Archive for 5 Disember 2013


Ustaz Mu Tunggu Aku Datang

Seperti kebanyakan orang lain, kami sekeluarga peminat klip-klip video kuliah Ustaz Azhar Idrus (UAI), sama ada melalui youtube atau VCD/CD yang terdapat di pasaran memang banyak dalam koleksi saya. Jadi, anak-anak memang  mengetahui UAI selain beberapa tok guru yang ada di negara kita.

Saya hanya pernah melihat secara langsung UAI sekali sahaja, ketika Himpunan Hijau di Stadium Darul Aman Kedah, itu pun dari jauh kerana kami berada di tengah padang bersama puluhan ribu peserta himpunan yang lain pada petang tersebut.

Justeru perasaan melihat UAI secara live ketika itu memang membuatkan saya teruja, maklumlah UAI tidak pernah ke Sabah untuk sebarang program dakwah dan ceramah setakat yang saya tahu, dan saya yakin beliau mempunyai pengikut yang tidak sedikit di bumi Sabah.

Justeru, apabila melihat filem ini di pawagam bersama keluarga, menonton babak-babak Dadu dan Muiz berusaha untuk pergi menghadiri kuliah UAI, saya merasakan seperti saya di situ kerana sebagai orang awam, sangat teruja untuk melihat UAI dari dekat.

Saya yakini untuk mengharapkan 100% Islamik sehebat filem-filem seperti dari Indonesia atau Iran adalah keterlaluan buat masa ini, lagipun Pierre Andre baru sahaja berhijrah dan filem tersebut masih bernaung di bawah Mr David Teo. Percubaan beliau semestinya kita hargai dan di sana banyak elemen-elemen positif yang ditanam untuk para penonton.

Apabila keluar dari pawagam bersama isteri dan 3 anak kami yang turut serta, saya bertanya kepada ketiga-tiga mereka yang masih bersekolah rendah ini akan pengajaran yang mereka dapat. Antara kesimpulan atau jawapan mereka ialah, kita mesti sayang ustaz dan tok guru, rajin belajar, suka tolong orang, rajin pergi masjid, jaga sembahyang, bersabar dan lain-lain.

Saya bertanya siapakah tok guru yang mereka kenal, kerana istilah tok guru memang biasa pada sebutan lidah anak-anak kami. Tiga individu tok guru yang mereka sebut ialah Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Abdul Hadi dan Tok Guru Haron Din. Jawapan anak-anak kami ini menunjukkan bagi saya mereka mendapat kesan positif daripada filem ini walaupun secara santai.

Tarikh : 3 Disember 2013

Lokasi : Pusat Latihan Islam, Kundasang

Satu program yang menarik dan sangat bagus. Hasil usaha Felda di peringkat pusat yang membawa program ini ke Sabah. Walaupun peserta hanya tidak sampai 40 orang, mereka bersemangat tinggi sebagaimana puncak lokasi kami berkursus.

Ada banyak slot ceramah dan latihan, dan saya salah seorang yang mengisi slot ceramah dengan topik asas tajwid. Sementara slot kedua saya ialah talaqqi surah al-Fatihah sambil saya dibantu oleh 3 siswa maahad yang turut serta bersama-sama dalam jaulah ini.

Terdahulu sebelum itu pada sebelah pagi, slot berkenaan solat disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, dan ada slot-slot lain yang menyusul pada sebelah malam dan keesokan harinya. Saya turut gembira dengan perkenalan bersama Ustaz Haji Hasanuddin Yunus, orang kuat program ini yang terkenal sebagai aktivis Malaysia ke Gaza.

Kami berangkat pulang bersama-sama dengan Ustaz Haji Muchlish dan rombongan maahad lewat petang, berehat di Tuaran serta solat jamak di Sepanggar. Kalau berpeluang, saya mahu mengisi lagi slot bersama anak-anak muda Felda Wilayah Sabah ini.

Felda @ PLIK (1) Felda @ PLIK (2) Felda @ PLIK (3) Felda @ PLIK (4) Felda @ PLIK (5) Felda @ PLIK (6) Felda @ PLIK (7) Felda @ PLIK (8) Felda @ PLIK (9) Felda @ PLIK (10) Felda @ PLIK (11) Felda @ PLIK (12) Felda @ PLIK (13) Felda @ PLIK (14) Felda @ PLIK (15) Felda @ PLIK (16)

%d bloggers like this: