Archive for 1 Januari 2014


AMBO SANGAT TENANG

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/24226-ambo-sangat-tenang

DEC 13, 2013/SYAHIR SULAIMAN

Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhai-Nya. Maka masuklah dalam kalangan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Al- Fajr: 27-30)

Cuaca pada hari itu cerah, walaupun Kelantan masih dalam musim tengkujuh. Pada petang Khamis 12.12.13, saya berkesempatan bersama-sama Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS; Ustaz Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda; dan Ir Khairil Nizam Khiruddin, Naib Ketua Pemuda; menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka sebelum menziarahi pemilik rumah kampung yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut.

Kala azan Asar dilaungkan, terlihat kelibat pemilik rumah tersebut yang berjalan berseorangan dengan langkah perlahan menjejaki masjid untuk menunaikan solat bersama. Usai solat yang dipimpin Ustaz Fadhli Shaari, jemaah mengambil kesempatan bersalaman dengan sosok tua itu, yang walaupun dalam uzur, tetap kemas menghulur salam dan menguntum senyuman.

Selesai solat, kami dijemput anakanda beliau, YB Ustaz Nik Abduh, Ahli Parlimen Pasir Mas yang setia menggalas legasi kepimpinan ayahandanya. Pertemuan berlangsung di ruang tamu rumah kayu yang serba sederhana. Beliau duduk di tengah dan kami melingkunginya, umpama cucu-cucu duduk berteleku di hadapan datuk untuk mendengar sayembara pengalaman dan bibit nasihat. Bermula dengan bertanya khabar, maka berlangsunglah dialog antara sang murabbi tua dengan pemuda yang dahaga.

Di awal bicara beliau menyebut, “Ana tenang sekarang walaupun uzur”.

Satu lafaz yang sangat dalam maknanya, terbit dari sanubari yang damai di hujung usia, sambil berkongsi tertib medikasi yang perlu dilalui badan beliau. Menyentuh isu semasa yang berlegar di sosok tubuh orang nombor dua dalam PAS, beliau menyebut,

“Nasionalis Melayu bersifat pura-pura, lebih daripada syiah. Mulut sebut nak Islam tapi kerja lawan Islam. ISA digunakan apabila tak dapat berhujah. Pertembungan kebenaran dengan kezaliman ini berlaku sejak zaman Nabi, sejak zaman Nabi Ibrahim lawan Namrud, dan Nabi kita Muhammad SAW lawan Abu Jahal. Apabila tak boleh berhujah, digunakan kekerasan”.

Pesanan khusus untuk pemuda, “Kena kuat taqwa pada Allah, pada waktu terang atau sulit. Bagaimana? Kena ikut Nabi. Allah hantar Nabi sebagai tok wakil dia di bumi untuk sampaikan perintah pada kita”. Beliau sebut, Kelantan dah laksana taqwa sejak dulu.

“Antara perkara pertama yang ambo buat masa jadi MB, ambo panggil pegawai kewangan negeri, minta pindah akaun kerajaan ke bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat sebab ini perkara nas, tak perlu mesyuarat, kena buat”. Pesan tok guru, “Pemuda dengan kekuatan tenaga, kena perkuatkan Taqwa, sama ada dengan menulis, ceramah, program, pandai-pandailah”.

Ketika ditanya bagaimana mahu istiqamah, beliau sebut, “Istiqamah ni 24 jam, tak boleh sekejap-sekejap. Pada peribadi kita, kena jaga solat, solat awal waktu, berjemaah. Biar orang tahu kita orang PAS, lebih baik dari orang UMNO. Kedua hal peribadi, kena banyak senyum. Antum nanti jadi orang besar, jadi tok wakil, kena senyum sokmo walaupun letih”.

“Apa keutamaan pemuda?”, celah seorang dari kami. Tok guru jawab, “Tenaga ilmu, buat perancangan. Dalam banyak perkara yang ambo rancang masa jadi MB dulu, satu sahaja yang tak sempat buat. Ambo nak anjur kempen menghayati peristiwa ‘Wa Iz’ yang disebut dalam Quran. Ini semua peringatan peristiwa ‘Apabila’ yang Allah sebut untuk ingatkan kita. Contoh peristiwa ketika Allah berkata pada Malaikat mahu mencipta khalifah di muka bumi. Mungkin Ustaz Fadhli boleh buat lepas ni. Nak buat macam mana, antum fikirlah”.

