Sumber : http://www.islam.gov.my/konvensyen-saudara-muslim-peringkat-kebangsaan-tahun-2013

30 Nov-1 Dis 2013 : Unit Saudara Muslim, Bahagian Dakwah JAKIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) , Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Yayasan Taqwa (MAIWP) telah mengadakan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 bertempat di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan Kelantan. Program ini berjaya menghimpunkan peserta seramai 500 orang terdiri dari kalangan Saudara Muslim dari sekitar Jajahan Kota Bharu dan penyertaan dari setiap negeri.

Tujuan konvensyen ini diadakan adalah bertujuan menjadi medan dan mencari formula penyelesaian kepada isu-isu dan masalah-masalah yang membelenggu Saudara Muslim khususnya berkaitan hal ehwal kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial mereka.

Sebagai platform untuk bertukar pandangan, pengalaman dan maklumat antara sesama peserta di kalangan Saudara Muslim. Menjalin kerjasama dan jaringan maklumat di antara pertubuhan-pertubuhan NGO Saudara Muslim dengan agensi-agensi kerajaan. Membina dan mengembangkan potensi diri Saudara Muslim sebagai agen dan kader dakwah. Memberi ruang perkongsian ilmu dalam menghadapi cabaran-cabaran dakwah kepada Saudara Muslim di era globalisasi.

Antara pengisian konvensyen ini adalah ceramah berkaitan dengan cabaran masa kini saudara muslim sebagai pendakwah, pengenalan kepada isu Syiah, dan ceramah kerohanian telah disampaikan oleh penceramah yang dijemput khas dari kalangan Saudara Muslim. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Ybhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM.

Konvensyen Saudara Muslim kali ini telah mengiktiraf 2 orang Saudara Muslim sebagai penerima “Anugerah Tokoh Saudara Muslim” iaitu En Adam Khong bin Abdullah dari negeri Melaka dan Puan Nur Shamila Koid dari negeri Perak. Penerima anugerah menerima wang saguhati bernilai RM3,000.00, sijil penghargaan dan hadiah iringan setiap seorang. Konvensyen kali ini juga memperkenalkan kepada masyarakat umum mengenai portal “E-Muallaf” yang akan digunapakai disetiap negeri sebagai penyelarasan kepada pengurusan Saudara Muslim.

Semoga usaha ini sentiasa dirahmati Allah dan memberikan makfirah kepada Saudara Muslim. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua urusetia yang bertungkus lumus menjayakan program ini.
000 001 003 006 007 008