya. Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas. Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelitir manusia, digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat.

Memayungi rakyat yang lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak, saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan dan keuntungan pihak tertentu.

Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira nisob nya, adapun GST tanpa nisob mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin, sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa.

Kalau zakat mengikut haul (tahun) dan musim, maka GST setiap hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak dirampas.

Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil, Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai kerana kewangannya surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.

PRESIDEN PAS

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/tanya/24726-bolehkah-orang-islam-masuk-ke-gereja

JAN 06, 2014 / ABU HUSAYN

Soalan Bolehkah orang Islam memasuki rumah ibadat agama lain. Adakah menjejaskan akidah jika masuk dengan tujuan berdialog. Hal ini kerana saya melihat ada kalangan pimpinan PAS berbuat demikian. Minta penjelasan Ustaz. Terima kasih.

Jawapan: Sebahagian ulama melarang secara mutlak memasuki gereja. Mereka berdalil dengan firman Allah, yang ertinya,

“Janganlah kamu solat dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya.” (QS. At Taubah: 108)

Sekembalinya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dari perang Tabuk, orang-orang munafik semakin hilang harapan untuk mengalahkan kaum muslimin. Akhirnya mereka mendirikan sebuah masjid dalam rangka memecah belah kaum muslimin. Masjid ini dikenali sebagai masjid dhirar.

Ayat ini turun sebagai larangan Allah kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat radhiallahu ‘anhum untuk melaksanakan solat di masjid tersebut dan diperintahkan agar masjid tersebut dihancurkan. Jika Nabi dan sahabat dilarang untuk masuk dan solat di masjid dhirar, yang dibina untuk tujuan merosakkan kaum muslimin, padahal itu adalah masjid maka lebih terlarang lagi jika itu adalah gereja. Gereja itu murni dibangun semata-mata untuk syirik kepada Allah.

Ulama yang berpendapat sebegini memberikan pengecualian untuk masuk gereja jika dipenuhi beberapa syarat :

– Adanya maslahat bagi agama Islam, misalnya dalam rangka berdakwah atau berdebat dengan orang Nasrani agar mereka masuk Islam.

– Tidak menimbulkan perbuatan haram, misalnya terlibat dalam kesyirikan mereka.

– Berani menampakkan jati diri keislamannya di hadapan orang kafir.

– Tidak menyebabkan orang awam mengira bahawa dirinya setuju dengan agama orang Nasrani.

(Fatwa Lajnah Daimah, 2:339 dan Fatwa Syaikh Dr Nashir bin Sulaiman di Majalah Ad Da’wah edisi 1930, Dzulhijjah 1424 H).

Namun berdasarkan keterangan banyak ulama berbagai mazhab, akan lebih tepat jika diberikan perincian sebagai berikut:

Pertama, masuk gereja ketika orang Nasrani sedang melakukan ibadat, para ulama secara mutlak melarang perbuatan ini dengan beberapa alasan:

– Ini bererti kita ikut bergabung dalam kebatilan yang mereka lakukan.

– Tindakan ini menyerupai ciri khas orang kafir, padahal Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum (dalam ciri khas mereka) maka dia termasuk sebahagian kaum tersebut.” (HR. Abu Daud 4031 dan disahihkan oleh Syaikh Al Albani).

– Murka Allah turun waktu mereka beribadat dan di tempat ibadat mereka. Umar radhiallahu ‘anhu mengatakan, “Hati-hatilah kalian dari bahasa orang kafir dan janganlah kalian masuk bersama orang muyrik pada saat peribadatan mereka di gereja mereka, kerana pada saat itu dan di tempat itulah murka Allah sedang turun.” (HR. Abdur Razaq dalam Al Mushannaf no. 1608, Al Baihaqi dalam As Sunan Al Kubro, 9:234 dan dinilai kuat oleh Al Bukhari dalam At Tarikh).

Kedua, Masuk gereja di luar waktu mereka beribadat, namun di dalam gereja tersebut terdapat gambar atau palang salib yang dipasang.

Hukum keadaan ini sebagaimana memasuki rumah yang ada gambar. Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini. Umairah dalam Hasyiyahnya mengatakan, “Kita tidak boleh masuk gereja kecuali dengan izin mereka. Jika di dalamnya terdapat gambar maka diharamkan secara mutlak.”

Ibnu Qudamah mengatakan, “Adapun masuk rumah yang di dalamnya terdapat gambar bukanlah satu hal yang haram… ini adalah pendapat Imam Malik, beliau melarangnya sekadar makruh dan beliau tidak menganggap hal itu satu hal yang haram. Majoriti Syafi’iyah mengatakan: Jika gambar di dinding maka tidak boleh memasukinya.

