Archive for 26 Disember 2013


Sumber : http://www.islam.gov.my/konvensyen-saudara-muslim-peringkat-kebangsaan-tahun-2013

30 Nov-1 Dis 2013 : Unit Saudara Muslim, Bahagian Dakwah JAKIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) , Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Yayasan Taqwa (MAIWP) telah mengadakan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 bertempat di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan Kelantan. Program ini berjaya menghimpunkan peserta seramai 500 orang terdiri dari kalangan Saudara Muslim dari sekitar Jajahan Kota Bharu dan penyertaan dari setiap negeri.

Tujuan konvensyen ini diadakan adalah bertujuan menjadi medan dan mencari formula penyelesaian kepada isu-isu dan masalah-masalah yang membelenggu Saudara Muslim khususnya berkaitan hal ehwal kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial mereka.

Sebagai platform untuk bertukar pandangan, pengalaman dan maklumat antara sesama peserta di kalangan Saudara Muslim. Menjalin kerjasama dan jaringan maklumat di antara pertubuhan-pertubuhan NGO Saudara Muslim dengan agensi-agensi kerajaan. Membina dan mengembangkan potensi diri Saudara Muslim sebagai agen dan kader dakwah. Memberi ruang perkongsian ilmu dalam menghadapi cabaran-cabaran dakwah kepada Saudara Muslim di era globalisasi.

Antara pengisian konvensyen ini adalah ceramah berkaitan dengan cabaran masa kini saudara muslim sebagai pendakwah, pengenalan kepada isu Syiah, dan ceramah kerohanian telah disampaikan oleh penceramah yang dijemput khas dari kalangan Saudara Muslim. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Ybhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM.

Konvensyen Saudara Muslim kali ini telah mengiktiraf 2 orang Saudara Muslim sebagai penerima “Anugerah Tokoh Saudara Muslim” iaitu En Adam Khong bin Abdullah dari negeri Melaka dan Puan Nur Shamila Koid dari negeri Perak. Penerima anugerah menerima wang saguhati bernilai RM3,000.00, sijil penghargaan dan hadiah iringan setiap seorang. Konvensyen kali ini juga memperkenalkan kepada masyarakat umum mengenai portal “E-Muallaf” yang akan digunapakai disetiap negeri sebagai penyelarasan kepada pengurusan Saudara Muslim.

Semoga usaha ini sentiasa dirahmati Allah dan memberikan makfirah kepada Saudara Muslim. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua urusetia yang bertungkus lumus menjayakan program ini.
000 001 003 006 007 008

yam

Oleh Dr Azman Ibrahim

Saya tak mengenali Mak Cik Yam, seorang wanita kurang upaya, peniaga sayur kecil-kecilan yang menjadi mangsa samun di FeldaTenang, Besut. Dibelasah dengan kejam oleh penyamun pada 14 Disember lalu, bertarung nyawa di Hospital Kota Bharu, akhirnya lebih kurang jam 3 pagi tadi, Mak Cik Yam telah pergi kembali kepada Penciptanya.

Berita tragedi yang menimpanya saya baca dengan penuh simpati sambil mengirim sedikit sumbangan melalui sahabat PAS Besut yang menziarahinya di hospital. Pagi ini apabila melihat gambar beliau ketika masih sihat sedang menjual sayur di pasar sehari yang dipaparkan  di laman sosial seorang rakan dari Besut, tanpa dipinta air mata saya mengalir laju. Serta merta dada terasa sebak dan terharu.

Gambar seorang ibu yang sedang duduk menjual sayur sangat mendalam ertinya bagi saya kerana ibuku juga seorang peniaga sayur di pasar sehari seperti juga Mak Cik Yam. Wanita tua yang tak berdaya sepertinya diperlakukan sebegitu. Benarlah kata-kata bahawa, di dalam kelompok haiwan tiada manusia, tetapi dalam spesis manusia ada binatang!

Dari segi logik akal seorang penyamun (kalaulah penyamun itu berakal), adalah munasabah beliau diperlakukan sebegini kalau Mak Cik Yam seorang kontraktor besar. Ada ratusan ribu pitih disimpan di dalam peti besi rumahnya. Tetapi seorang peniaga sayu kecil-kecilan, kurang upaya pula, harta apa yang Mak Cik Yam ada? Saya tahulah memang tak kaya sebab saya pun anak penanam dan penjual sayur!

Jadi apa yang penyamun ini cari sebenarnya sehingga tergamak membunuh? Apakah kita sebagai ahli masyarakat memerlukan manusia yang tak bertamaddun dan mempunyai naluri jahat sebegini terus bersama kita dalam masyarakat?

Zalimkah suatu undang-undang itu kalau perbuatan jahat sebegini diancam dengan suatu bentuk hukuman yang sangat keras sebagai pencegahan? Atau penjenayah sebegini perlu dikasihani, diberikan kerja supaya mereka mempunyai sumber pendapatan sebab sebenarnya mereka melakukan jenayah kerana desakan hidup?

Perompak dan penyamun lebih mengancam manusia dari pencuri. Sebab itu dalam Islam, kalau pencuri yang cukup syarat pelaksanaan hukumannya dipotong tangan, seorang perompak dipotong tangan dan kaki secara bersilang. Kalau dia merompak dan membunuh, maka dia juga perlu dijatuhkan hukuman bunuh.

Kalau Mak Cik Yam yang diperlakukan sebegitu adalah mak kita, ada tak kita sebagai anak yang akan berkata, hukuman sebegitu terhadap perompak tersebut adalah tidak berperikemanusian dan tidak bertamaddun? Kalau undang-undang Islam ini dikatakan tidak berperikemanusian, apakah perlakuan perompak kepada Mak Cik Yam itu berperikemanusian?

Dalam Islam, ada perkara yang dikira kemestian, tiada tolak ansur dan ianya wajib dipertahankan. Agama, akal, nyawa, harta, keturunan dan maruah. Islam datang untuk melindungi kepentingan dan keperluan ini. Kalau ada manusia yang hidupnya dalam masyarakat mengancam agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan maruah orang lain maka Islam hadir sebagai penyelamat.

Manusia yang merbahaya sebegini perlu disedarkan dengan hukuman keras. Hukuman keras ini bukan nak hukum orang baik seperti Mak Cik Yam! Semoga Mak Cim Yam damai di sana dan ditempatkan di syurga.

%d bloggers like this: