MBR

Khatib : Imam Zamzuhardi Bin Zakaria

Lokasi : Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

“Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

Syeikh Dr. Yusof al-Qaradawi menyatakan bahawa ayat ini memberikan ancaman yang keras kepada mereka yang tidak membayar zakat atas sebab dua tindakan/perbuatan keji dalam menguruskan harta iaitu perbuatan menyimpannya dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah SWT. Orang yang tidak membayar zakat hakikatnya dia tidak membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT.

Kita sekarang berada pada bulan terakhir tahun 2013 Masehi. Lazimnya, pada penghujung tahun, ramai daripada umat Islam mengambil kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab membayar zakat. Ini terbukti dengan peningkatan jumlah kutipan zakat yang mendadak oleh pusat kutipan zakat Majlis-majlis Agama Islam Negeri seluruh negara pada bulan Disember setiap tahun berbanding pada bulan-bulan yang lain.

Ia menunjukkan bahawa umat Islam semakin sedar akan kewajipan agama yang mewajibkan zakat seperti perniagaan yang diusahakan. Ia juga suatu indikator yang menunjukkan bahawa taraf kehidupan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya bertambah baik lagi diberkati hasil kepatuhan melaksanakan syariat Allah SWT.

Malah kenyataan ini selari dengan makna zakat dari segi bahasa iaitu tumbuh, bersih, suci, berkembang lagi diberkati. Justeru itu, tidak hairanlah jika terdapat perniagaan milik individu Muslim yang kurang berjaya, telah berubah menjadi semakin maju dan berkembang dengan berkat berzakat dan mendapat laba keuntungan lumayan hasil kepatuhan membayar zakat perniagaan mereka. Natijahnya agihan zakat kepada golongan asnaf juga bertambah. Secara tidak langsung menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat.

Urusan zakat diurustadbirkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri, di mana seluruh negara terdapat sebanyak 14 buah Majlis Agama Islam Negeri. Sepanjang pengwujudan penubuhannya, pengurusan zakat telah melalui proses evolusi, pembaharuan dan penambahbaikan dalam banyak perkara seiring dengan perubahan masa, keadaan dan perkembangan teknologi semasa.

Sejak beberapa dekad yang lalu, Majlis Agama Islam Negeri telah berusaha gigih dalam meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Sesetengah Majlis Agama Islam Negeri telah berjaya menubuhkan satu agensi khusus bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kutipan dan agihan zakat. Pelbagai program dan aktiviti dirangka dan dilaksanakan bagi mempromosi kesedaran wajibnya berzakat.