Dalam satu riwayat, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika masuk Ka’bah beliau melihat ada gambar Ibrahim dan Ismail yang sedang mengundi nasib dengan anak panah. Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berkomentar, “Semoga Allah membinasakan mereka (orang musyrikin), sungguh mereka telah mengetahui bahawa keduanya (Ibrahim dan Ismail) sama sekali tidak pernah mengundi nasib dengan anak panah.” (HR. Abu Daud).

Dan di antara persyaratan Umar (untuk kafir dzimmi), mereka (diperintahkan) agar memperluas gereja dengan menyediakan bilik tamu supaya kaum muslimin boleh masuk untuk menginap di dalamnya.

Ibnu ‘Aidz dalam Futuh As Syam meriwayatkan bahawa orang Nasrani membuat makanan untuk Umar ketika beliau sampai di Syam, kemudian mereka mengundang Umar. Beliau bertanya, “Di mana?” Mereka menjawab, “Di gereja.” Maka Umar tidak mahu menghadirinya dan Umar berkata kepada Ali, “Berangkatlah bersama para sahabat agar mereka boleh makan.” Maka berangkatlah Ali bersama para sahabat dan masuk ke dalam gereja serta makan. Kemudian Ali melihat ke gambar, sambil mengatakan, “Tidak ada masalah bagi Amirul Mukminin (Umar) apabila dia masuk dan makan.” Sikap para sahabat ini menunjukkan kesepakatan mereka tentang bolehnya masuk gereja meskipun di dalamnya terdapat gambar, disamping masuk gereja dan tempat peribadatan mereka tidaklah haram.” (Al Mughni Ibnu Qudamah, 4:16).

Ibnu Muflih mengatakan, “Boleh masuk dan solat di tempat peribadatan dan gereja atau yang semacamnya. Dan makruh jika di dalamnya ada gambarnya. Ada yang mengatakan haram mutlak. Penulis Al Mustau’ib mengatakan, sah melaksanakan solat fardhu di gereja atau tempat peribadatan orang kafir meskipun makruh.

Dalam Syarh Ibnu ‘Aqil disebutkan, “Tidak mengapa solat di gereja yang suci (dari najis), ini adalah riwayat dari Ibnu Umar dan Abu Musa Al Asy’ari radhiallahu ‘anhum…” Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma dan Imam Malik membenci masuk gereja kerana alasan ada gambar… (Al Adab As Syar’iyah, 4:122).

Ringkasnya, hukum masuk gereja yang ada gambar atau palang salib yang tergantung dalam posisi diagungkan adalah makruh, kecuali jika orang muslim tersebut mampu untuk mengubahnya. Wallaahu a’lam.

Ketiga, di luar waktu peribadatan mereka dan di dalamnya tidak terdapat gambar mahupun palang salib

Al-Hanifiyah berpendapat makruhnya seorang muslim masuk ke gereja. Alasannya, kerana gereja adalah tempat berkumpulnya syaitan. Sebahagian ulama Mazhab Malikiyah, Syafi’iyah, dan Hanabilah membolehkan masuk gereja. (Al Mausu’ah Al Fiqhiyah Al Kuwaithiyah 2:14143).

Pendapat kedua inilah yang lebih tepat, kerana sebagaimana ditegaskan oleh sebahagian Ulama  dianjurkan bagi penguasa muslim untuk mengadakan perjanjian dengan orang kafir dzimmi agar mereka menyediakan tempat untuk tamu muslim di gereja. Dan inilah yang dilakukan khalifah Umar terhadap penduduk Syam.

Di antara isi perjanjian damai ahli kitab dengan kaum muslimin: “Kami tidak melarang kaum muslimin untuk singgah di gereja kami baik di malam hari maupun siang hari. Kami akan memperlebar pintu-pintu gereja kami untuk para pelancong dan orang yang kehabisan bekal di perjalanan.” (Al Mausu’ah Al Fiqhiyah Al Kuwaithiyah 2).

Keempat, dalam rangka untuk dakwah dan berdebat untuk menyedarkan kesesatan mereka. Untuk keadaan yang terakhir ini para ulama menegaskan kebolehannya. Bahkan mereka yang melarang secara mutlak pun membolehkan masuk gereja dalam rangka berdakwah kepada mereka.

WalLahu a’lam

%d bloggers like this: