Abdul Hadi

Khatib : Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Firman Allah SWT bermaksud : “Iblis berkata : Oleh kerana Engkau wahai Tuhan menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan, belakang, kanan dan kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur” (al-A’raf : 16-17)

Sebagai makhluk Allah SWT yang dijadikan dengan serba kelemahan, kita diperintahkan untuk memohon  perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan. Syaitan adalah musuh berkekalan sejak Nabi Adam AS sehingga ke akhirnya. Sebagaimana Allah SWT menyatakan bahawa iblis telah berjanji untuk menyesatkan manusia.

Sekiranya kita merenung kehidupan manusia pada hari ini, pelbagai bentuk gangguan dilakukan oleh syaitan kepada manusia tidak kira apa latar dan kedudukannya. Orang yang enggan melaksanakan perintah agama seperti meninggalkan solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain termasuk orang yang terpengaruh dengan godaan syaitan.

Sehingga syaitan tetap mengganggu orang-orang yang berilmu dengan perasaan sombong, riyak dan sum’ah. Justeru tiada yang terlepas daripada gangguan ini. Sebagai bukti berlakunya gangguan ini ialah seperti apa yang berlaku di dalam dan di luar Ramadhan. Ramainya orang mudah solat berjemaah dan bersedekah ketika Ramadhan, dan kurangnya jemaah dan sedekah pada luar Ramadhan.