Archive for 8 Disember 2013


Memahami situasi parti-parti Islam di Indonesia

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/24066-malangnya-parti-islam-di-indonesia

DEC 07, 2013 AHMAD MUHAJIR

PARTI  Islam di Indonesia yang jelas berdasarkan Islam adalah Parti Persatuan Pembangunan (PPP), yang dipaksa bergabung oleh Presiden Suharto pada tahun 1973 dan menukar asasnya dari Islam dan Pancasila kepada hanya Pancasila pada 1983.

Parti Nahdhatul Ulama (NU), Parti Muslimin Indonesia (Parmusi), Parti Syarikat Islam Indonesia (PSII) dan Parti Islam PERTI (Persatuan Tarbiyah Islamiyah) turut dikuasai regim Order Baru Suharto sepanjang beliau memerintah Indonesia.

Bagaimana lemahpun PPP, ia dianggap tokoh gerakan Islam Indonesia, Muhammad Natsir (Pak Natsir) sebagai masih menyuarakan aspirasi umat Islam republik itu.

Di zaman Presiden Suharto memang PPP ini bersama Parti Demokrasi Indonesia (PDI) tidak lebih sebagai parti pelengkap penderita, mendampingi Golkar sebagai parti berkuasa dan anak emasnya Suharto serta rejim tenteranya masa itu.

Walaupun masa itu tidak dikenal adanya parti pembangkang atau parti oposisi, nasib PPP dan PDI dibiar tidak boleh mati, namun jangan hidup dalam keadaan senang atau selesa. Dan jangan bersuara keras atau bercakap seenaknya sahaja.

Setelah reformasi 21 Mei 1998 pada Ogos 1999 wujudlah Parti Keadilan (PK), kemudian tahun 2003 berubah menjadi Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Memang besar harapan rakyat kepada PKS sebagai parti alternatif namun ini belum kesampaian kerana PKS tidak tahan uji.

PKS menang besar pada Pemilihan Umum April 2004 dengan mendapatkan 45 kerusi Parlimen (Dewan Perwakilan Rakyat) dan lebih hebat lagi Presidennya Dr HM Hidayat Nur Wahid dipilih sebagai Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR). Jeneral (B) Dr Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan Drs HM Jusuf Kalla terpilih sebagai Presiden dan Timbalan Presiden bagi penggal 2004-2009.

Namun harapkan panas hingga ke petang, rupanya mendung di tengah hari. PKS ikut bersama mendukung pemerintahan SBY. Ini tidak salah dalam rangka dakwah, namun rakyat bertanya dakwah apa yang sudah dilakukan oleh PKS terhadap pemerintahan SBY dan birokrasi bawahannya. Terlebih lagi setelah itu berbagai tindak-tanduk beberapa pemimpin PKS yang membingungkan dan menjadi tanda Tanya rakyat.

Bermula dengan ucapan Presiden PKS (masa itu) Ir Tifatul Sembiring “apalah ertinya sehelai kain tudung” membela isteri SBY dan bakal isteri calon Timbalan Presiden Prof Dr Boediono, merespon pandangan rakyat yang mempersoalkan pakaian isteri Presiden dan calon Timbalan Presiden yang tidak menutup aurat.

Pada 2010 melalui Musyawarah Nasionalnya di Bali, PKS menjadi parti terbuka. Presiden barunya Luthfi Hassan Ishaq terlibat dalam skandal import daging lembu. Skandal ini turut membabitkan Presiden PKS sekarang, M Annis Matta serta adiknya dan juga anak Ketua Majlis Syuranya Kyai Haji Helmi Aminuddin Ridwan Mansur. Apakah Helmi terkait atau tidak dalam kes ini, Komite Pemberantasan Korupsi (KPK) dan Mahkamah Anti Rasuah yang akan menentukan.