Dengan rakan non-Muslim, beliau sebut, “Cina India sekarang makin rapat dengan Islam. Ini peluang dakwah. Umno berkawan dengan Cina lama, tapi Cina tak kenal Islam. PAS berkawan dengan DAP, kita rapat, dan kita boleh cerita Islam pada mereka. Ambo cadang Pemuda buat forum, tajuk ‘Jika Islam tak betul, kami (Melayu) tinggal Islam, tapi jika Islam betul, kenapa you (DAP, UMNO) nak tolak Islam’. Kena jemput berdepan, terangkan tentang Islam. Satu kejayaan apabila mereka sokong Islam walaupun belum memeluk Islam”.

Ditanya apakah aktiviti harian selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar, beliau menjawab, “Ambo banyak kena rehat. Ambo suka baca buku. Nampak buku baru, semangat nak baca. Belum sempat habis, nampak buku baru pulak. Lepas tu, suka menulis. Apabila mari cetusan, kena cepat menulis. Kadang-kadang masa nak tidur, mari idea, kena tulis. Kita kena bawa sokmo, kertas dan kalam”.

Tok guru turut berkongsi, dalam munajat dan doanya, antara doa yang paling kerap dibaca, “Doa ambo pada mak ayah ambo. Kedua, doa pada orang yang beri ambo makan minum”.  Tok guru turut berpesan, “Banyak-banyak ingat Allah, masa senang dan susah. Kadangkala Allah sengaja uji kita supaya kita sebut ‘Allah’. Senang susah ni makjun hidup. Orang kaya pun ada senang susah. Pak Mat kampung pun ada senang susah. Lazimi zikir, sebutlah apapun, asal hati ingat Allah… Ambo sangat tenang loni”.

“Ambo setakat ni je la, nak rehat”, sambil mengusap dada, ungkap beliau mengakhiri pertemuan. Kala bersalaman selepas bergambar sambil berkenalan dengan kami yang perlbagai profesion, tok guru sebut, “Zaman ambo dulu, ada seorang sahaja lulusan universiti yang terlibat dengan PAS di sini. Kami panggil dia, ‘Deraman Intelektual’. Sekarang ni ramai dah orang bijak masuk PAS”.

Tenang hati mendengar bicara hikmah pada pemuda dari murabbi kami, YB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ya Allah, engkau berilah kami kekuatan dan ketenangan.

*Syahir Sulaiman adalah EXCO Pemuda PAS Malaysia

 

Atas dasar anjuran agama yang menyuruh kita berziarah terutama orang sakit, saya bergerak sendirian ke Beaufort pada petang semalam, sebelum tahun 2013 melabuhkan tirainya.

Kes pertama di Hospital Daerah Beaufort, mengunjungi seorang ahli keluarga yang pada permulaannya didakwa hanya sakit dugal (gastrik) dan pening-pening kepala. Kebanyakan ahli keluarga mereka ada di sisi, dan saya dimaklumkan pesakit terlalu banyak muntah sebelum saya tiba ke wad berkenaan.

Saya meruqyah seperti biasa dan alhamdulillah tiada tanda-tanda gangguan setakat itu. Seorang ahli keluarga mereka turut mengambil kesempatan meminta air penawar untuk anak mereka yang bermasalah. Agak sayu juga meninggalkan mereka kerana pesakit dan keluarganya adalah mereka yang saya kenal baik. Semoga Allah SWT memberi kesembuhan kepadanya.

Kes kedua saya bergerak ke sebuah kampung yang tidak berapa jauh dari situ, hanya sekitar 10 minit. Di sebuah rumah kelihatan seorang nenek yang khabarnya berumur lebih 90 tahun yang sedang nazak. Maklumat sebelum itu, nenek itu menunjukkan ulah yang pelik menurut ahli keluarga.

Beliau sudah terlantar beberapa ketika. Ketika saya meruqyah, tiada respon apa-apa kecuali tangan kirinya yang berkali-kali terangkat sendiri. Respon suara terlalu perlahan dan saya tidak dapat menjangka apa yang dikatakannya. Hanya saya sebelum pulang menitipkan pesan agar ahli keluarga bergilir-gilir berada di sisinya dan mengajarnya mengucap kalimah tauhid.

Lewat petang tadi, (24 jam selepas ziarah saya), saya menerima khabar bahawa nenek berkenaan telah kembali kerahmatullah. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni dosa allahyarham.

%d bloggers like this: