Sumber : http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=29992

Oleh Suhaimi Embong

Salam perkenalan kepada semua pembaca.  Muktamar Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-59 baru melabuhkan tirainya pada petang 24hb November, 2013 di Stadium Malawati di Shah Alam.

Muktamar pada kali ini meriah dan kehadiran pengunjung juga ramai termasuk rakan-rakan media juga diluar jangkaan pihak penganjur mungkin kerana pada tahun ini dibuat di sekitar Lembah Kelang dan juga ada pemilihan kepimpinan.

Sebagai orang diamanahkan mengendalikan persiapan prasarana IT, pihak Jabatan IT PAS (JITP) sedaya upaya cuba memberikan yang terbaik kepada pihak perwakilan dan juga media yang bertugas. Pihak kami juga berusaha dengan sebuah syarikat telekomunikasi terkenal untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan ‘Wifi’ di sekitar stadium tersebut secara sementara untuk tempoh muktamar ke-59 tersebut.

Agak mendukacitakan, disaat-saat akhir muktamar ke-59 hendak bermula syarikat telekomunikasi tersebut menarik diri dan pihak kami tidak sempat untuk berunding dengan syarikat telekomunikasi lain pada masa tersebut.

Ada kita orang Melayu, kerbau di pegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Mengikut persetujuan awal secara lisan, syarikat tersebut pada mulanya bersetuju dengan syarat diberikan secara ekslusif kepada pihaknya sahaja tanpa ada syarikat telekomunikasi lain.

Disebabkan signal telekomunikasi yang lemah didalam dan luar stadium, pihak kami telah memasukkan 20MB Unifi daripada Telekom Malaysia dan membuat pendawaian dalaman sementara untuk membekalkan perkhidmatan internet bagi kegunaan Jabatan IT PAS bagi ‘live streaming’ dan lain-lain perkhidmatan IT semasa muktamar serta pihak media yang lebih daripada mencukupi untuk menapung keperluan tersebut.

Apa yang saya nak sebutkan di sini, Selangor negeri maju yang mendendangkan kempen ‘Wifi Selangorku’ tetapi prasarana wifi Selangorku tersebut tidak ada disekitar stadium Malawati,. Diluar jangkaan kami kami tak ada ‘wifi Selangorku’ disitu.

Kami minta pihak kerajaan Selangor melihat kembali kenapa tak boleh diadakan ‘wifi Selangorku’ disekitar stadium, tempat orang muda berkunjung untuk sukan dan sebagainya kerana kerajaan Selangor difahamkan mengidamkan Selangor menjadi negeri pertama mempunyai Wifi percuma ke seluruh pelusuk negerinya tetapi di Shah Alam, ibu negeri pun tak selesai lagi.

Kita tinggalkan dulu kisah persediaan IT semasa muktamar ke-59 baru-baru ini. Kita fokus pula apa yang hendak dibuat oleh Jabatan IT PAS (PAS) bagi penggal yang baru ini. Sebagai Pengarah Jabatan IT PAS, saya telah menggariskan lima (5) misi baru untuk memperkasakan IT pada sesi 2013/2015 akan datang ini;

Pertama; meneruskan perancangan strategik lima (5) Tahun IT dan Media Baru PAS pada tahap ketiga setelah ‘blue print’  dimulakan  sejak tahun 2001 yang digariskan dalam ISP (Perancangan Strategik IT) JITP3.0 2011-2015 yang meliputi Sistem Aplikasi, Infastruktur dan Infostruktur serta Pembangunan Organisasi/Sumber Manusia secara terancang dan bersepadu di semua peringkat meliputi pusat, negeri, kawasan/MTD dan dewan-dewan.

Kedua; Mendokong pendekatan pembudayaan IT ‘ikut trend’ semasa teknologi terkini dalam membangunkan Sistem Aplikasi, Infastruktur dan Infostruktur serta Pembangunan Organisasi/ Sumber Manusia bagi membolehkan PAS terus berada dihadapan dalam bidang ICT dan Media Baru melalui kursus dan latihan dengan mewujudkan Makmal IT (MIT) dan Akademi Latihan IT (ALIT) untuk melatih pimpinan, kakitangan pejabat dan penggerak serta petugas sukarelawan IT (volunteers) secara profesional.

Ketiga; Berusaha menyelesaikan masalah perkhidmatan ICT dan pengurusan maklumat di’hujung jari’ yang diberikan berkualiti dan memenuhi syarat-syarat CIA, iaitu Confidentiality (keselamatan dan kerahsiaan data dan maklumat), Integriti (ketelusan, ketepatan data dan maklumat) dan Availability (ketersediaan data dan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan luas).

Keempat;  Mempertingkatkan program penerangan berkonsepkan, “Meng’IT’kan Penerangan, Mem’Penerangan’kan IT” dengan komunikasi maya atau siber melalui komuniti IT dan ePAS (komITeP) seperti radio dan tv internet PAS serta media baru seperti FB, Twitter, blog, aplikasi touch n get yang dilancarkan pada muktamar tahun lepas dan sebagainya bagi memastikan penyaluran maklumat yang  cepat dan tepat disamping membudayakan keselamatan data dan kerahsiaan maklumat parti dikalangan pemimpin dan penggerak PAS di semua peringkat.

Kelima; Berusaha mempertingkatkan program ‘pemutihan’ keahlian PAS dalam SPOKAS (Sistem Pengurusan Organisasi dan Keahlian PAS) dan  mengkaji semula keberkesanan kemaskini data keahlian supaya kemasukkan (key-in)  data dan maklumat  ahli boleh dibuat diperingkat negeri atau kawasan melalui konsep decentralize dan membangunkan Sistem Informasi Strategik Kajian Awal Pilihanraya (SISKAP) di samping mengemaskini dan mempertingkatkan fungsi Sistem Semakan Daftar Pemilih (SSDP) dan  Sistem Informasi Sepadu Pemilih, Penduduk dan Organisasi (SisPRO) yang telah dibangunkan oleh Jabatan IT PAS (JITP) secara inhouse sebelum ini.

Perlaksanaan 5 misi tersebut akan mengambil kira perkembangan teknologi terkini seperti teknologi mobil, Cloud Computing dan Big Data yang bakal terus memperkasa dan memantapkan gerakerja PAS melalui penggunaan IT.

Adalah diharapkan pertimbangan harus diberikan oleh bukan sahaja ahli tetapi juga  pemimpin PAS dalam memartabatkan IT dalam gerakerja PAS bukan sahaja dalam pentadbiran, penerangan dan pilihan raya tetapi selepas ini meliputi bidang-bidang yang lain seperti pendidikan, pertanian dan sebagainya.

Terimakasih kepada Harakah kerana memberikan ruang kepada saya berkongsi pengalaman dalam kolum Gerbang IT yang baru diadakan ini.