Terakhir adalah Parti Bulan Bintang (PBB), parti yang mengaku mewarisi Parti Islam Masyumi. Bermula dengan Ketua Umum pertamanya Prof Dr Yusril Ihza Mahendra, yang disebut sebagai calon presiden tahun 1999 bersama Prof Dr M Amien Rais dari Parti Amanat Nasional (PAN), Dr HM Didin Hafifuddin dicalonkan oleh Parti Keadilan, namun akhirnya yang jadi terpilih adalah Abdurrahman Ad Dakhil Wahid atau Gus Dur, namun pada tahun 2001 diganti oleh Megawati Sukarnoputri, yang sebelumnya adalah Timbalan Presiden kepada Presiden Gus Dur.

Yusril mulanya dilantik sebagai Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia di zaman Gus Dur, namun di masa Presiden SBY dia dilantik sebagai Menteri Setiausaha Negara. Pada tahun 2007, Yusril diganti atau disingkirkan oleh Presiden SBY.

Begitulah politik singkir atau membuang menteri adalah hal biasa. Kini Yusril ialah Ketua Majlis Syura PBB dimana Ketua Umumnya kini ialah Dr HM Syambat Ka’ban, sedangkan Wakil Ketua Umumnya Hamdan Zoelva terpilih sebagai Ketua Mahkamah Perlembagaan, mengganti Dr HM Akil Mokhtar yang didapati rasuah.

Mulanya PBB tidak dibenarkan bertanding pada Pilihan Raya Umum 9 April 2014, namun berdasar keputusan Dewan Kehormatan Komisi Pemilihan  Umum (KPU) PBB dibenarkan meletakkan calon.

Terlepas dari sejarah lalu dan latar belakang masing-masing alangkah eloknya PPP, PKS dan PBB berbincang membicarakan nasib dan kesejahteraan rakyat.  Jika berlapang dada dan bertolak angsur, alangkah indah dan moleknya jika diajak sama parti-parti bernuansa Islam seperti PAN dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Kajian terkini mendapati Parti Golongan Karya (Golkar) dan PDI-P akan berada di kedudukkan teratas pada PRU 2014 nanti, sedangkan Parti Demokrat yang kini berkuasa akan terus menjunam, dengan berbagai kes yang melandanya.

Bagaimana pula kedudukan parti-parti Islam? Ini perlu difikirkan lebih serius, terancang dan bagaimana strateginya, jangan setelah reformasi umat Islam Indonesia dari segi politik tetap dianggap “menumpang di rumah sendiri”.

Pilihan salah satunya adalah parti-parti Islam mesti bekerjasama dan jangan ada pertandingan tiga atau banyak penjuru. Jangan mengutamakan ego dan kelompok masing-masing.

Buku yang baru dibaca :

Cover Hafazan

Penulis : Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Penerbit : Pustaka Cahaya Kasturi

Harga : RM25.00 / RM27.00

Di Malaysia, pusat-pusat menghafaz al-Quran terus berkembang. Sambutan yang menggalakkan di semua peringkat ini bermula dengan benihnya yang subur yang diasaskan seorang tokoh al-Quran tersohor iaitu Dato’ Tuan Guru Haji Mohd Nor Ibrahim mantan Mufti Negeri Kelantan. Beliau adalah guru tahfiz al-Quran yang pertama di maahad tahfiz yang diasaskan pada tahun 1966 di Masjid Negara.

Alhamdulillah, pada hari ini dianggarkan lebih daripada 353 maahad tahfiz wujud di seluruh pelusuk tanah air. Dan bilangan hafiz al-Quran hingga awal tahun ini dianggarkan lebih 10 ribu yang telah menamatkan pengajian mereka. Harapan setiap ibu bapa untuk melihat anak mereka menghafaz al-Quran semakin tinggi. Justeru, satu buku telah dihasilkan oleh saudara saya akhi al-Fakih Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang membicarakan tentang Hafazan al-Quran.

Ustaz Khairul Anuar Mohamad

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

%d bloggers like this: